Tiroid merupakan kelenjar yang berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher yang bertanggungjawab di dalam penghasilan hormon tiroid.
Kelenjar tiroid menggunakan zat iodin (sumber yang diperolehi daripada diet pemakanan seperti garam dan makanan laut) dalam menghasilkan hormon tiroid.
Seperti sebuah perkongsian Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad yang mengatakan hormon tiroid adalah amat penting dalam mengawal metabolisme dan fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran dan mengawal metabolisme protein dan lemak dalam badan.
Terdapat dua jenis hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3), yang masing-masing mewakili 99.9% dan 0.1% hormon tiroid.
Selepas dirembes keluar dari kelenjar tiroid, jumlah T4 yang banyak akan ditukarkan kepada T3, yang merupakan hormon yang paling aktif daripada segi biologi dalam memberi kesan metabolisme ke atas sel-sel badan.
Gambar sekadar hiasan.
PENYEBAB
Masalah tiroid boleh diklasifikasikan kepada dua kumpulan utama iaitu;
1. Masalah yang berpunca daripada fungsi penghasilan hormon tiroid yang tidak normal.
a) Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlebih aktif).
Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti penyakit graves, goiter multinodular toksik, nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dan pengambilan iodin secara berlebihan.
b) Hipotiroidisme (kelenjar tiroid kurang aktif).
Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti tiroiditis Hashimoto, dan masalah keradangan pada kelenjar tiroid (tiroiditis).
2. Masalah yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri.
a) Goiter
Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan suatu keadaan di mana kelenjar tiroid membengkak.
b) Nodul tiroid
Bermaksud terdapat ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid dan boleh disebabkan oleh ‘benign cysts’ dan ‘benign tumor’ serta jarang-jarang berlaku iaitu barah tiroid.
c) Barah tiroid adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita dewasa jika dibandingkan dengan lelaki ataupun remaja.
Ads
Terdapat beberapa jenis barah tiroid. Ia bergantung kepada jenis sel barah itu berasal.
GEJALA
Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan.
Gejala-gejala hipertiroidisme adalah seperti;
1. Tangan menggeletar (tremor)
2. Rasa gementar
3. Degupan jantung yang laju
4. Mudah berpeluh dan panas
5. Susut berat badan
6. Lesu dan cepat berasa letih
Gambar sekadar hiasan.
Hipotiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah.
Gejala-gejala hipotiroidisme adalah seperti:
1. Lesu
2. Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab
3. Kulit kering
4. Sembelit
5. Sentiasa berasa sejuk
6. Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita
Goiter merupakan pembengkakan pada kelenjar tiroid dan boleh mempunyai gejala-gejala hipertiroidsme, hipotiroidisme ataupun eutiroid (fungsi tiroid yang normal).
Nodul tiroid pula boleh terdapat satu nodul ataupun berbilang. Apabila nodul terlalu besar, ia boleh menekan struktur-struktur berhampiran dan boleh menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau suara menjadi kasar.
Barah tiroid terjadi apabila terdapat gejala-gejala seperti ketulan pada kelenjar tiroid, suara menjadi kasar, kesukaran bernafas atau menelan, noda-noda limfa yang membengkak di bahagian leher, batuk atau sakit tekak yang berterusan dan sakit pada leher yang berterusan.
KOMPLIKASI
Hipotiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut;
Ads
1. Risiko penyakit jantung kerana kandungan kolesterol yang tidak baik (LDL) akan meningkat.
2. Masalah mental seperti kemurungan dan pemikiran yang lembab.
3. Masalah saraf seperti kebas-kebas dan sakit-sakit di bahagian saraf yang terlibat.
4. Myxedema – merupakan keadaan yang serius dan boleh meragut nyawa di mana pesakit boleh datang dalam keadaan koma.
5. Masalah kemandulan bagi wanita (infertiliti).
6. Masalah perkembangan dan tumbesaran bayi dalam kandungan daripada segi fizikal dan mental.
Gambar sekadar hiasan.
Hipertiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut;
1. Masalah jantung seperti “atrial fibrillation” dan lemah jantung boleh terjadi akibat degupan jantung yang terlalu laju dan tidak terkawal.
2. Masalah tulang rapuh (osteoporosis) akibat gangguan ke atas metabolisme kalsium di dalam badan.
3. Masalah mata boleh berlaku bagi penyakit grave di mana bola mata akan terbonjol, merah dan bengkak.
Ads
4. ‘Thyroid storm’- keadaan yg amat serius dan boleh meragut nyawa di mana terdapat gejala-gejala seperti demam panas, denyutan jantung yang laju dan keadaan tidak sedarkan diri.
Goiter yang terlalu besar boleh menyebabkan masalah kesukaran bernafas atau menelan di samping masalah daripada segi kecantikan atau kosmetik.
Barah tiroid boleh berlaku semula walaupun selepas pembedahan membuang kelenjar tiroid dijalankan, lebih-lebih lagi dalam tempoh lima tahun selepas pembedahan.
Pemeriksaan dari semasa ke semasa perlu dilakukan bagi mengesan barah tiroid daripada berlaku semula. Barah tiroid yang berlaku semula boleh dirawat sepenuhnya.
RAWATAN
Masalah tiroid boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan atau pembedahan. Ia bergantung kepada jenis masalah tiroid tersebut.
Bagi masalah hipotiroidisme, hormon tiroid boleh diganti dengan pengambilan pil sintetik hormon tiroid secara oral.
Bagi masalah hipertiroidisme, penghasilan hormon tiroid oleh kelenjar tiroid dapat dikurangkan melalui ubat-ubatan yang diambil secara oral.
Bagi mengawal gejala-gejala yang disebabkan oleh hipertiroidisme seperti denyutan jantung yang laju, terdapat ubat-ubatan yang boleh diberi secara oral juga.
Jika masalah hipertiroidisme tidak dapat dikawal secara ubat-ubatan, rawatan ablasi radioaktif dapat digunakan untuk mematikan tisu kelenjar tiroid secara selektif.
Rawatan secara pembedahan adalah perlu bagi masalah tiroid yang terdapat kemungkinan merupakan barah tiroid.
Pembedahan juga boleh dijadikan sebagai rawatan jika goiter terlalu besar hingga menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau kesukaran untuk menelan juga untuk kes nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan.
Jika tahun lalu Sinar Harian melalui hasil laporan cemerlang telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia – MPI Petronas 2020.
Dan tahun ini sekali lagi rezeki berpihak kepada Kumpulan Media Karangkraf apabila dipilih menjadi sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada majlis kemuncak sambutan Hawana di sini semalam.
Berdiri megah sebagai syarikat penerbitan sejak 40 tahun lalu menyaksikan Kumpulan Media Karangkraf dipilih sekaligus membawa pulang trofi, sijil sera wang tunai RM10,000 pada kemuncak sambutan Hawana di Banda Hilir, Melaka.
Penyampaian anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Dalam ucapan selepas menerima pengiktirafan ini, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, anugerah itu merupakan penghargaan bagaimana wartawan, akhbar dan organisasi media tersebut boleh memberi impak kepada masyarakat.
Menurutnya, ini termasuk beberapa siri program dan kempen yang diperkenalkan serta dilaksanakan seperti Rumah Ngaji, kempen World #QuranHour dan #RasuahBusters.
Katanya, pengiktirafan itu juga menunjukkan bahawa apa yang diusahakan selama ini bukan setakat menyampaikan berita, namun dapat menukarkan budaya dan juga mengembalikan integriti yang telah hilang kepada masyarakat.
“Di mana nilai moral dan karakter bangsa yang telah runtuh sebelum ini dapat dipulihkan melalui usaha-usaha yang telah dibuat oleh wartawan.
