Jangan ambil remeh apabila anda merasa sakit-sakit pada bahagian ibu jari kaki. Mungkin ini petanda awal anda menghidap penyakit gout.
Malahan, jika ditanya apakah yang dirasa ketika gout menyerang? Jawapannya, bahagian yang terkena gout membengkak, panas, berdenyut-denyut sehingga sesetengah pesakit tidak dapat berjalan.
Di samping itu, gout sering dikaitkan sebagai penyakit lelaki dan ia jarang sekali berlaku kepada wanita.
Perlu ketahui, penyakit ini kerap terjadi kepada seseorang yang banyak memakan daging dan makanan laut, gemar minuman beralkohol dan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Namun, tidak dinafikan, sebahagian daripada masalah gout adalah disebabkan oleh faktor genetik.
Pembawa genetik ini mempunyai masalah dengan metabolisme asid urik dalam badan. Jadi, sesiapa yang mempunyai keturunan gout berkemungkinan lebih tinggi untuk mendapat gout sepanjang hayat mereka.
Gout berlaku dalam 1-2% dari jumlah populasi penduduk. Pada dekad ini, kejadian gout menjadi semakin biasa di kalangan penduduk. Ini dipercayai kerana peningkatan dalam fakta risiko seperti sindrom metabolik, peningkatan jangka hayat dan pertukaran diet yang diambil.
Dikatakan LELAKI dewasa adalah pengidap gout yang kerap berlaku berbanding dengan wanita dan kanak-kanak.
Lelaki – berusia 30 tahun ke atas.kerana gemar mengambil makanan seperti daging, makanan laut berlebihan, minuman beralkohol dan minuman bergula fructose yang meningkatkan paras urik.
Wanita – berlaku pada umur 50 tahun ke atas iaitu selepas menopause.
Sebanyak 12% dari kes gout adalah disebabkan oleh diet. Gout mempunyai kaitan yang kuat dengan pengambilan makanan seperti daging dan makanan laut, minuman yang beralkohol dan bergula fructose. Pengambilan makanan dan minuman ini akan menyebabkan peningkatan mendadak asid urik dalam darah seterusnya menyebabkan gout.
– Sendi Metatarso-Phalangeal – Terletak pada pangkal ibu jari kaki. Ia adalah bahagian yang paling kerap berlaku serangan gout, di mana 50% kes gout berlaku pada sendi ini. Ia juga dikenali sebagai “podagra”.
– Bahagian lain yang seringkali terlibat adalah sendi buku lali, lutut, pergelangan tangan dan sendi-sendi halus pada jari-jari tangan.
– Manakala sendi pada kaki kerap mendapat serangan gout kerana suhu pada bahagian ini yang rendah pada waktu malam menyebabkan proses pemendapan kristal asid urik meningkat lebih tinggi atau disebabkan kemungkinan trauma fizikal minor yang lebih mudah berlaku pada bahagian ini.
Seseorang yang mengalami gout apabila sendi menjadi sakit dan ia berlaku dalam tempoh 2-4 jam. Biasanya, ia berlaku pada tengah malam. Sendi-sendi yang terlibat ini menjadi teramat sakit, bengkak, kulit kemerahan dan sukar untuk digerakkan.
Kesakitan akibat serangan gout boleh berlarutan selama 5-7 hari, sekiranya tiada rawatan diberikan. Selepas itu, bengkak dan kulit kemerahan juga berkurangan apabila sakit menghilang.
Info: Sebanyak 60% dari pesakit gout ini akan mendapat serangan gout kali kedua dalam tempoh satu tahun.
Apabila seseorang itu mengalami gout, mereka dinasihatkan menggelak atau mengurangkan pengambilan daging dan makanan laut serta tidak mengambil minuman beralkohol dan bergula fructose yang tinggi.
