Dulu ketika kecil, pastinya kita pernah mengalami beguk di bahagian leher dan selalunya hanya gunakan petua lama dengan meletakkan nila untuk memastikan bengkak surut.
Beguk juga boleh berjangkit kepada orang lain dengan cepat. Malah beberapa tahun lalu viral apabila ada sekolah terpaksa ditutup bagi memutuskan rangkaian jangkitan beguk ini.
Justeru bagi merungkai permasalah mengenai beguk, dalam sat temubual bersama Sinar Plus, Pegawai Perubatan Telinga, Hidung dan Tekak, Persatuan Alumni Perubatan Universiti Teknologi Mara Malaysia, Dr Nur Islam Zahari menjelaskan secara terperinci.
Dr Nur Islam menjelaskan, beguk merupakan satu infeksi virus dikenali sebagai paramyxovirus. Ia menyerang kelenjar air liur (salivary gland) yang terletak berhampiran dengan telinga atau disebut sebagai parotid pada bahagian pipi.
Jangan sesekali kita melihat beguk merupakan satu penyakit biasa.
Berdasarkan informasi yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 20 Oktober 2018, sebanyak 75 kluster beguk telah dilaporkan di seluruh Malaysia, berbanding 64 kluster pada tahun sebelumnya.
Daripada 75 kluster, sebanyak 59 kluster (78.7 peratus) berlaku di sekolah.
Berdasarkan maklumat tersebut, Dr Nur Islam berkata, beguk memang merupakan satu penyakit yang sangat mudah berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.
“Beguk boleh tersebar kepada sesiapa sahaja melalui udara, antaranya melalui percakapan,“ ujarnya.
Selain itu, ia juga boleh merebak melalui titisan air yang terhasil ketika seseorang itu bersin ataupun batuk.
Seperkara yang menakutkan daripada fakta yang dikongsikan pakar terbabit adalah tentang bahaya amalan berkongsi peralatan makanan seperti sudu dan cawan atau barangan peribadi lain
“Perilaku itu boleh meningkatkan lagi risiko seseorang untuk mendapat jangkitan. Kekurangan penjagaan kebersihan yang baik seperti tidak mencuci tangan dengan betul pun dapat meningkatkan penyebaran virus paramyxovirus itu,” beritahunya.
Pegawai perubatan itu berkata, beguk sangat mudah menjangkiti golongan kanak-kanak berbanding dewasa.
Tanda-Tanda Beguk
“Tanda-tanda atau gejala beguk pada mereka biasanya dapat dikesan antara 12 hingga 25 hari selepas dijangkiti. Namun, terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak menunjukkan langsung simptom pada peringkat awal,” katanya.
Berikut antara gejala yang mungkin dialami oleh pesakit:
Dalam beberapa keadaan tertentu, sesetengah pesakit lelaki akan mengalami bengkak dan sakit pada bahagian kelamin.
“Jadi, apabila terdapat kesemua gejala yang saya nyatakan tadi berlaku, saya nasihatkan pesakit segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut agar rawatan yang sesuai dapat diberikan,” katanya.
Dr Nur Islam berkata, kebanyakan individu yang dijangkiti beguk tidak perlu risau kerana penyakit itu boleh beransur baik.
Pun demikian, pesakit masih boleh terdedah kepada risiko untuk mendapat komplikasi jika jangkitan virus tersebut merebak pada bahagian tubuh lain.
“Antara komplikasi beguk yang mungkin boleh berlaku jika tidak diawasi sepenuhnya adalah seperti meningitis (keradangan pada lapisan selaput yang membaluti otak dan saraf tunjang), orkitis (keradangan pada testis), pankreatitis (keradangan pada pankreas) dan hilang pendengaran,” jelasnya.
Namun, satu perkara yang dibangkitkan beliau, tiada rawatan seperti ubat-ubatan khusus bagi menyembuhkan penyakit beguk sepenuhnya, termasuklah cara perubatan kampung seperti menitik nila pada anggota yang bengkak.
“Rawatan untuk melegakan gejala sahaja boleh diberikan kepada mereka,” terangnya.
Sememangnya tiada ubat spesifik untuk beguk, tetapi simptom-simptomnya boleh dilegakan dengan:
Sementara itu, Doktor Hidung, Tekak dan Telinga, Klinik Firdaus, Johor Bahru, Johor, Dr Mohammad Firdaus Ismail ketika dihubungi baru-baru ini berkata, beguk akan pulih sepenuhnya dalam tempoh kurang dari dua minggu.
“Namun, kalau ikutkan perhitungan biasa, saya simpulkan tempoh kesembuhan penyakit biasanya ambil masa sekitar 10 hari.
“Selepas mengalami beberapa gejala ringan, pembengkakan biasanya akan berlarutan sekitar tiga hingga lima hari sahaja dan akan surut dengan sendirinya,” ujarnya memberitahu cara terbaik untuk mencegah beguk adalah dengan mengambil suntikan vaksin.
Artikel Berkaitan:
Kanak-Kanak 8 Tahun Rakyat Malaysia Pertama Positif Omicron, Babitkan Kes Kedua Dilapor KKM
Penggemar Kopi Elak Minum Jenis Ini. Boleh Sebabkan Jantung Berhenti & Komplikasi Lain!
Letak Baby Oil, Cara Selamat Keluarkan Serangga Dalam Telinga. Doktor Ajar Caranya!