Anda wajib tahu tip cuci tudung kalau nak pakai lama dan bentuknya terletak elok waktu sarung, barulah tak rasa rugi beli dengan harga yang ‘melambung’.
Dan tak kisahlah tentang harga, asal anda pandai jaga kualiti tudung untuk dipakai banyak kali dan tak perlulah membazir.
Sebenarnya tak susah pun untuk memastikan tudung sentiasa dalam keadaan baik, jom semak caranya.
Tip Mudah Cuci Tudung
Apa kata anda ikuti beberapa langkah mudah penjagaan tudung agar kualitinya sentiasa dalam keadaan baik.
Ads
1. Elak guna mesin basuh
Ingat ya, tudung bersifat ringan dan lembut. Justeru ia mudah rosak apabila dibasuh menggunakan mesin basuh. Apatah lagi, korang mencuci bersama pakaian yang berat seperti baju-T, jubah fabrik likra dan seluar jean.
2.Beg jaring
Kualiti benang hijab didapati akan rapuh tatkala ia ‘berbelit’ dengan pakaian lain di dalam mesin basuh. Namun begitu, bagi wanita yang ingin mencuci menggunakan mesin terbabit, cara terbaik adalah meletakkan tudung di dalam beg kain jaring. Beg berkenaan boleh dibeli di kedai perkakasan rumah atau pasar raya besar.
Ads
3.Jangan sental
Tudung sebaik-baiknya dibasuh menggunakan tangan, tetapi jangan disental dengan kuat. Memadai ia direndam di dalam baldi yang dicampurkan bahan pencuci dan pelembut fabrik antara 10 hingga 15 minit. Kemudian, bilas tudung dengan lembut menggunakan air bersih. Ketika menyidai pula elak memerah selendang atau tudung bawal terlalu kuat.
Ads
4.Elak cahaya matahari
Lazimnya, wanita akan mencari port pancaran matahari dengan harapan tudung cepat kering. Pun demikian, tahukah korang cara berkenaan tidak wajar dipraktikkan kerana ia akan menyebabkan warna tudung pudar, sekali gus tampak kusam.
Seterusnya, apabila menggosok hijab pilihan jangan sesekali menetapkan suhu tinggi terutamanya pada tudung berasaskan fabrik lembut seperti sifon dan sutera. Haba panas melampau akan menyebabkan tudung terkoyak dan berlubang kerana terbakar.
Dapat sesuatu dalam perkongsian cuci tudung kali ini? Kalau mampu ubah, pasti warnanya tak cepat pudar dan boleh pakai banyak tahun sampai anak-anak pun masih mampu sarung. Jadi, usahakan yang terbaik ya!
Lubuk konten Kesihatan dan penjagaan diri segalanya di seeNI. Rapi kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puasa adalah bermakna kita perlu menahan diri dari makan dan minum sepanjang hari sehinggalah waktu berbuka.
Bagi memastikan kita kekal bertenaga kita digalakkan untuk bersahur dengan sesuatu yang mehyihatkan.
Memilih makanan yang sesuai pada bulan Ramadan adalah penting. Ini bagi membolehkan kita menikmati makanan yang sedap dan berkhasiat, di samping memperoleh semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Ia juga membantu mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh berpuasa.
Antara amalan pemakanan sihat yang boleh diamalkan semasa bulan puasa adalah :
Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Waktu bersahur yang digalakkan adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak.
Semasa bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat.
Makanan jenis ini memerlukan masa yang lama untuk dicerna dan mengurangkan rasa lapar. Karbohidrat kompleks mengambil masa kira-kira 8 jam untuk dicernakan sepenuhnya.
Di samping itu, sertakan juga makanan daripada protein kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan.