Dapatkan rawatan dengan berjumpa doktor. Doktor akan membuat diagnosis dengan mendapatkan sejarah penyakit, membuat pemeriksaan fizikal serta membuat ujian darah dan x-ray sekiranya diperlukan.
Selain itu, doktor akan melakukan Definatif diagnosis untuk gout dengan mengenalpasti kehadiran Kristal Monosodium Urate di dalam cecair synovial atau Tophi. Setelah dikenalpasti gout, pesakit akan diberikan ubat untuk mengurangkan simptom sakit pada sendi yang terlibat.
Rawatan yang diberikan oleh doktor dapat memulihkan pesakit seperti biasa. Dengan penggunaan ubat seperti NSAIDs, steroids dan Colchicine, ia dapat mengurangkan simptom sakit dan bengkak.
Apabila serangan akut telah reda, paras asid urik selalunya menurun melalui perubahan cara hidup dan untuk mereka yang selalu dapat serangan gout berulang, allopurinol atau probenecid boleh menghalang serangan gout untuk jangka masa panjang.
Paras asid urik yang sentiasa tinggi untuk tempoh yang lama boleh menimbulkan simptomatologi lain atau komplikasi termasuk pembentukan bengkak pada sendi oleh pemendapan kristal asid urik yang dipanggil Tophi.
Tophi yang terlalu teruk boleh membawa kepada kronik arthritis dan kerosakan sendi disebabkan hakisan pada tulang. Paras asid urik yang tinggi juga boleh menyebabkan pemendapan kristal ke dalam buah pinggang sehingga menyebabkan pembentukan batu karang dan seterusnya masalah urate nephropathy (kerosakan fungsi buah pinggang).
Sendi yang terkena serangan gout akan membengkak, kulit kemerahan dan pergerakan terbatas. Sendi tersebut juga terasa panas dan sakit apabila disentuh. NSAIDs, adalah ubat anti radang serta penahan sakit dan Colchicine, ubat untuk mengurangkan paras asid urik di dalam darah. Ubatan ini diberikan bagi melegakan simptom-simptom tersebut.
Selepas beberapa jam pengambilan ubat-ubat tersebut simptom sakit akan berkurangan, dan selepas beberapa hari bengkak, kemerahan dan rasa panas pada sendi tersebut turut berkurangan.
Setelah sakit dan bengkak hilang, sendi akan kembali normal dan boleh digerakkan seperti biasa. Pada masa tersebut pesakit boleh berjalan seperti biasa tanpa ada rasa sakit lagi pada sendi ibu jari kaki atau lutut.
Memang terdapat banyak rawatan alternatif atau tradisional seperti ubat-ubatan herba yang terdapat di pasaran tetapi keberkesanannya berbanding dengan ubat modern tidak dapat dipastikan kerana tidak ada kajian saintifik mengenai penggunaan ubat-ubat herba kepada pesakit yang dilakukan ke atas pesakit.
– Pesakit yang mendapat serangan gout perlu banyak berehat sambil mengangkat kaki dengan meletakkan kaki di atas bantal. Ini bertujuan untuk mengurangkan bengkak dan sakit pada sendi kaki.
– Pesakit juga boleh menggunakan ais atau tuam sejuk untuk mengurangkan bengkak pada sendi.
– Pesakit juga digalakkan minum lebih banyak air kosong. Semasa serangan, elakkan dari memakan daging dan makanan laut, minum minuman beralkohol dan bergula fructose yang tinggi.
– Meminum kopi dan pengambilan vitamin c dan produk tenusu juga dipercayai dapat mengurangkan risiko serangan gout.
– Amalkan cara hidup dan cara pemakanan yang sihat untuk mengelakkan dari mendapat penyakit gout terutamanya bagi anda yang mempunyai risiko keturunan.
– Anda digalakkan untuk melakukan senaman secara rutin untuk mengekalkan kecergasan badan dan mengekalkan berat badan yang ideal.
– Mengambil makanan yang seimbang dan tidak mengandungi daging, makanan laut dan minuman yang beralkohol.
Sumber: Dr Bazam Abdul Rani, Consultant of Sportsorthopaedic & Arthroscopic Surgery, Knee, Ankle & Shoulder Surgeon, Kelana Jaya Medical Centre
Lama tidak kelihatan pelakon, Datin Fouziah Gous di kaca Tv, agak rindu nak melihat aura jelita wanita ini yang sebelum ini aktif dalam bidang lakonan.
Fouziah atau nama penuhnya Noh Fouziah Mohd Gous, sekarang agak selektif dalam pemilihan lakonan sebab tidak mahu muncul dengan karakter sama seperti pernah dibawa sebelum ini.
Tidak dinafikan, penampilan Datin Fouziah Gous sering menarik perhatian peminat sejak pembabitan awalnya dalam industri seni. Bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik bahkan dia juga dikagumi kerana bakat yang ada dalam diri.
Biarpun sudah berumah tangga dan berstatus isteri, pesona Datin Fouziah tetap memukau. Apatah lagi dia juga ibu kepada dua anak!
“Saya seorang yang sangat simple dan tak ada nak keluar duit banyak-banyak atau every month nak pergi facial dan pusat estetik. Memang jarang sangat. To be honest, sebelum kahwin saya akan pergi ke spa dan buat facial setiap bulan atau sebulan dua kali.
“Tapi sejak ada anak, saya sacrifice. Dari segi pemakanan, diet ‘ketat’ tak ada. Cuma saya kurangkan minuman yang sangat manis dan saya minum FG Walet setiap hari, amalkan pengambilan sarang burung serta exercise setiap minggu.
Kalau sebelum kahwin dulu almost everyday exercise. Saya kira penjagaan tubuh badan dari muda dulu banyak membantu kesihatan saya sekarang. Saya juga seorang yang tak suka makanan yang sangat berminyak dan kalau saya masak sendiri pun saya akan pastikan ia kurang minyak.”
Menyentuh soal perkahwinan, Datin Fouziah dan suaminya memilih jalan bercinta lepas kahwin. Jadi cabaran bercinta lepas kahwin lain sedikit. Ceritanya, “apa yang saya belajar adalah kita kena fokus pada benda yang sepatutnya. Contoh, bila suami kita ada kelebihan, alhamdulillah.
“Itu adalah bonus kita tapi kalau pasangan ada kekuarangan, di situlah ‘resipi’ rumah tangga dan kita kena ‘cintakan’ kekurangan dia. Jangan kita create satu kebencian atau fokus kekurangan dia. Kalau kita terima kekurangan dia dan support dengan kelebihan yang kita ada, kita terima each other, kita tak akan rasa kurang.
Saya tak ada masalah dengan itu dan selalu fikir positif. Kena faham macam mana nak toleransi dengan suami,” kongsinya lagi.
Begitulah kemanisan rumah tangga yang dirasai oleh selebriti ini sepanjang berada dalam industri. Apa pun, doakan yang baik-baik untuk kehidupan Datin Fouziah Gous. Tetapi jika teruja nak cantik macamnya, anda boleh cuba aktif bersenam dan rajin jaga kecantikan dari awal usia.
Setiap rumah pastinya mempunyai kotak penyimpanan ubåt sebagai persediaan bila ada salah seorang anggota keluarga ditimpa sakit.
Kebiasaannya ubat berbentuk tablet akan disimpan dalam kotak dan ditempatkan pada ruang lebih selamat.
Manakala ubat berbentuk cecair pula disimpan dalam peti sejuk. Adakah cara menyimpan ubat ini betul mengikut kaedah perubatan.
Perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad memberitahu tip menyimpan ubat yang betul di rumah. Menurutnya penyimpanan ubat yang betul dan selamat penting bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan ubat terjamin.
Pengambilan ubat dengan kaedah yang betul amat penting bagi memastikan kesan perawatan mencapai kesan terapeutik yang diingini.