“Syukur Alhamdulillah, Karangkraf diiktiraf pada hari ini dan di Karangkraf kita berpadu tenaga,” katanya.
Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri.
Tambahnya, kejayaan sedemikian juga tidak akan dicapai tanpa sokongan media-media lain untuk memulakan kempen-kempen tersebut.
Hari Wartawan Nasional merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wartawan yang merupakan “insan di sebalik tabir” melaporkan peristiwa penting berlaku di seluruh dunia.
Selepas dua tahun tidak diadakan kerana Covid-19, Hawana 2022 diadakan sekaligus mengiktiraf Kumpulan Media Karangkraf sebagai media terbaik.
Antara kriteria untuk dipilih sebagai penerima anugerah itu adalah berdaftar dan menunjukkan hasil kerja cemerlang, kupasan isu yang mendalam, berkualiti serta berimpak pada tahun yang dinilai.
Selain berdaftar, ia juga mengamalkan tatakelola serta nilai kewartawanan yang baik, selain menyumbang kepada pembangunan industri kewartawanan dan media di negara ini, manakala hasil karya terlibat harus menyumbang kepada pembangunan insan, keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Mengimbau penubuhan Kumpulan Media Karangkraf, gergasi media ini membuat kemunculan pertama pada 1978 dengan Mingguan Kanak-kanak dan pada 1990, organisasi itu kemudiannya melebarkan skop perniagaan dengan penerbitan beberapa genre buku menerusi Alaf 21 dan Karya Bestari.
Pada 2006, kumpulan itu melahirkan akhbar kompak wilayah, Sinar Harian yang kemudiannya mencatat sejarah sebagai akhbar paling cepat berkembang di Malaysia.
Kini kumpulan media itu berdiri gah dalam industri dengan 13 keluaran majalah, penerbitan novel, percetakan, saluran media Internet dan pemberitaan akhbar.
Hargai peranan wartawan
Pada 2015, kumpulan itu memperkenalkan program Malaysia Ngaji disusuli Kempen World #QuranHour pada 2016 serta beberapa siri rantaian seperti Malaysia #QuranHour, Merdeka #QuranHour dan World #QuranConvention yang secara kumulatifnya merekodkan 2.475 bilion penyertaan.
Pada Februari 2021, inisiatif agresif membanteras rasuah diperkenalkan kumpulan itu menerusi #RasuahBusters membabitkan gabungan media, individu, pertubuhan serta syarikat swasta dengan kolaborasinya kini melibatkan 550 rakan strategik.
Anugerah Hawana 2022 bertujuan mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Kali pertama Hawana diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – Sinar Harian / Bernama
Kes keracunan makanan biasanya lebih tinggi ketika masuknya bulan Ramadan. Ini disebabkan adanya bazar Ramadan dan ramai yang berkunjung untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.
Walaupun begitu, sebagai pengguna kita kena memastikan terlebih dahulu tahap kebersihan atau piawaian kualiti makanan yang disediakan sebelum membelinya.
Justeru itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam perkongsian di Tiktok memberi pesanan kepada orang ramai yang mahu mendapatkan juadah kegemaran di bazar Ramadan agar berhati-hati dalam membeli mencuba makanan dan minuman yang dijuaal.
Ini kerana biasanya kes keracunan makanan meningkat ketika di bulan Ramadan. Beliau turut merujuk kepada kes dua kanak-kanak yang disyaki keracunan makanan selepas berbuka puasa dengan makanan yang dibeli di bazar Ramadan.
Menurut KJ kes keracunan makanan tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh memudharatkan kesihatan dan ada juga ada yang boleh menyebabkan kematian.
Justeru, KJ mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan 5 perkara ini untuk pastikán makanan bersih dan selamat.
1. Yang pertama jaga kebersihan diri, basuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan dan sebelum makan.
2. Guna peralatan berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran pada makanan yang telahpun dimasak.
3. Masak makanan dengan sempurna. Dan pastikan dimakan dalam tempoh tak lebih 4 jam selepas dimasak.
Gambar sekadar hiasan.
