Semalam pengacara dan pelakon popular Uyaina Arshad Selamat diijabkabulkan bersama pilihan hati yang juga seorang selebriti Raja Syahiran.
Uyaina yang cantik mengenakan persalinan nikah RIZMAN RUZAINI BRIDAL COUTURE rekaan Kurung Pahang diberi sentuhan moden dengan RR signature pointy shoulder dan disulam indan dengan perincian rona klasik emas.
Gaya ratu sehari turut diserikan dengan penggunaan french lace yang di penuhi perincian dari sulaman tangan khas Uyaina Arshad menyerlahkan lagi penampilan Juara Puteri Muslimah Asia 2018 (Indisiar) dan Juara Pencarian Nona Manis 2015 (TV3) ini.
Pasagan sama cantik sama padan ini turut mendapat pujian daripada warga net. Masing-masing suka dengan persalinan Uyaina yang simple tetapi lebih pada classy.
Uyaina Arshad, 29, selamat bernikah dengan penyanyi Raja Syahiran, 28, pada jam 9.03 pagi di Colony Star Boulevard, di sini, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh abang kandung, Uyaina iaitu Mohd Attaful Uzair Arshad bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah serta dua saksi.
Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi apabila majlis akad nikah berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pagi ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.
“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,” katanya.
yahiran atau nama penuhnya Raja Azhanrianshah menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.
Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga.
Menurut Uyaina, dia dan Syahiran memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu namun terpaksa menangguhkan hasrat itu disebabkan varian baharu Covid-19.
“Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” katanya yang memilih #URS sebagai tanda pagar rasmi walimatulurus mereka yang turut membawa makna “Yours’.
Untuk majlis pernikahan ini juga wajah Uyaina mendapat sentuhan Mekap Artist Yna Sakinah yang bertanggung jawab menata rias menjadikan dirinya pengantin paling cantik penutup tirai tahun 2021 ini.
Setiap wanita pastinya akan mengalami pengalaman berdepan masalah senggugut atau sakit ketika datang haid.
Masalah ini dianggap bukan sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan wanita tanpa mengira usia selagi sistem reproduktifnya masih aktif.
Kejang perut, kembung, sakit pinggang serta pelbagai lagi adalah antara gejala yang dialami, dan tahap kesakitannya juga berbeza.
Namun senggugut yang teruk boleh mengganggu kualiti kehidupan seseorang wanita. Malah menurut pakar obstetrik dan ginekologi, ada yang perlu mengambil ubat tahan sakit setiap kali haid.
Menurut mereka, umumnya kesakitan haid ini disebabkan masalah pada sistem peranakan, dan paling biasa ialah fibroid pada uterus dan adenomiosis, dua ketumbuhan benigna yang ditemukan pada rahim atau uterus.
Selain pengambilan ubat tahan sakit yang hanya memberi kelegaan sementara, ada kaedah rawatan lain yang boleh “membebaskan” wanita daripada senggugut seperti miomektomi dan adenomiomektomi, dua prosedur melibatkan pembedahan namun berisiko menyebabkan komplikasi semasa hamil, selain alternatif yang lebih drastik iaitu histerektomi – prosedur membuang uterus.
Namun tidak ramai wanita yang sanggup menjalani prosedur terbabit. Justeru, apa lagi pilihan yang ada?
Baru-baru ini, Mahkota Medical Centre (MMC) melancarkan kaedah rawatan berasaskan ultrabunyi yang pertama di negara ini – High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) – khusus untuk menangani masalah ginekologi terutamanya adenomiosis dan fibroid.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi MMC Dr S. Selva ketika dihubungi Bernama, berkata HIFU merupakan kaedah rawatan tidak invasif yang menawarkan tempoh pulih lebih singkat selain tidak menjejaskan kesuburan wanita.
Tidak seperti prosedur lain, pesakit tidak perlu menunggu uterus mereka pulih sepenuhnya sebelum mencuba untuk hamil, jelas beliau, dan menambah HIFU merupakan penyelesaian terbaik yang dapat mengurangkan impak terhadap kesuburan serta risiko komplikasi yang dihadapi oleh wanita yang menjalani rawatan tipikal bagi fibroid dan adenomiosis.