Namun begitu, cara penyimpanan ubat yang selamat dan betul juga penting kerana ia dapat memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan ubat terjamin.
Berikut adalah tips cara penyimpanan ubat yang selamat dan betul:
1. SIMPAN ubat di tempat yang selamat dan dikhaskan supaya mudah dicari.
Menyimpan ubat di tempat yang dikhaskan akan memudahkan anda mencari ubat tersebut jika berlaku sebarang kecemasan. Selain itu, ia juga memudahkan anda untuk mengingati tempat ubat tersebut disimpan. Cara ini dapat meningkatkan kepatuhan anda untuk mengambil ubat pada waktu yang telah ditetapkan.
2. SIMPAN ubat secara berasingan mengikut jenis ubat seperti ubat makan (tablet, sirap dan sebagainya) dan ubat kegunaan luar (krim, salap, ubat titis mata dan sebagainya).
Mengasingkan ubat-ubatan mengikut jenis ubat dapat membantu mengurangkan kekeliruan. Mencampur aduk ubat-ubatan yang berlainan jenis boleh menyebabkan kesilapan pengambilan ubat dan juga tindak balas fizikal di antara ubat-ubatan tersebut. Jika ini berlaku, dikhuatiri kualiti ubat akan terjejas, keberkesanan ubat akan berkurang dan keselamatan pengambilan tidak terjamin sepenuhnya.
3. SIMPAN ubat mengikut suhu yang disarankan (sila rujuk kepada sisip bungkusan ubat). Contohnya:
•Dalam ruang tengah peti sejuk : 2-8°C. (Contoh: insulin, ubat titis mata, suspensi antibiotik yang telah dibancuh)
•Tempat dingin bilik berhawa dingin : 8-15°C (Contoh: kapsul gel lembut)
•Suhu bilik : 15-30°C (Contoh: ubat tablet dan kapsul)
Penyimpanan ubat di tempat yang betul juga boleh mengelakkan daripada ubat tersebut daripada mengalami kerosakan. Terdapat beberapa jenis ubat yang memerlukan tempat penyimpanan dengan suhu yang tertentu.
Jika ubat tersebut rosak disebabkan cara penyimpanan yang tidak betul, kualiti ubat akan terganggu, keberkesanan rawatan tidak terjamin dan berkemungkinan anda juga akan mendapat kesan sampingan yang tidak diingini.
4. SIMPAN ubat dalam bekas yang asal, jangan tanggalkan label ubat asal yang mengandungi maklumat seperti nama ubat, kekuatan ubat, cara pengambilan, kaedah penyimpanan dan tarikh luput.
5. SIMPAN ubat di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak.
Menyimpan dan meletakkan ubat jauh daripada kanak-kanak adalah cara penyimpanan yang selamat. Meletakkan ubat di tempat yang tinggi dan bekas yang penutupnya tidak dapat dibuka (child resistant cap) dapat mengelakkan kanak-kanak daripada termakan ubat yang boleh membahayakan mereka.
1. JANGAN simpan ubat anda di dalam kereta dalam jangkamasa yang lama.
2. JANGAN simpan ubat yang berlainan dalam bekas yang sama dan bercampur aduk.
3. JANGAN simpan ubat anda di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari, suhu tinggi dan kawasan yang lembap seperti di tepi tingkap, di atas peti sejuk dan di dalam bilik mandi.
4. JANGAN simpan ubat di dalam peti sejuk kecuali diarahkan berbuat demikian.
5. JANGAN simpan ubat yang telah tamat tarikh luput, rosak atau hilang labelnya.
Nampak remeh tapi kesannya besar! Melangkau sesi memanaskan badan boleh mengundang risiko kecederaan serius seperti otot terkoyak, sakit sendi, hingga tekanan jantung. Ketahui kenapa warm up adalah langkah paling penting sebelum anda mula bersukan.