Pilihlah protein yang rendah Biological Value (BV) kerana semakin rendah nilai BV, maka lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan. Antara yang disyorkan adalah :
– Kekacang (49)
– Soya (74)
– Ayam (79)
– Kasein/ Protein susu (80)
– Daging (80)
– Ikan (83)
Pengambilan buah-buahan dan air juga perlu mencukupi sewaktu sahur. Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
Semasa berbuka puasa, adalah digalakkan kita mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.
Mulakan dahulu dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. Selain itu, buah kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan yang kita makan seterusnya.
Pelbagaikan pengambilan jenis makanan seperti bihun sup, sepinggan mi, atau nasi bersama ikan/ayam dan sayur-sayuran serta buah-buahan yang diambil berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.
Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup untuk mengelakkan dehidrasi. Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketidakselesaan kepada perut kita pada siang hari.
Mengambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih juga dibenarkan selepas bersembahyang tarawih tetapi jangan keterlaluan. Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi/mi goreng kerana pada waktu malam kita tidak memerlukan tenaga yang banyak.
Di samping kuantiti, kualiti makanan juga perlu dititik beratkan. Ini bagi memastikan tubuh kita menerima kembali tenaga yang telah digunakan sepanjang hari dan semua vitamin serta mineral yang diperlukan oleh tubuh.
Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara kita menyediakannya adalah mengikut resepi atau panduan makanan sihat. Sekarang inilah masanya kita cuba mengubahsuai diet kita supaya kita dapat makanan yang berkhasiat, murah dan dapat mengurangkan belanja.
Terutama lemak tepu seperti minyak sapi, mentega dan keju. Semasa menggoreng dan menumis, minimumkan penggunaan minyak supaya makanan lebih sihat di samping kita dapat berjimat-cermat.
Buah-buahan dan sayur-sayuran membekalkan vitamin, mineral dan serat.
Bagi menjimatkan perbelanjaan, pilihlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang mampu dibeli, sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran diimport atau keluaran tempatan.
Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku dan pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal, pir dan lai.
Sebagai contoh, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin.
Minum air sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari. Ketika berbuka puasa, disarankan minum jus buah-buahan (tanpa gula) dan elakkan daripada meminum minuman bergula seperti minuman kordial.
Minuman yang berkafein seperti kopi dan teh juga tidak digalakkan. Tingkatkan pengambilan air melalui makanan seperti sup, bubur dan puding.
Pengambilan makanan yang masin boleh meningkatkan rasa dahaga semasa berpuasa. Oleh itu, kurangkan makanan masin seperti ikan masin, jeruk, belacan dan kicap.
Selain itu, pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam juga boleh meningkatkan risiko kita untuk mendapat penyakit kronik seperti hipertensi.
Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis masalah kesihatan seperti kegemukan yang merupakan faktor risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi.
Bulan Ramadan juga memberikan kita peluang untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan gula.
Perlu diberikan perhatian kepada saiz hidangan kerana kecenderungan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak juga akan terjadi apabila kelaparan.
Aktiviti fizikal tetap boleh dijalankan secara sederhana pada bulan Ramadan dan tiada alasan untuk tidak kekal aktif walaupun kita berpuasa.
Walau bagaimanapun, elakkan aktiviti berat atau melakukan aktiviti di bawah panas terik yang boleh mengakibatkan dehidrasi.
Selain menjaga kecantikan wajah, seseorang wanita juga sangat obses mahu mendapatkan tubuh badan ideal.
Pelbagai cara dilakukan dan berkat kegigihan dan disiplin, tidak mustahil bagi yang mengalami kenaikan berat badan akan berjaya mendapat berat ideal.
Seperti perkongsian wanita ini, Su Fin yang sebelum ini mempunyai berat asal 97 kg tetapi berjaya lenyapkan hampir 20 kg dalam masa 8 bulan. Kini berat badannya adalah 57 kg.
Menurutnya hikmah PKP tahun lalu menyebabkan dia bertekad untuk menurunkan berat badan dan itu adalah antara kenangan paling manis buatnya.
Setelah mendapat berat ideal, dia sudah boleh melakukan aktiviti seperti melompat, makan secara rileks dan mencuba resipi yang disukai.
Antara tip diamalkan olehnya untuk mendapat berat sebegitu adalah dengan melakukan aktiviti brisk walk bermula 2 km kemudian 3 km sehari.
Dan sekarang ini apabila tubuhya sudah jadi ringan, dia boleh berjalan sehingga 5 km atau 7 km sehari tanpa sebarang masalah.
Selain itu dia juga turut menjaga pemakanannnya dengan mengamalkan pengambilan diet suku-suku separuh.
Ini antara yang menjadi hidangannya sepanjang menjalani tempoh diet berkenaan. Panduan bagi yang mahu mengikut cara dilakukan gadis ini dan pastinya tidak mustahil anda juga akan mendapat berat badan ideal.
Berapa kerap anda menukar gincu, bedak padat, pemerah pipi dan krim pelembap? Sesetengah pengguna menunggu hingga produk habis sebelum membuat keputusan membeli yang baru.
Namun, bagi yang jarang bersolek atau tidak mempraktikkan rejim kecantikan rutin, produk dibeli boleh digunakan hingga bertahun.
Jangan terkejut, sekiranya anda dinasihatkan mengganti produk lebih cepat dari tarikh luputnya.
Pakar kecantikan dari Hairtrade.com., Joanne Dodds mendedahkan, tempoh masa yang sesuai dan tepat untuk anda membeli produk baharu kosmetik kegemaran.
Joanne mengesyorkan, span solekan diganti setiap bulan manakala sesetengah minyak wangi boleh bertahan sehingga sepuluh tahun jika dijaga dengan betul.
Katanya, alat solek berkualiti selalunya menawarkan harga yang tinggi, sekali gus membuatkan pembeli menggunakannya hingga ke tarikh luput.
Namun, pakar kecantikan itu memandangnya sebagai tindakan mengundang padah, berikutan membawa pelbagai masalah kesihatan akibat jangkitan bakteria, cela wajah, radang kulit dan sebagainya.
Ia tetap berlaku, meskipun anda tidak pernah culas membersihkan berus mekap dan span.
Maskara pula katanya, perlu diganti genap empat hingga enam bulan selepas menggunakannya.
Joanne menegaskan, pengguna perlu peka tempoh hayat sesuatu produk selain jangan sayang membuangnya menjelang tarikh luput produk itu.
Beberapa produk lain turut dikemukakan Joanne untuk dipertimbangkan dibuang meliputi;
“Span bercampur kegunaan sepatutnya diganti selepas sebulan digunakan dan dibersih dengan pencuci muka selepas setiap penggunaan,” katanya Joanne.
Katanya, sebab lain span perlu ditukar termasuk sudah comot, koyak dan berderai tanpa sebab selain warnanya berubah pudar.
“Disebabkan berhubung terus dengan mata, had penggunaan maskara sepatutnya tidak melebihi tempoh tiga bulan,” Joanne memberi amaran.
Katanya, larangan berkenaan bertujuan mencegah bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan kerengsaan pada mata.
“Sebab itu, kebanyakan label di maskara menetapkan tempoh penggunaannya hanya sekitar empat hingga enam bulan sahaja,” katanya.
Tabiat membuka tutup berus maskara, mengepam masuk udara ke dalam tiub yang bukan saja menyebabkan maskara kering bahkan pencemaran bakteria.
Justeru, sewaktu memasukkan kembali berus maskara ke tempatnya, pastikan ditutup ketat bagi mengelakkan gelembung udara terperangkap di dalamnya.
“Sebaiknya, buang segera maskara yang kering dan mengalami perubahan warna, tekstur dan bau,” katanya.
Produk krim boleh bertahan cuma sekitar enam bulan kerana kandungan pelembap di dalamnya mampu membiakkan pertumbuhan bakteria.
“Amati dan kenal pasti sekiranya ada kulat, berbau dan warna kekuningan. Segera buang sekiranya krim itu nampak pelik,” kata Joanne.
Tempoh hayat bagi penggaris mata berbentuk cecair adalah enam bulan namun yang lebih membimbangkan, produk ini dikatakan mudah terdedah kepada bakteria.
Pensil celak boleh bertahan sehingga dua tahun dengan syarat, ia ditutup sempurna selepas digunakan. Mereka mengalami jangkitan mata, disyorkan tidak menggunakan pensil mata melebihi tempoh jangka hayatnya kerana dikhuatiri lebih menambah risiko jangkitan tidak diingini.
Bedak asas berbentuk krim dan cecair boleh bertahan sekitar enam bulan hingga setahun berdasarkan kandungan air, minyak dan ejen penghidratan yang membentuknya sekali gus memendekkan jangka hayat namun menambah kemunculan bakteria.
Bedak dalam bentuk serbuk kata Joanne, mampu bertahan sehingga dua tahun kerana lebih padu sekali gus menyukarkan bakteria membiak.
“Penting untuk pengguna ketahui bahan-bahan dalam bedak asas menggalakkan pembiakan kuman. Justeru, amalkan membaca label yang ditampal di belakang bedak selain buat catatan tarikh luput produk itu. Sebaiknya, cuci secara kerap perkakasan menyolek selain amalkan membersihkan tangan sebelum menyentuh sebarang kosmetik,” beritahu Joanne.
Sebagaimana maskara, kerap membuka dan tutup penutupnya membawa udara masuk ke dalam tiub sekali gus menjejaskan kualitinya.
Beli baharu sekiranya pengilat bibir anda menunjukkan perubahan warna, tekstur mahupun ketebalannya.
Pengilat kuku antara produk tidak tahan lama. Sebaik penutupnya dibuka, ia akan berwap menyebabkan cecair pengilat itu menebal malah merekah.
Bagi mengelakkan cepat rosak, pastikan penutupnya sentiasa ditutup ketat setiap kali selepas digunakan.
“Buang segera penyamar noda yang dilihat sudah mengering, berubah tekstur, berketul, pecah serta merekah selain mengeluarkan bau tidak enak,” nasihat Joanne.
Penyamar noda yang sudah rosak katanya, bukan saja menyebabkan wajah kelihatan bercapuk bahkan menghalang anda memperoleh solekan sempurna.
Berbanding pemerah pipi dan bronzer mempunyai tempoh hayat yang lama, bedak masih kelihatan elok meskipun sudah melampaui tarikh luput.
Bagaimanapun, bedak berkenaan menjadi keras dan tidak membantu mendapatkan solekan cantik selepas tamat tempoh. Begitupun, anda boleh mengurangkan pencemaran bakteria dengan kerap membersihkannya selain tidak membiarkan ia terdedah kepada udara,
Namun, jangan simpan bedak yang penutupnya rosak, berkulat dan mengeluarkan bau pelik.
Gincu yang dijaga dengan baik mampu bertahan hingga dua tahun. Bagi memastikannya kekal elok, jangan sesekali meninggalkan gincu tanpa penutup dan sesekali, lap bahagian lapisan permukaan atas gincu yang berpotensi membiakkan bakteria.
Minyak wangi yang disimpan dengan baik kekal elok meskipun sudah melebihi tarikh luput. Syaratnya, elak menyimpannya di bilik yang panas, di bawah pencahayaan terik selain memastikan ia sentiasa ditutup selepas digunakan.
Tempat terbaik menyimpan minyak wangi adalah di dalam almari namun jangan alpa memerhatikan perubahan warnanya.
Nampak remeh tapi kesannya besar! Melangkau sesi memanaskan badan boleh mengundang risiko kecederaan serius seperti otot terkoyak, sakit sendi, hingga tekanan jantung. Ketahui kenapa warm up adalah langkah paling penting sebelum anda mula bersukan.