Ramai beranggapan bahawa penambah atau perasa makanan atau Monosodium Glutamat (MSG) boleh membahayakan dan sangat tidak bagus untuk kesihatan.
Namun sebenarnya tanggapan ini adalah hanya satu mitos. Perkara ini dijelaskan oleh Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM, Dr Fatimah Salim.
Ayuh, ikuti penjelasannya berkenaan MSG ini yang dianggap racun sedap adalah tidak benar.
MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) RACUN YANG SEDAP?
TIDAK Benar!
Saya telah beberapa kali menulis mengenai MSG. Bermula dengan penulisan santai hinggalah ke pengalaman saya sendiri melawat salah sebuah kilang pemprosesan MSG terkemuka di Kuala Lumpur.
Seiring dengan penambahan pengetahuan, kali ini saya kongsikan lagi secara terperinci segala (A-Z) yang anda perlu tahu mengenai MSG. Artikel ini sangat panjang, namun berbaloi baca kerana ianya merangkumi ilmu asas struktur kimia MSG, sejarah penemuannya, cara penghasilannya, pertukaran kimianya dalam badan (metabolisma), ulasan mengenai kesan buruk MSG, kesan sampingan yang bergantung kepada individu, akta peraturan makanan Malaysia dan dunia mengenai MSG, manfaat yang mampu diperolehi daripada MSG.
…Dan yang paling penting ialah MITOS dan momokkan selama berpuluh tahun tentang bahaya MSG yang mana secara KESIMPULANnya tidak disokong secara saintifik.
Apakah itu MSG?
MSG ialah acronym yang digunakan untuk menyatakan MonoSodium Glutamat. Ianya merupakan bahan kimia penambah perasa yang telah digunakan sejak 100 tahun yang lalu untuk memberikan rasa sedap dalam makanan. Dan dalam industri makanan komersial ianya dikenali dengan kod E penambah perasa makanan, E621.
Struktur kimia MSG terdiri daripada komponen glutamat (~78%) dan natrium (~12%) yang terikat secara ionik. Apabila dimakan, MSG akan larut dalam air liur membentuk ion natrium (Na+) dan glutamat (Glut-). Komponen glutamat akan bertindakbalas dengan reseptor umami pada lidah, dan otak kita mentafsirnya sebagai rasa sedap.
Ion natrium pula merupakan komponen kimia sama yang ada dalam garam (natrium klorida, NaCl). Disebabkan kehadiran ion natrium inilah MSG berasa sedikit masin, dan kesinambungan ini perlu untuk mencetuskan persepsi sedap.
Bagaimana MSG ditemui?
Komponen glutamat pertama kali ditemui pada tahun 1908 oleh ahli kimia Jepun iaitu Profesor Kikunae Ikeda semasa menghirup keenakkan sup (broth) yang dibuat daripada rumpai laut. Beliau kemudian menamakan rasa ‘enak’ ini sebagai ‘umami’ yang mana berasal dari perkataan Jepun ‘umai’ (うまい) yang bermaksud ‘sedap’ dan digabungkan dengan ‘mi’ (味) yang bermaksud ‘rasa’.
Beliau seterusnya mempelajari cara memencilkan (isolate) komponen MSG agar dapat digunakan sebagai penyedap pelbagai jenis makanan dengan cepat dan mudah. Contoh sama seperti proses penghasilan vitamin C yang kemudiannya dijadikan tablet ‘berdos’ sesuai untuk keperluan pengambilan kita tanpa perlu lagi mengambil buah oren yang banyak.
Bagaimana MSG dihasilkan?
Pada awalnya MSG diperoleh melalui proses pengekstrakan dan pemencilan. Namun proses ini sangat lambat dan kosnya mahal. Maka, MSG mula dihasilkan melalui proses penapaian oleh bakteria species Corynebacterium dengan bahan-bahan mentah semulajadi berkanji seperti ubi kayu, ubi kentang, tebu atau jagung. Proses ini adalah sama dengan yang digunakan untuk membuat tapai, kicap, cuka dan dadih.
Larutan kanji yang diekstrak daripada bahan mentah tadi ditukar kepada larutan glukosa melalui proses pencairan dan sakarifikasi di bawah pengaruh tindakbalas enzyme. Seterusnya bakteria menukarkan glukosa kepada asid glutamik melalui proses penapaian.
Asid glutamik kemudiannya di neutralkan dengan menambah komponen natrium (NaCl) membentuk larutan MSG. Larutan MSG ini kemudiannya melalui proses penghabluran di mana ditukarkan kepada bentuk kristal (seperti yang kita lihat di dapur) dengan penyejatan air yang berlebihan melalui udara panas.
Apakah itu Umami?
Secara saintifik umami merupakan rasa asas kelima yang mampu dikesan oleh lidah kita selain daripada rasa manis, masam, masin dan pahit. Ia merujuk kepada persepsi pelbagai gambaran rasa sedap makanan seperti ‘rasa semacam daging’ (Bahasa Malaysia), ‘savoury’ (English), ‘xian wei’ (Bahasa Cina), ‘sabroso’ (Spanish), ‘gosto’ (Portuguese), ‘lezzetli’ (Turkish), ‘lecker’ (German)…
Ads
Selain daripada yang dikomersialkan, Komponen MSG ini juga boleh didapati secara semulajadi dalam makanan harian kita yang berasa sedap. Namun hanya glutamat bebas (mempunyai cas) yang efektif dalam memberikan rasa umami dari makanan.
Selain daripada rumpai laut, glutamat bebas juga terkandung secara semulajadi dalam makanan harian kita termasuk tomato, anggur, keju, cendawan, kicap, ubi kentang, ubi kayu, broccoli, kacang pea, kacang badam, daging ayam, ikan, udang, ketam, daging, budu, cencalok, belacan, besou… malahan dalam susu ibu juga (sebab itu bayi mendapati susu ibu ini sedap disamping pelbagai rasa lain yang dipengaruhi oleh diet pemakanan si ibu). Maka pendek kata glutamat ini terdapat dalam semua makanan yang kita rasa sedap. Maka tidak ada istilah #noMSG
Sebenarnya komponen glutamat merupakan bahan kimia semulajadi dari alpha-amino asid yang digunakan oleh hampir kesemua benda hidup dalam protein sintesis. Ianya terikat bersama asid amino yang lain membentuk struktur kimia protein dalam badan. Ianya dikenali sebagai zat tidak perlu dari sumber luar kerana badan kita mampu menghasilkannya dengan banyak secara semulajadi.
Peranan utamanya dalam badan adalah sebagai penguja pengutus saraf (excitatory neurotransmitter) utama dalam badan. Komponen glutamat dan reseptornya banyak ditemui pada sistem saraf dan sistem penghadaman kita.
Bagaimana Proses Kimia MSG dalam badan?
Bergantung kepada jumlah pengambilan dalam diet, kajian menunjukkan proses metabolisma (pertukaran kimia) glutamat berlaku di dalam usus di mana kebanyakkannya ditukarkan kepada gas karbon dioksida, digunakan dalam penghasilan ATP (sumber tenaga) atau ditukarkan kepada asid amino lain iaitu arginine, citrulline, alanine, ornithine, dan proline sebelum diserap oleh badan lalu dimanfaatkan dalam pelbagai proses kimia badan.
Komponen natrium pula berfungsi menyeimbang bendalir dalam dan luar sel, juga dikumuhkan daripada badan melalui peluh, air kencing dan juga najis.
Adakah MSG bahaya?
TIDAK. Kebanyakkan dapatan kajian kesan dilakukan terhadap tikus tidak dapat membuktikan sepenuhnya keburukan MSG kerana sistem metabolismanya yang berlainan dengan sistem badan manusia dan juga cara pemberian MSG yang kurang kebersandaran dalam konsumsi manusia. Ini bermaksud kita tidak makan atau suntik MSG begitu sahaja dalam dos yang tinggi, namun diambil dalam makanan.
Dan justifikasi ini dikukuhkan lagi dengan proses kimia MSG yang berlaku di dalam usus dan ditukarkan kepada amino asid lain (bukan dalam struktur kimia MSG itu sendiri) sebelum diserap badan dan bertindakbalas.
Bagaimana pula dengan kesan sampingan MSG yang telah dilaporkan?
