Ramai yang agak keliru dengan penggunaan bedak asas/foundation dengan pelindung cahaya matahari atau sunblock.

Apakah kedua-duanya benda yang sama atau mempunyai peranan tersendiri. Perkongsian dari Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM, Dr Fatimah Salim memberitahu pentingnya penggunaan pelindung cahaya matahari ini dalam menjaga kulit wajah.

Penting Pakai Pelindung Cahaya Matahari Untuk Lindungi Kulit Wajah. Pakar Kimia Jelaskan Sebabnya!

Biasa saya tidak manjakan kulit kalau duduk di rumah, cukup setakat pakai pelembab. Pelindung cahaya matahari juga saya tidak pakai kerana yakin dengan cermin rumah yang tinted.

Namun disebabkan cuaca panas yang amat, hari ini saja saya sudah 3 kali pakai pelindung cahaya matahari (pagi, lepas zuhur dan lepas azar).

Tahukah anda pemakaian pelindung cahaya matahari SANGAT penting?
YA. Terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit yang cerah disebabkan kurangnya pigmen melanin.

Selain memberikan warna kepada kulit, melanin merupakan bahan kimia semula jadi yang dihasilkan oleh kulit yang mana berfungsi untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat cahaya matahari yang berlebihan.

Nak tahu lebih mengenai pelindung kulit daripada cahaya matahari ini, jom baca ulasan yang pernah saya kongsikan dulu 
————————————————————————————-
PELINDUNG CAHAYA MATAHARI
Kita selalu dengar mengenai produk penjagaan kulit yang dikenali sebagai pelindung cahaya matahari (sun protection). Daripada beberapa maklumat yang saya perolehi, ramai yang keliru dengan istilah “Chemical and Physical sun protection”, begitu juga dengan istilah “sunblock” (penghalang matahari) dan “sunscreen” (pengadang matahari).

Maka artikel ini akan cuba untuk menjelaskan perbezaan, dan keperluan mereka ini dari sudut kimia. Sebelum itu mari kita ulangkaji dulu apa itu cahaya matahari (tenaga apa yang terdapat di dalamnya) dan struktur kimia kulit agar kita jelas tentang fungsi perlindungan yang dimaksudkan, juga jenis interaksi kimia yang mampu dihasilkan.

Apakah yang Membentuk Cahaya Matahari?

Cahaya matahari ialah sebahagian daripada gelombang elektromagnet (electromagnetic wave) bersifat gabungan cahaya dan haba yang dipancarkan oleh matahari.

Sinaran yang sampai kepada kita telah ditapis oleh lapisan atmosfera bumi yang mana terdiri daripada tiga kumpulan tenaga iaitu ~5% ultraungu (Ultra Violet: kurang dari 400 nm), ~43% cahaya Nampak (visible: 400 – 700 nm), dan ~55% inframerah (IR: lebih dari 700 nm).

Antara jenis tenaga yang dibawa oleh cahaya matahari ini, tenaga UV merupakan tenaga yang paling kuat yang mana mampu berinteraksi dengan sel kulit, seterusnya menyebabkan perubahan kepada struktur kimia kulit kita.

Tenaga UV yang sampai kepada kulit kita ini diklasifikasikan kepada dua, mengikut jumlah kerosakkan yang mampu dilakukannya iaitu dikenali sebagai ultra violet ageing (UVA: 320 – 400 nm), dan ultra violet burning (UVB: 290 – 320 nm).

Dan cahaya UV inilah yang harus dielakkan dari mencapai ke permukaan kulit kita kerana ianya mampu menggelapkan dan membakar lapisan kulit (sunburn), seterusnya menyumbang kepada masalah kulit yang lebih teruk termasuklah penuaan pramatang dan kanser.

Penting Pakai Pelindung Cahaya Matahari Untuk Lindungi Kulit Wajah. Pakar Kimia Jelaskan Sebabnya!

IKLAN

Bagaimanakah Struktur Kimia Kulit?

Kulit kita ialah epitilium berlintap (stratified epithelium), di mana setiap lapisan mengandungi jenis sel yang berlainan dan menjalankan fungsi yang berlainan. Ianya terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu epidermis, dermis dan hypodermis.