“Menerusi teknologi HIFU ini, MMC mengubah landskap rawatan bagi wanita dengan opsyen rawatan tidak invasif dan canggih namun terbukti memberikan hasil positif secara klinikal selain mengekalkan tahap kesuburan mereka.
“Teknologi HIFU menggunakan tenaga bunyi tertumpu untuk memanaskan dan memusnahkan tisu sasaran. Teknologi ini digunakan bagi merawat pelbagai masalah kesihatan seperti batu karang, katarak, gangguan neurologi, nodul tiroid benigna, penyakit prostat dan tumor pepejal, selain digunakan dalam terapi paliatif. Dalam bidang ginekologi, teknologi HIFU boleh digunakan untuk merawat fibroid uterus dan adenomiosis,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Selva berkata HIFU merupakan rawatan khas menggunakan transduser ultrabunyi berintensiti tinggi yang menumpukan gelombang bunyi di lokasi khusus, meningkatkan suhu setempat tisu daripada 60 darjah Celsius kepada 80 darjah Celsius dan menghasilkan nekrosis koagulatif tisu.
“HIFU dijalankan dengan berpandu sama ada pada Pengimejan Resonans Magnetik (MRgFUS) atau Ultrabunyi (USgHIFU) sebagai modaliti pengimejan bagi menyasarkan rawatan di kawasan fokus pada tisu dan pada masa sama mengelakkan kerosakan tisu-tisu lain.
“Kelebihan utama USgHIFU berbanding MRgFUS ialah kaedah tersebut menawarkan pengimejan pada masa sebenar, sekali gus membolehkan doktor melihat tisu yang berkenaan semasa prosedur dijalankan. Kaedah itu juga menggunakan transduser yang lebih besar dan lebih berkuasa, sekali gus memendekkan tempoh dan meningkatkan keberkesanan rawatan.
“USgHIFU turut memberikan akses lebih baik kepada pesakit selain fleksibiliti dalam posisi pesakit, justeru pesakit berasa lebih selesa, Selain itu, kaedah berkenaan juga lebih murah,” jelas beliau.
Memandangkan HIFU membabitkan prosedur tidak invasif, pesakit tidak memerlukan anestesia am semasa menjalani prosedur selain rawatan juga tidak meninggalkan kesan parut pada pesakit.
Prosedur tersebut mempunyai tempoh pulih yang lebih singkat berbanding miomektomi dan histerektomi. Rawatan HIFU juga lebih sesuai bagi wanita yang berhasrat untuk hamil kerana prosedur berkenaan tidak menjejaskan otot dan tisu lain pada uterus.
Menurut Dr Selva, disebabkan teknologi HIFU tidak meninggalkan kesan parut yang banyak pada dinding uterus, pengembangan rahim semasa kehamilan dan kontraktiliti ketika proses melahirkan dapat dikekalkan.
“Sesi rawatan HIFU berdasarkan ultrabunyi berlangsung selama satu hingga empat jam, dan dalam kebanyakan kes, rawatan boleh dilakukan dalam satu sesi sahaja. Pesakit dengan jumlah fibroid yang banyak atau bersaiz besar mungkin memerlukan beberapa sesi. Prosedur ini juga tidak menyebabkan pesakit kehilangan darah, bermakna pemindahan darah tidak perlu.
“HIFU juga boleh mengurangkan risiko komplikasi berpotensi yang mungkin berlaku semasa pembedahan membuang adenomioma atau fibroid. Paling penting, pesakit yang berhasrat untuk hamil tidak perlu menunggu sehingga rahim mereka pulih sepenuhnya sebelum cuba mengandung,” katanya.
Selain itu, pesakit juga boleh mengadakan hubungan seks selepas kitaran haid yang seterusnya berakhir memandangkan beberapa kajian terkini menunjukkan pesakit berjaya hamil dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas menjalani rawatan HIFU, sama ada mengandung secara semula jadi atau dibantu melalui rawatan reproduktif.