Kesan sampingan pertama oleh MSG dilaporkan pada tahun 1968 yang dikenali sebagai Chinese restaurant syndrome (CRS). Ianya dipanggil sebegitu kerana gejala seperti kebas di bahagian tangan dan belakang leher, dan kadar denyutan jantung meningkat dilaporkan setelah memakan masakan Cina. Pun begitu, punca gejala tersebut akhirnya tidak dapat dikaitkan dengan MSG kerana gejala sama juga berkaitan dengan pengambilan natrium, potassium, alkohol dan histamin yang banyak digunakan dalam masakan Cina.
Pengambilan MSG juga dikaitkan dengan SAKIT KEPALA, sakit dada, kebas otot, masalah kulit. Keadaan ini disebabkan oleh sensitiviti individu (alergi) terhadap MSG terutamanya mereka yang mempunyai kelainan genetik mungkin yang berkaitan dengan masalah penghadaman.
MSG juga dikaitkan dengan peningkatan selera makan. Ini sememangnya betul. Sebab makanan sedap, haruslah menambah. Di sini perlunya akal untuk mengawal nafsu dan selera.
Ads
Dan tidak dinafikan kesan buruk MSG yang dirasai oleh sesetengah individu adalah disebabkan oleh kesan ‘placebo’ iaitu peranan bahan kimia dalaman badan yang bertindak bersama apa yang kita fikirkan dan harapkan. Kalau orang Sabah bilang, “dari ko saja tu”. Orang putih cakap “you are what you think”.
Masih lagi ragu-ragu dengan MSG?
Mari lihat antara penilaian keselamatan MSG oleh badan-badan bertangungjawab antarabangsa ini:
Di Malaysia, Akta dan Peraturan Makanan 1985, mengkategorikan MSG sebagai penambah perisa makanan yang dibenarkan, sebaris dengan garam dan lada sulah.
Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) turut mengklasifikasi MSG di bawah kategori Secara Umumnya Diiktiraf Selamat (GRAS).
Jawatankuasa Pakar Bersama Memgenai Aditif Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (JECFA), satu badan penasihat saintifik kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) dan Jawatankuasa Saintifik Komuniti Eropah untuk Makanan: menklasifikasikan MSG sebagai selamat untuk digunakan dan pengambilan harian yang boleh diterima (ADI) adalah tidak ditetapkan.
Majlis Pertubuhan Perubatan Amerika Syarikat Mengenai Hal-ehwal Saintifik mengklasifikasikan MSG adalah selamat untuk digunakan.
MITOS Mengenai MSG:
Adakah MSG menyebabkan keguguran rambut?
Tidak. Tiada bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini. Pakar menyatakan keguguran rambut kebanyakkannya diakibatkan oleh faktor genetik, tekanan, perubahan hormon, kecacatan struktur rambut, pengambilan ubat-ubatan dan rawatan kemoterapi.
Adakah MSG mengakibatkan dahaga?
Tidak ada bukti saintifik yang membuktikan kenyataan ini. Kehausan ialah tindakbalas badan yang berlaku disebabkan oleh kehilangan banyak bendalir dari badan atau pengambilan natrium ion (Na+) yang berlebihan. Benar MSG mengandungi komponen natrium ion ini tetapi jumlahnya jauh lagi sedikit iaitu 12% jika dibandingkan dengan 40% dalam garam. Maka pengambilan garam (NaCl) yang berlebihan adalah penyebab kehausan dan bukan MSG.
Adakah MSG menyebabkan tekanan darah tinggi?
Ads
Tidak terbukti secara saintifikyang boleh disandarkan kepada kenyataan ini. Seperti juga isu ‘kehausan’, natrium ion dalam garam adalah penyumbang lebih besar kepada tekanan darah tinggi dan bukan MSG.
Adakah MSG menyebabkan kanser?
Tidak. Tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan ini dan MSG tidak bersifat kasinogen (bahan pengaktif sel kanser).
Adakah LEBIH MSG, makanan menjadi lebih lazat?
TIDAK. Hanya sejumlah kecil MSG diperlukan bagi mencapai rasa optimum. Pengunaan MSG secara berlebihan adalah membazir, malahan menjejaskan rasa ‘sedap’ yang patut dihasilkan. Ini kerana deria rasa umami akan menjadi tepu menyebabkan natrium (daripada garam) lebih dirasai yang mana punca kepada rasa ‘haus’ yang melampau.
Pengunaan MSG dalam masakan yang manis (seperti kuah kacang) dan pahit (seperti peria) juga tiada fungsi penyedap kerana dominasi rasa. Maka tiada keperluan untuk menambahkan MSG dalam masakan sebegini.
Apakah kebaikan pengambilan MSG dalam makanan?
Selain daripada melazatkan makanan, ianya juga meningkatkan selera makan seterusnya menggalakkan pengambilan nutrisi terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga warga emas. Kajian menunjukkan kesan tindakbalas kerjasama (umami sinergi) antara MSG dengan dua lagi struktur kimia protein iaitu necleotides inosinate (IMP) dan guanylate (GMP) yang terdapat dalam makanan berprotein seperti ikan. IMP dan GMP tidak mampu memberikan rasa umami dengan sendiri, namun dengan menambahkan MSG, rasa umami akan meningkat 15 kali ganda.
Memerap makanan berprotein yang mengandungi IMP dan GMP dengan MSG juga mampu mengekalkan rasa sedap makanan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebab itu, makanan yang diperap dengan bahan yang mengandungi MSG berasa sangat sedap!
Pengambilan MSG juga akan mengurangkan pengunaan garam sebanyak 30% dan mengelakkan pengunaan gula dalam memberi keseimbangan rasa kepada makanan.
Kajian terkini juga membuktikan pengambilan MSG juga mungkin membaiki penghadaman makanan berprotein dalam perut oleh kerana terdapatnya banyak reseptor glutamat dalam perut.
Namun, berpada-pada juga dalam pengambilan MSG ini untuk mendapatkan kelazatan optimum, mendapat sistem penghadaman yang baik dan yang paling PENTING ialah tidak mengganggu keseimbangan bahan kimia dalaman badan. Ingat, segala yang BERLEBIHAN itu berpotensi menjadi MUDARAT. Kenali badan anda, jika ada alahan dengan MSG, maka elakkan. Anda sebenarnya unik dari segi genetik.
Sememangnya keburukan mengenai MSG ini telah menjadi mitos yang sukar dibetulkan dalam minda masyarakat. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mengalakkan pengambilan MSG, namun lebih bertujuan membetulkan persepsi dan menyampaikan ilmu yang tepat.Pakat-pakatlah sebarkan, betulkan tanggapan buruk terhadap MSG!
Ramai yang agak keliru dengan penggunaan bedak asas/foundation dengan pelindung cahaya matahari atau sunblock.
Apakah kedua-duanya benda yang sama atau mempunyai peranan tersendiri. Perkongsian dari Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM, Dr Fatimah Salim memberitahu pentingnya penggunaan pelindung cahaya matahari ini dalam menjaga kulit wajah.
Biasa saya tidak manjakan kulit kalau duduk di rumah, cukup setakat pakai pelembab. Pelindung cahaya matahari juga saya tidak pakai kerana yakin dengan cermin rumah yang tinted.
Namun disebabkan cuaca panas yang amat, hari ini saja saya sudah 3 kali pakai pelindung cahaya matahari (pagi, lepas zuhur dan lepas azar).
Tahukah anda pemakaian pelindung cahaya matahari SANGAT penting? YA. Terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit yang cerah disebabkan kurangnya pigmen melanin.
Selain memberikan warna kepada kulit, melanin merupakan bahan kimia semula jadi yang dihasilkan oleh kulit yang mana berfungsi untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat cahaya matahari yang berlebihan.
Nak tahu lebih mengenai pelindung kulit daripada cahaya matahari ini, jom baca ulasan yang pernah saya kongsikan dulu
————————————————————————————- PELINDUNG CAHAYA MATAHARI Kita selalu dengar mengenai produk penjagaan kulit yang dikenali sebagai pelindung cahaya matahari (sun protection). Daripada beberapa maklumat yang saya perolehi, ramai yang keliru dengan istilah “Chemical and Physical sun protection”, begitu juga dengan istilah “sunblock” (penghalang matahari) dan “sunscreen” (pengadang matahari).
Maka artikel ini akan cuba untuk menjelaskan perbezaan, dan keperluan mereka ini dari sudut kimia. Sebelum itu mari kita ulangkaji dulu apa itu cahaya matahari (tenaga apa yang terdapat di dalamnya) dan struktur kimia kulit agar kita jelas tentang fungsi perlindungan yang dimaksudkan, juga jenis interaksi kimia yang mampu dihasilkan.
Apakah yang Membentuk Cahaya Matahari?
Cahaya matahari ialah sebahagian daripada gelombang elektromagnet (electromagnetic wave) bersifat gabungan cahaya dan haba yang dipancarkan oleh matahari.
Sinaran yang sampai kepada kita telah ditapis oleh lapisan atmosfera bumi yang mana terdiri daripada tiga kumpulan tenaga iaitu ~5% ultraungu (Ultra Violet: kurang dari 400 nm), ~43% cahaya Nampak (visible: 400 – 700 nm), dan ~55% inframerah (IR: lebih dari 700 nm).
Antara jenis tenaga yang dibawa oleh cahaya matahari ini, tenaga UV merupakan tenaga yang paling kuat yang mana mampu berinteraksi dengan sel kulit, seterusnya menyebabkan perubahan kepada struktur kimia kulit kita.
Tenaga UV yang sampai kepada kulit kita ini diklasifikasikan kepada dua, mengikut jumlah kerosakkan yang mampu dilakukannya iaitu dikenali sebagai ultra violet ageing (UVA: 320 – 400 nm), dan ultra violet burning (UVB: 290 – 320 nm).
Dan cahaya UV inilah yang harus dielakkan dari mencapai ke permukaan kulit kita kerana ianya mampu menggelapkan dan membakar lapisan kulit (sunburn), seterusnya menyumbang kepada masalah kulit yang lebih teruk termasuklah penuaan pramatang dan kanser.
Bagaimanakah Struktur Kimia Kulit?
Kulit kita ialah epitilium berlintap (stratified epithelium), di mana setiap lapisan mengandungi jenis sel yang berlainan dan menjalankan fungsi yang berlainan. Ianya terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu epidermis, dermis dan hypodermis.
Di sini kita akan memberi tumpuan kepada lapisan paling luar iaitu lapisan epidermis yang mana terbentuk daripada dua lapisan utama yang dipanggil lapisan corneum (mengandungi sel-sel mati dan mengelupas), dan Malpighian (mengandungi pigment melanin yang memberi warna kepada kulit).
Lapisan corneum terbentuk dari bahan-bahan kimia semulajadi seperti ceramides, cholesterol dan free fatty acids. Antara bahan-bahan kimia ini, ceramides mendominasi (~50%) dan terbentuk dari molekul berkomponen sphingoid (sphingosine, phytosphingosine, 6-hydroxysphingosine atau dihydrosphingosine) yang memiliki sifat hydrophobic (tidak suka air) dan hydrophilic (suka air) – rujuk gambar di bawah.
Bahagian hydrophilic ini mampu membentuk ikatan hydrogen (Hydrogen bond) dengan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari yang digunakan pada kulit. Lapisan Malpighian mengandungi sel-sel aktif yang berperanan menggantikan sel-sel mati pada lapisan corneum tadi dan berfungsi sebagai pelindung dari pancaran cahaya matahari.
Walaupun kulit secara semulajadi mempunyai pelindung cahaya matahari, namun disebabkan oleh pelbagai faktor (genetik, diet pemakanan, stress, aktiviti harian, perubahan hormone, usia, jantina dan pemakaian produk harian) akan penyumbang kepada kepelbagian komposisi bahan kimia kulit.
Tambahan pula kita berada di negara Malaysia yang beriklim panas (dan lembab), kita memerlukan perlindungan tambahan iaitu dengan memakai pelindung cahaya matahari yang bersesuian.
Apakah itu Pelindung Cahaya Matahari?
Pelindung cahaya matahari ialah formulasi produk berupa losen, gel, lilin (waxes) atau semburan yang mengandungi campuran bahan kimia aktif yang dipakai pada permukaan luar kulit (topikal) bertujuan untuk melindungi kulit dari sinaran UV matahari. Pelindung cahaya matahari ini diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu kimia dan fizikal – lihat contoh gambar di bawah .