Di sini kita akan memberi tumpuan kepada lapisan paling luar iaitu lapisan epidermis yang mana terbentuk daripada dua lapisan utama yang dipanggil lapisan corneum (mengandungi sel-sel mati dan mengelupas), dan Malpighian (mengandungi pigment melanin yang memberi warna kepada kulit).

Lapisan corneum terbentuk dari bahan-bahan kimia semulajadi seperti ceramides, cholesterol dan free fatty acids. Antara bahan-bahan kimia ini, ceramides mendominasi (~50%) dan terbentuk dari molekul berkomponen sphingoid (sphingosine, phytosphingosine, 6-hydroxysphingosine atau dihydrosphingosine) yang memiliki sifat hydrophobic (tidak suka air) dan hydrophilic (suka air) – rujuk gambar di bawah.

Bahagian hydrophilic ini mampu membentuk ikatan hydrogen (Hydrogen bond) dengan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari yang digunakan pada kulit.
Lapisan Malpighian mengandungi sel-sel aktif yang berperanan menggantikan sel-sel mati pada lapisan corneum tadi dan berfungsi sebagai pelindung dari pancaran cahaya matahari.

Walaupun kulit secara semulajadi mempunyai pelindung cahaya matahari, namun disebabkan oleh pelbagai faktor (genetik, diet pemakanan, stress, aktiviti harian, perubahan hormone, usia, jantina dan pemakaian produk harian) akan penyumbang kepada kepelbagian komposisi bahan kimia kulit.

Tambahan pula kita berada di negara Malaysia yang beriklim panas (dan lembab), kita memerlukan perlindungan tambahan iaitu dengan memakai pelindung cahaya matahari yang bersesuian.

Apakah itu Pelindung Cahaya Matahari?

Pelindung cahaya matahari ialah formulasi produk berupa losen, gel, lilin (waxes) atau semburan yang mengandungi campuran bahan kimia aktif yang dipakai pada permukaan luar kulit (topikal) bertujuan untuk melindungi kulit dari sinaran UV matahari. Pelindung cahaya matahari ini diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu kimia dan fizikal – lihat contoh gambar di bawah .

Pelindung cahaya matahari kimia mengandungi bahan kimia organik seperti octylcrylen, avobenzone, actinoxate… yang mudah larut dalam air, larutan organik atau minyak. Disebabkan oleh sifat keterlarutan, bahan kimia ini mampu membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kimia kulit dan menghasilkan kemasan kepada si pemakai.

Bahan kimia pelindung ini akan menyerap cahaya UV yang terkena padanya dan menukarkan tenaga UV ini kepada sinaran electromagnet yang lebih rendah tenaga (kurang mudarat) iaitu infrared (IR) untuk dibebaskan.

IKLAN

Pelindung cahaya matahari kimia biasanya menjadi pilihan kerana ianya mudah penyerap dalam kulit dan memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh, namun boleh menyebabkan kerengsaan kulit kerana cahaya yang diserap oleh bahan kimia tadi berbentuk haba yang boleh dipindahkan kepada sel kulit. Namun kesan ini bergantung kepada tahap sensitiviti kulit masing-masing.

Pelindung cahaya matahari fizikal pula mengandungi bahan kimia tidak organik seperti zinc oxide, titanium dioxide…yang tidak larut. Maka ianya tidak akan membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kulit, namun bergantung kepada jumlahnya, mungkin mengaruh (induced) daya electrostatik dengan komponen kulit tadi.

Pada awalnya, mekanisma perlindungan oleh bahan kimia ini diterangkan sebagai memantulkan (reflect) atau menyelerakkan (scatters) cahaya UV menjauhi kulit. Namun, kajian mutakhir membuktikan bahawa mekanisma lindungan ini hanyalah benar jika partikel bahan kimia yang digunakan adalah bersaiz besar.

Memandangkan kini banyak penambahbaikan telah dibuat seperti mengecilkan saiz partikel (nanoteknologi) bahan kimia bermetal ini juga sebenarnya menyerap cahaya UV.

Pelindung cahaya matahari jenis fizikal kurang digemari kerana melekit, sifat metalik bahan kimia yang digunakan (berkilat pada kulit) dan kurang kemasan (finishing) pada kulit, namun pelindung cahaya matahari jenis ini lebih selamat dan sesuai untuk jenis kulit sensitif.