Ramai yang agak keliru dengan penggunaan bedak asas/foundation dengan pelindung cahaya matahari atau sunblock.
Apakah kedua-duanya benda yang sama atau mempunyai peranan tersendiri. Perkongsian dari Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM, Dr Fatimah Salim memberitahu pentingnya penggunaan pelindung cahaya matahari ini dalam menjaga kulit wajah.
Biasa saya tidak manjakan kulit kalau duduk di rumah, cukup setakat pakai pelembab. Pelindung cahaya matahari juga saya tidak pakai kerana yakin dengan cermin rumah yang tinted.
Namun disebabkan cuaca panas yang amat, hari ini saja saya sudah 3 kali pakai pelindung cahaya matahari (pagi, lepas zuhur dan lepas azar).
Tahukah anda pemakaian pelindung cahaya matahari SANGAT penting? YA. Terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit yang cerah disebabkan kurangnya pigmen melanin.
Selain memberikan warna kepada kulit, melanin merupakan bahan kimia semula jadi yang dihasilkan oleh kulit yang mana berfungsi untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat cahaya matahari yang berlebihan.
Nak tahu lebih mengenai pelindung kulit daripada cahaya matahari ini, jom baca ulasan yang pernah saya kongsikan dulu
————————————————————————————- PELINDUNG CAHAYA MATAHARI Kita selalu dengar mengenai produk penjagaan kulit yang dikenali sebagai pelindung cahaya matahari (sun protection). Daripada beberapa maklumat yang saya perolehi, ramai yang keliru dengan istilah “Chemical and Physical sun protection”, begitu juga dengan istilah “sunblock” (penghalang matahari) dan “sunscreen” (pengadang matahari).
Maka artikel ini akan cuba untuk menjelaskan perbezaan, dan keperluan mereka ini dari sudut kimia. Sebelum itu mari kita ulangkaji dulu apa itu cahaya matahari (tenaga apa yang terdapat di dalamnya) dan struktur kimia kulit agar kita jelas tentang fungsi perlindungan yang dimaksudkan, juga jenis interaksi kimia yang mampu dihasilkan.
Apakah yang Membentuk Cahaya Matahari?
Cahaya matahari ialah sebahagian daripada gelombang elektromagnet (electromagnetic wave) bersifat gabungan cahaya dan haba yang dipancarkan oleh matahari.
Sinaran yang sampai kepada kita telah ditapis oleh lapisan atmosfera bumi yang mana terdiri daripada tiga kumpulan tenaga iaitu ~5% ultraungu (Ultra Violet: kurang dari 400 nm), ~43% cahaya Nampak (visible: 400 – 700 nm), dan ~55% inframerah (IR: lebih dari 700 nm).
Antara jenis tenaga yang dibawa oleh cahaya matahari ini, tenaga UV merupakan tenaga yang paling kuat yang mana mampu berinteraksi dengan sel kulit, seterusnya menyebabkan perubahan kepada struktur kimia kulit kita.
Tenaga UV yang sampai kepada kulit kita ini diklasifikasikan kepada dua, mengikut jumlah kerosakkan yang mampu dilakukannya iaitu dikenali sebagai ultra violet ageing (UVA: 320 – 400 nm), dan ultra violet burning (UVB: 290 – 320 nm).
Dan cahaya UV inilah yang harus dielakkan dari mencapai ke permukaan kulit kita kerana ianya mampu menggelapkan dan membakar lapisan kulit (sunburn), seterusnya menyumbang kepada masalah kulit yang lebih teruk termasuklah penuaan pramatang dan kanser.
Bagaimanakah Struktur Kimia Kulit?
Kulit kita ialah epitilium berlintap (stratified epithelium), di mana setiap lapisan mengandungi jenis sel yang berlainan dan menjalankan fungsi yang berlainan. Ianya terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu epidermis, dermis dan hypodermis.
Di sini kita akan memberi tumpuan kepada lapisan paling luar iaitu lapisan epidermis yang mana terbentuk daripada dua lapisan utama yang dipanggil lapisan corneum (mengandungi sel-sel mati dan mengelupas), dan Malpighian (mengandungi pigment melanin yang memberi warna kepada kulit).
Lapisan corneum terbentuk dari bahan-bahan kimia semulajadi seperti ceramides, cholesterol dan free fatty acids. Antara bahan-bahan kimia ini, ceramides mendominasi (~50%) dan terbentuk dari molekul berkomponen sphingoid (sphingosine, phytosphingosine, 6-hydroxysphingosine atau dihydrosphingosine) yang memiliki sifat hydrophobic (tidak suka air) dan hydrophilic (suka air) – rujuk gambar di bawah.
Bahagian hydrophilic ini mampu membentuk ikatan hydrogen (Hydrogen bond) dengan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari yang digunakan pada kulit. Lapisan Malpighian mengandungi sel-sel aktif yang berperanan menggantikan sel-sel mati pada lapisan corneum tadi dan berfungsi sebagai pelindung dari pancaran cahaya matahari.
Walaupun kulit secara semulajadi mempunyai pelindung cahaya matahari, namun disebabkan oleh pelbagai faktor (genetik, diet pemakanan, stress, aktiviti harian, perubahan hormone, usia, jantina dan pemakaian produk harian) akan penyumbang kepada kepelbagian komposisi bahan kimia kulit.
Tambahan pula kita berada di negara Malaysia yang beriklim panas (dan lembab), kita memerlukan perlindungan tambahan iaitu dengan memakai pelindung cahaya matahari yang bersesuian.
Apakah itu Pelindung Cahaya Matahari?
Pelindung cahaya matahari ialah formulasi produk berupa losen, gel, lilin (waxes) atau semburan yang mengandungi campuran bahan kimia aktif yang dipakai pada permukaan luar kulit (topikal) bertujuan untuk melindungi kulit dari sinaran UV matahari. Pelindung cahaya matahari ini diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu kimia dan fizikal – lihat contoh gambar di bawah .
Pelindung cahaya matahari kimia mengandungi bahan kimia organik seperti octylcrylen, avobenzone, actinoxate… yang mudah larut dalam air, larutan organik atau minyak. Disebabkan oleh sifat keterlarutan, bahan kimia ini mampu membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kimia kulit dan menghasilkan kemasan kepada si pemakai.
Bahan kimia pelindung ini akan menyerap cahaya UV yang terkena padanya dan menukarkan tenaga UV ini kepada sinaran electromagnet yang lebih rendah tenaga (kurang mudarat) iaitu infrared (IR) untuk dibebaskan.
Pelindung cahaya matahari kimia biasanya menjadi pilihan kerana ianya mudah penyerap dalam kulit dan memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh, namun boleh menyebabkan kerengsaan kulit kerana cahaya yang diserap oleh bahan kimia tadi berbentuk haba yang boleh dipindahkan kepada sel kulit. Namun kesan ini bergantung kepada tahap sensitiviti kulit masing-masing.
Pelindung cahaya matahari fizikal pula mengandungi bahan kimia tidak organik seperti zinc oxide, titanium dioxide…yang tidak larut. Maka ianya tidak akan membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kulit, namun bergantung kepada jumlahnya, mungkin mengaruh (induced) daya electrostatik dengan komponen kulit tadi.
Pada awalnya, mekanisma perlindungan oleh bahan kimia ini diterangkan sebagai memantulkan (reflect) atau menyelerakkan (scatters) cahaya UV menjauhi kulit. Namun, kajian mutakhir membuktikan bahawa mekanisma lindungan ini hanyalah benar jika partikel bahan kimia yang digunakan adalah bersaiz besar.
Memandangkan kini banyak penambahbaikan telah dibuat seperti mengecilkan saiz partikel (nanoteknologi) bahan kimia bermetal ini juga sebenarnya menyerap cahaya UV.
Pelindung cahaya matahari jenis fizikal kurang digemari kerana melekit, sifat metalik bahan kimia yang digunakan (berkilat pada kulit) dan kurang kemasan (finishing) pada kulit, namun pelindung cahaya matahari jenis ini lebih selamat dan sesuai untuk jenis kulit sensitif.
Terdapat juga pelindung cahaya matahari yang mengandungi bahan kimia yang bersifat fizikal dan kimia (hybrid) seperti bisoctrizole atau lebih dikenali dengan nama Tinosorb M. Bahan kimia jenis ini menjadi bahan penstabil bahan kimia organik sedia ada, agar kurang termusnah dek kerana serapan cahaya UV yang berlebihan.
Di masa yang sama ianya juga mempunyai jangkauan lindungan UVA dan UVB yang lebih luas serta lebih stabil daripada pelindung cahaya matahari jenis kimia dan fizikal bersendirian. Namun, pengunaan pelindung cahaya matahari jenis ini tidak diketahui kesan jangka panjangnya pada kulit.
Apa pula perbezaan “Sunblock” dan “Sunscreen”?
Sebenarnya sunblock dan sunscreen adalah bertujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan kepada lapisan luar kulit daripada terkena cahaya UV matahari. Asalnya istilah “sunblock” digunakan untuk pelindung cahaya matahari yang bersifat fizikal kerana mekanisma lindungan dengan pemantulan atau penyelerakkan tadi.
Namun setelah dibuktikan melalui kajian mutakhir yang mana mekanisma lindungannya juga adalah melalui serapan (absorption), maka istilah “sunblock” ditarik semula dan diseragamkan kepada istilah “sunscreen” sahaja. Walaubagaimanapun, konsep awal ini masih lagi digunakan secara meluas oleh penerang awam (baca: kebiasaan).
Bagaimana Memilih Pelindung Cahaya Matahari?
Selain daripada mengambil kira kesesuaian kulit, pemilihan dalam pelindung cahaya matahari juga dinilai dengan melihat Sun Protection Factor (SPF) dan Protection against UVA (PA) [atau biasa dinyatakan ‘broad spectrum protection’ sahaja] yang mampu ditawarkan oleh produk tersebut.
SPF merupakan skala yang digunakan untuk menilai daya tahan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari melawan cahaya UV selama 10 minit sebelum sampai ke lapisan kulit. Ianya diukur dengan kadar serendah 2 sehingga 100.
SPF dikira dengan mengunakan formula matematik yang komplex namun boleh diringkaskan seperti:
Contoh, produk yang mempunyai SPF 15 mampu bertahan di bawah terik matahari selama 150 minit (15 x 10) sebelum permukaan kulit terbakar (sunburn).
Namun, kesilapan yang biasa berlaku adalah dengan menganggap tempoh keberkesanan pelindungan boleh diambil secara terus dari hasil pendaraban ini.
Faktor lain juga harus diambil perhatian kerana jumlah pendedahan matahari terhadap kulit adalah lebih bergantung kepada tempoh masa yang dihabiskan di bawah matahari, keterikan cahaya matahari (jumlah cahaya UV pada ketika itu), dan ketahanan bahan kimia pelindung sebelum termusnah.
Juga kandungan lain di dalam formulasi pelindung cahaya matahari seperti bahan kimia barium sulfate dan talcum (talc). Dan yang paling penting ialah cara pemakaian yang betul (jumlah yang perlu disapu pada kulit) mengikut kesesuian aktiviti.
Nota Kaki: Jika anda mempunyai kulit yang sangat sensitif, mohon rujuk pakar kulit untuk cadangan pilihan pelindung cahaya matahari yang bersesuaian. Semoga bermanfaat ChM Dr Fatimah Salim Ahli Kimia #skincarelover
Mempunyai anak ramai bukanlah alasan untuk pelakon dan juga usahawan, Ayu Raudhah ini tidak menjaga penampilan diri.