Pelindung cahaya matahari kimia mengandungi bahan kimia organik seperti octylcrylen, avobenzone, actinoxate… yang mudah larut dalam air, larutan organik atau minyak. Disebabkan oleh sifat keterlarutan, bahan kimia ini mampu membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kimia kulit dan menghasilkan kemasan kepada si pemakai.
Bahan kimia pelindung ini akan menyerap cahaya UV yang terkena padanya dan menukarkan tenaga UV ini kepada sinaran electromagnet yang lebih rendah tenaga (kurang mudarat) iaitu infrared (IR) untuk dibebaskan.
Pelindung cahaya matahari kimia biasanya menjadi pilihan kerana ianya mudah penyerap dalam kulit dan memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh, namun boleh menyebabkan kerengsaan kulit kerana cahaya yang diserap oleh bahan kimia tadi berbentuk haba yang boleh dipindahkan kepada sel kulit. Namun kesan ini bergantung kepada tahap sensitiviti kulit masing-masing.
Pelindung cahaya matahari fizikal pula mengandungi bahan kimia tidak organik seperti zinc oxide, titanium dioxide…yang tidak larut. Maka ianya tidak akan membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kulit, namun bergantung kepada jumlahnya, mungkin mengaruh (induced) daya electrostatik dengan komponen kulit tadi.
Pada awalnya, mekanisma perlindungan oleh bahan kimia ini diterangkan sebagai memantulkan (reflect) atau menyelerakkan (scatters) cahaya UV menjauhi kulit. Namun, kajian mutakhir membuktikan bahawa mekanisma lindungan ini hanyalah benar jika partikel bahan kimia yang digunakan adalah bersaiz besar.
Memandangkan kini banyak penambahbaikan telah dibuat seperti mengecilkan saiz partikel (nanoteknologi) bahan kimia bermetal ini juga sebenarnya menyerap cahaya UV.
Pelindung cahaya matahari jenis fizikal kurang digemari kerana melekit, sifat metalik bahan kimia yang digunakan (berkilat pada kulit) dan kurang kemasan (finishing) pada kulit, namun pelindung cahaya matahari jenis ini lebih selamat dan sesuai untuk jenis kulit sensitif.
Terdapat juga pelindung cahaya matahari yang mengandungi bahan kimia yang bersifat fizikal dan kimia (hybrid) seperti bisoctrizole atau lebih dikenali dengan nama Tinosorb M. Bahan kimia jenis ini menjadi bahan penstabil bahan kimia organik sedia ada, agar kurang termusnah dek kerana serapan cahaya UV yang berlebihan.
Di masa yang sama ianya juga mempunyai jangkauan lindungan UVA dan UVB yang lebih luas serta lebih stabil daripada pelindung cahaya matahari jenis kimia dan fizikal bersendirian. Namun, pengunaan pelindung cahaya matahari jenis ini tidak diketahui kesan jangka panjangnya pada kulit.
Apa pula perbezaan “Sunblock” dan “Sunscreen”?
Sebenarnya sunblock dan sunscreen adalah bertujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan kepada lapisan luar kulit daripada terkena cahaya UV matahari. Asalnya istilah “sunblock” digunakan untuk pelindung cahaya matahari yang bersifat fizikal kerana mekanisma lindungan dengan pemantulan atau penyelerakkan tadi.
Namun setelah dibuktikan melalui kajian mutakhir yang mana mekanisma lindungannya juga adalah melalui serapan (absorption), maka istilah “sunblock” ditarik semula dan diseragamkan kepada istilah “sunscreen” sahaja. Walaubagaimanapun, konsep awal ini masih lagi digunakan secara meluas oleh penerang awam (baca: kebiasaan).
Bagaimana Memilih Pelindung Cahaya Matahari?
Selain daripada mengambil kira kesesuaian kulit, pemilihan dalam pelindung cahaya matahari juga dinilai dengan melihat Sun Protection Factor (SPF) dan Protection against UVA (PA) [atau biasa dinyatakan ‘broad spectrum protection’ sahaja] yang mampu ditawarkan oleh produk tersebut.
SPF merupakan skala yang digunakan untuk menilai daya tahan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari melawan cahaya UV selama 10 minit sebelum sampai ke lapisan kulit. Ianya diukur dengan kadar serendah 2 sehingga 100.