4. Simpan makanan ready to eat pada suhu sesuai dan simpan tak lebih tiga hari dalam peti sejuk.
5. Guna bahan mentah yang fresh dan air yang bersih untuk memasak. Dan sebelum makan, praktis konsep lihat hidu, dan rasa. Kalau ada bau atau rasa yang pelik, janganlah makan. Pastikan selamat dan bersih sebelum makan.
Nampak agak menarik resepi Patty Ayam dan Sosej yang dikongsikan oleh seorang wanita, Puan Umaina Aziz, dalam laman group Diet Suku-suku Separuh baru-baru ini.
Sesekali nak juga makan sedap tetapi risau terlebih kalori, jadi mungkin anda boleh cuba buat kudap-kudap ini.
Makan Tanpa Rasa Bersalah
Menurut Umaina, dia saja nak kongsi resepi patty ayam dan sosej homemade itu untuk anda makan tanpa fikir rasa bersalah macam makan sosej dan food process yang lain.
“Saya belajar buat ni masa saya amalkan diet atkin dulu. Sekarang guna Diet Suku-suku Separuh je senang.
“Saya kongsi resepi, mana tahu boleh tambah idea untuk cipta menu-menu harian yang best guna patty dan sosej homemade ni.
“Sukatan dan bahan semua guna cara saya. Kalau ada sesiapa yang pandai kira kalori boleh lah beritahu ya,” kongsinya.
Resepi Patty Ayam Dan Sosej
500 gm isi ayam
5 biji telur
1 labu bawang putih
1 biji carrot (parut halus)
3 sb tepung ubi
Bahan perasa secukupnya
** sedikit lada hitam
** 3 biji bawang merah
** sebiji bawang besar
** Yang ni optional. Nak bubuh tak apa, tak bubuh pun tak apa. Kalau nak ganti bawang holland pun boleh.
Cara-cara:
1. Kisar isi ayam, telur, bawang putih, lada hitam, bawang merah, bawang besar dan carrot sampai hancur. Kalau blender tak boleh putar, boleh tambah sedikit susu fresh/full cream atau sedikit air. (tambah agak-agak bagi boleh blend ja. Saya tambah dalam ½ cawan susu full cream).
2. Masukkan bahan blend tadi dalam bekas. Tambahkan bahan perasa sikit dan tepung ubi (tepung apa-apa pon boleh). Gaul sebati.
Saya tambah 3 sudu kecil maggi cukup rasa, 3 sudu kecil serbuk lada putih dan 3 sudu kecil serbuk lada hitam.
Boleh juga kalau nak tambah apa-apa herb. Saya tak ada, jadi tak bubuh.
3. Masukkan dalam loyang, kukus 20 minit.
Saya kukus dalam acuan kek saiz 4 inci. Timbang 50 gm setiap satu bekas. Dapat 10 bekas, kukus 10 minit guna bekas ni.
Selebihnya saya masukkan dalam plastik ais krim malaysia untuk buat sosej. Ikat plastik dan kukus (saya dapat 10 plastik. Satu plastik 70 gm).
Kalau nak tahu sosej dah masak bila dia keluar pecah dari plastik. Boleh frozen sesiap macam sosej di kedai.
Nak best lagi sebelum goreng celup telur dan gaul serbuk roti. Rasa rangup-rangup gitu.
Boleh juga kalau nak buat nugget. Kukus dalam loyang then potong ikot selera. Atau boleh kukus dalam apa-apa bekas silicon/acuan pelbagai bentuk.
Ayam tu boleh juga gantikan dengan daging fresh, ikan, udang, ketam atau haiwan lain.
Selamat mencuba.
Lubuk konten Kesihatan dan penjagaan diri segalanya di seeNI. Rapi kini di seeNI. Download seeNI sekarang!