Malah sebagai seorang selebriti, perlu baginya memastikan penampilan sentiasa kelihatan cantik dan anggun setiap masa.
Ayu Raudhah Jaga Penampilan Walau Anak Ramai
Bagi Ayu Raudhah, walau sibuk menguruskan lima orang anak-anak yang masih kecil, dia tetap cuba meluangkan masa melakukan rutin penjagaan wajah.
“Ayu memang sangat mementingkan penampilan diri. Bagi ayu perlu cukup minum air, tidur yang cukup juga penting untuk mmengembalikan tenaga yang telah digunakan sepanjang hari.
“Bagi Ayu enam jam saja dah cukup tetapi kena awal jangan lewat sebab akan membuatkan diri kita nampak lebih tua nanti,” ujar Ayu yang lebih senang melakukan rutin harian penjagaan wajah yang memudahkan dirinya.
“Rutin Ayu, setiap malam wajib kena cuci muka disebabkan bermekap sebelah siangnya. Kemudian kita apply toner dan juga pelembap dan inilah step paling simple kita selalu buat,” katanya yang memang sentiasa teruja mahu kelihatan cantik setiap masa.
Tambah Ayu lagi, dia juga turut menggunakan petua tradisional ketika dalam berpantang.
“Kalau ikutkan dalam tempoh pantang 44 hari itu kita amalkan pantang tradisional dan amalkan makan ulam sebagai makanan harian. Ini paling favourite Ayu setiap kali makan.
“Ayu juga sebenarnya pernah alami masalah cela pada kulit wajah lebih-lebih lagi bila malas untuk melakukan perawatan wajah yang biasa kita lakukan. Ini seperti pemakaian toner dan sunblock UV yang boleh sebabkan timbulnya bintik-bintik jeragat pada muka.
“Masalah bersalin kerap juga menjadi salah satu menyebabkan timbulnya celah di wajah ini. Tetapi lepas itu memang Ayu akan gagah merawat wajah agar masalah tidak jadi lebih teruk nanti,” katanya lagi.
Amalan Bulan Puasa
Bagi memastikan dirinya kekal fit dan bertenaga tiap kali berpuasa, dia akan minum air dan makan yang cukup terutama waktu sahur.
“Biasanya waktu berbuka ayu akan ambil makanan sikit saja, takpun sekadar minum air. Tetapi sahur memang kena ambil makanan banyak.
“Oleh kerana masih menyusu badan, Ayu memang akan lebihkan pengambilan sumber protein yang banyak untuk memperbanyakkan air susu,” kongsinya kepada umum.
Ayu atau nama penuhnya Raudhah Che Wan baru berjinak-jinak menceburi dunia perniagaan termasuk mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung.
Ayu dan suami, Zaquan Adha juga ada membuka kafe makanan di Seremban. Malah menurut Ayu dia juga disunting sebagai duta pakaian wanita mampu milik, byLR.
“Saya tidak belajar tinggi. Saya tak malu mengakuinya, bahkan bangga dengan semangat diri. Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah tak ada latar belakang jurusan perniagaan pun. Namun saya percaya pengalaman menjadi azimat berharga.
“Lalu ketika pihak byLR mempelawa untuk menjadi rakan strategik bagi memasarkan jenama itu, saya cabar diri. Komitmen saya bukan setakat duta, tapi juga ke depan dalam meningkatkan pengaruh serta kesedaran jenama itu.” Cerita Ayu Raudhah tentang bisnesnya.
Jadi kepada wanita yang sudah berumahtangga dan bersalin, jangan abaikan bab penjagaan kulit wajah ya. Memang akan tua dan akhirnya nampak kedut, tetapi sekurang-kurangnya ada cara untuk melambatkan proses itu dan naikkan seri untuk suami tersayang.
Nampak remeh tapi kesannya besar! Melangkau sesi memanaskan badan boleh mengundang risiko kecederaan serius seperti otot terkoyak, sakit sendi, hingga tekanan jantung. Ketahui kenapa warm up adalah langkah paling penting sebelum anda mula bersukan.