SPF dikira dengan mengunakan formula matematik yang komplex namun boleh diringkaskan seperti:
Contoh, produk yang mempunyai SPF 15 mampu bertahan di bawah terik matahari selama 150 minit (15 x 10) sebelum permukaan kulit terbakar (sunburn).
Namun, kesilapan yang biasa berlaku adalah dengan menganggap tempoh keberkesanan pelindungan boleh diambil secara terus dari hasil pendaraban ini.
Faktor lain juga harus diambil perhatian kerana jumlah pendedahan matahari terhadap kulit adalah lebih bergantung kepada tempoh masa yang dihabiskan di bawah matahari, keterikan cahaya matahari (jumlah cahaya UV pada ketika itu), dan ketahanan bahan kimia pelindung sebelum termusnah.
Juga kandungan lain di dalam formulasi pelindung cahaya matahari seperti bahan kimia barium sulfate dan talcum (talc). Dan yang paling penting ialah cara pemakaian yang betul (jumlah yang perlu disapu pada kulit) mengikut kesesuian aktiviti.
Nota Kaki: Jika anda mempunyai kulit yang sangat sensitif, mohon rujuk pakar kulit untuk cadangan pilihan pelindung cahaya matahari yang bersesuaian. Semoga bermanfaat ChM Dr Fatimah Salim Ahli Kimia #skincarelover
Tak Skip Pakai Pelembap Muka & Pelindung Matahari. Rahsia Kulit Eyka Farhana Cantik & Flawless! Antara pelakon muda yang selalu tampil cantik dan mempesona tanpa sebarang solekan adalah Eyka Farhana.
Biarpun sibuk dengan rutin harian melakukan pelbagai aktiviti, namun pelakon ini sangat menjaga kecantikan wajah.
Apatah lagi dalam usia masih muda, Eyka Farhana begitu prihatin dan sentiasa memastikan kulit wajah dijaga sempurna.
Selain berpenampilan menarik dengan busana digayakan, setiap wanita itu pastinya mahu wajah cantik dan jelita menjelang Syawal nanti.
Dengan kuasa solekan, tidak mustahil wajah yang pucat akan jadi lebih berseri-seri dengan sentuhan warna kosmetik diberikan.
Namun begitu, bagi yang baru belajar bersolek, pastikan tidak melakukan beberapa perkara ini untuk elak wajah tidak kelihatan pelik dan mekap tak tahan lama.
Ada beberapa perkara yang harus diambil berat sewaktu bersolek. Antaranya penggunaan foundation, eyeliner, blusher, lipstik dan make-up base yang bersesuaian.
10 Perkara Harus Elak Waktu Bersolek
1. Elakkan menggunakan foundation muka melebihi keperluan yang sepatutnya. Gunakan secara berpada-pada mengikut kesesuaian warna kulit.
2. Kurang sesuai jika menggunakan liquid eyeliner di bawah mata dan kening.
3. Kadang-kadang penggunaan blusher atau pemerah pipi yang berlebihan menyebabkan kulit wajah kelihatan seperti terbakar terutamanya di waktu malam.
4. Elakkan menggunakan gincu melebihi bentuk asal bibir, takut nanti bibir anda nampak pelik pula!
5. Pilih warna foundation yang sesuai dengan kulit. Elakkan warna yang jauh lebih cerah atau gelap daripada kulit asal.
6. Bulu mata juga memainkan peranan penting dalam tatarias wajah, penggunaan bulu mata yang terlalu panjang sehingga hampir mencecah bawah kening membuatkan penampilan anda nampak pelik.
7. Pilih warna yang sesuai untuk pembayang mata atau eyeshadow terutamanya ketika penggunaan di waktu siang. Elakkan memilih warna yang terlalu dramatik atau terang.
8. Highlight pada wajah mampu menonjolkan lagi bentuk wajah seseorang, namun jika penggunaan berlebihan boleh menyebabkan muka nampak tidak fresh dan aneh!
9. Shadding dan contouring yang berlebihan pada mekap harian terutamanya di siang hari adalah kurang sesuai. Gunakan secara minima supaya nampak lebih semulajadi.
10. Perkara paling penting sebelum memulakan solekan adalah dengan mengenakan make-up base. Pastikan anda memilih make-up base yang sesuai dengan kulit wajah anda supaya hasilnya nampak wow dan menakjubkan.