Terdapat juga pelindung cahaya matahari yang mengandungi bahan kimia yang bersifat fizikal dan kimia (hybrid) seperti bisoctrizole atau lebih dikenali dengan nama Tinosorb M. Bahan kimia jenis ini menjadi bahan penstabil bahan kimia organik sedia ada, agar kurang termusnah dek kerana serapan cahaya UV yang berlebihan.

Di masa yang sama ianya juga mempunyai jangkauan lindungan UVA dan UVB yang lebih luas serta lebih stabil daripada pelindung cahaya matahari jenis kimia dan fizikal bersendirian. Namun, pengunaan pelindung cahaya matahari jenis ini tidak diketahui kesan jangka panjangnya pada kulit.

Penting Pakai Pelindung Cahaya Matahari Untuk Lindungi Kulit Wajah. Pakar Kimia Jelaskan Sebabnya!

Apa pula perbezaan “Sunblock” dan “Sunscreen”?

Sebenarnya sunblock dan sunscreen adalah bertujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan kepada lapisan luar kulit daripada terkena cahaya UV matahari. Asalnya istilah “sunblock” digunakan untuk pelindung cahaya matahari yang bersifat fizikal kerana mekanisma lindungan dengan pemantulan atau penyelerakkan tadi.

IKLAN

Namun setelah dibuktikan melalui kajian mutakhir yang mana mekanisma lindungannya juga adalah melalui serapan (absorption), maka istilah “sunblock” ditarik semula dan diseragamkan kepada istilah “sunscreen” sahaja. Walaubagaimanapun, konsep awal ini masih lagi digunakan secara meluas oleh penerang awam (baca: kebiasaan).

Bagaimana Memilih Pelindung Cahaya Matahari?

Selain daripada mengambil kira kesesuaian kulit, pemilihan dalam pelindung cahaya matahari juga dinilai dengan melihat Sun Protection Factor (SPF) dan Protection against UVA (PA) [atau biasa dinyatakan ‘broad spectrum protection’ sahaja] yang mampu ditawarkan oleh produk tersebut.

SPF merupakan skala yang digunakan untuk menilai daya tahan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari melawan cahaya UV selama 10 minit sebelum sampai ke lapisan kulit. Ianya diukur dengan kadar serendah 2 sehingga 100.

SPF dikira dengan mengunakan formula matematik yang komplex namun boleh diringkaskan seperti:

Contoh, produk yang mempunyai SPF 15 mampu bertahan di bawah terik matahari selama 150 minit (15 x 10) sebelum permukaan kulit terbakar (sunburn).

Namun, kesilapan yang biasa berlaku adalah dengan menganggap tempoh keberkesanan pelindungan boleh diambil secara terus dari hasil pendaraban ini.

Faktor lain juga harus diambil perhatian kerana jumlah pendedahan matahari terhadap kulit adalah lebih bergantung kepada tempoh masa yang dihabiskan di bawah matahari, keterikan cahaya matahari (jumlah cahaya UV pada ketika itu), dan ketahanan bahan kimia pelindung sebelum termusnah.

Juga kandungan lain di dalam formulasi pelindung cahaya matahari seperti bahan kimia barium sulfate dan talcum (talc). Dan yang paling penting ialah cara pemakaian yang betul (jumlah yang perlu disapu pada kulit) mengikut kesesuian aktiviti.

Penting Pakai Pelindung Cahaya Matahari Untuk Lindungi Kulit Wajah. Pakar Kimia Jelaskan Sebabnya!

Nota Kaki: Jika anda mempunyai kulit yang sangat sensitif, mohon rujuk pakar kulit untuk cadangan pilihan pelindung cahaya matahari yang bersesuaian.
Semoga bermanfaat 
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
#skincarelover

Artikel Berkaitan:

Selain itu:  5 Senaman Buat Sambil Baring, Pantas Boleh Lenyapkan Lemak Di Bahagian Perut

Konsisten Minum Campuran 3 Bahan Sebelum Tidur. Hasilnya Lepas Seminggu, Perut Jadi Kempis!

Amal Minum Campuran Susu Kunyit Badam Madu Sebelum Tidur. Rahsia Kulit Glowing, Pinkish & Awet Muda!

Pernah Muntah Balik Sebab Takut Gemuk. Lepas 2 Tahun Wanita Berjaya Kurus, Amal Diet ‘Clean’!

Lubuk konten Kesihatan dan penjagaan diri segalanya di seeNI. Rapi kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI