Berdepan dengan dugaan cukup besar dalam hidupnya menjadikan diri wanita ini cukup tabah.
Biarpun sedang diuji menderita kanser usus tahap akhir, namun jiwa Noor Hafizahani Mohamad Yusof cukup kuat dan kental.
Menerima dugaan demi dugaan yang dilalui dengan tenang sememtelah dia juga kini sedang menjalani rawatan paliatif untuk mengurangkan kesakitan dialami.
Dalam satu temubual oleh Sinar Plus, dia yang juga seorang suri rumah memberitahu kisahnya bermula selepas dijangkiti kuman pada bahagian betis Ogos 2018.
Jalani Ujian Pap Smear
“Disebabkan semakin membengkak, saya terus mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Perlis.
“Pada masa itu, doktor pakar minta saya jalani ujian pap smear memandangkan kitaran haid saya tidak teratur. Saya juga sering sakit kepala, tumit kaki sentiasa berdenyut dan rasa nyeri pada bahagian abdomen,” katanya yang menetap di Felda Chuping, Kangar, Perlis.
Namun begitu, tatkala menerima satu panggilan dari klinik Pakar Obstetrik dan Ginekologi membuatkan kehidupan wanita ini berubah 360 darjah.
Masakan tidak, ketika itu pakar mengesahkan dirinya mengalami kanser pada dinding rahim tahap satu.
Ads
“Sebaik mendengar laporan kesihatan, saya terkedu dan tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Ketika doktor menyarankan untuk membuang rahim, saya merasakan dunia menjadi gelap gelita.
“Bagaimana saya tak sedih, bayangkan masa itu saya baru saja mendirikan rumah tangga, usia perkahwinan tak sampai setahun lagi. Memikirkan impian untuk memiliki zuriat punah, membuatkan jiwa saya kacau-bilau,” katanya penuh sebak.
Namun, atas nasihat doktor dan pujukan suami, suri hati kepada Mohd Shahriman Anuar, 41, itu akur dengan prosedur yang disarankan.
Jalani 4 Kali Rawatan Kimoterapi & 25 Kali Radioretapi
“Dalam tempoh dua tahun, saya sudah jalani empat prosedur rawatan kemoterapi dan 25 kali kitaran radioterapi yang memeritkan. Selain itu, saya juga sudah empat kali dibedah. Akhirnya pada awal Januari lalu, saya disahkan bebas kanser,” tambahnya yang mesra dipanggil Hani.
Namun begitu, kegembiraan itu hanya sementara apabila selepas dua minggu, muncul simptom baharu seperti kurang selera makan, sering muntah dan perut membuncit pula.
Ads
Keadaan tersebut membuatkan anak kelima daripada 10 beradik itu tidak tenang. Apatah lagi badannya semakin lemah dan mudah pitam. Adakalanya diserang cirit-birit dan sakit perut yang menyakitkan.
“Sekali lagi saya dapatkan rawatan di hospital. Selepas pemeriksaan endoskopi pada saluran usus, doktor mengesyaki saya ada kanser usus pula. Sakit yang datang berulang kali membuatkan saya tidak bermaya sehingga terpaksa bergantung kepada tongkat empat kaki.
“Kemudian ujian imbasan Computed Tomography ketiga pula dilakukan. Kali ini, pakar maklumkan sel kanser datang semula, namun kali ini dikesan pada rongga tisu di antara perut dan usus,” katanya sambil memberitahu, tahap barahnya sudah berada dalam kategori empat.
Perkhabaran itu nyata memberi tamparan pada Hani. Lebih mendukacitakan apabila doktor berterus-terang bahawa peluang untuknya sembuh tipis. Tambahan pula, tiada perubatan khusus yang dapat merawat kanser yang dideritainya.
Diberi Kekuatan Meneruskan Kehidupan
“Saya berkurung lebih tiga minggu selepas mendengar itu semua. Saya menangis hampir setiap hari dan terbaring sahaja. Namun, secara tiba-tiba pada satu hari, hati saya bagai dijentik.
Ads
“Secara automatik, fikiran saya mengenangkan pengorbanan suami yang banyak bersusah payah sehingga sanggup berhutang sepanjang rawatan kanser saya. Hal itu membuatkan saya belajar untuk bersyukur,” katanya yang bangkit dengan membantu suaminya yang juga kurang upaya penglihatan menjalankan bisnes menjual nasi lemak dan kuih-muih.
“Jika ditanya, saya sekarang hanya bergantung dengan ubat tahan sakit, namun saya tidak putus-putus berdoa kepada YANG MAHA ESA supaya diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.
“Kadang-kadang rasa down juga kerana sakit ini bukan biasa-biasa. Namun, saya sentiasa berdoa dan mengharapkan keajaiban untuk kembali sihat seperti dahulu,” jelasnya dengan tenang.
Dia juga menerima ujian menimpanya dengan reda dan selagi berpeluang bernafas di muka bumi, akan dicekalkan hati kerana mungkin terdapat ganjaran bermakna yang menanti di alam abadi.
Tak sangka sungguh, rupa paras Liza Hanim pun netizen berani kutuk. Begitu lah ‘permainan kejam’ media sosial yang semakin rancak digunakan oleh jari-jari yang tidak bertanggungjawab.
Rupa Paras Liza Hanim Dikritik Netizen
Sekadar menjawab kepada kutukan tersebut, penyanyi berusia 44 tahun itu meluah rasa syukur dengan anugerah Tuhan buat dirinya selama ini.
“Bukan sentap tetapi saya perlu menjawab hal ini. Adakah individu berkulit gelap atau hidung tidak mancung membuatkannya tidak boleh berjaya di Malaysia?
“Ya, betul saya sedar malah sangat bersyukur dengan semua yang Allah SWT telah kurniakan.
“Selagi gembira dengan keluarga, saya tidak kisahlah memgenai standard yang diletakkan oleh manusia mengenai cantik atau buruk,” tulisnya dalam Instagram.
Menyedari tidak memiliki wajah jelita seperti orang lain, Liza bagaimanapun percaya keperibadian adakala lebih penting berbanding rupa. Dia juga tertanya-tanya, mengapa dan bagaimana seseorang tergamak mengeluarkan kenyataan melampau sedemikian rupa.
“Tergamak nak bagi komen berkali-kali sebegini, motif?
“Kadang-kadang bahasa itu lagi penting daripada paras rupa ya, saya tidak goyang dengan cacian serta kutukan sesiapa tetapi budaya sekarang sangat melampau.
“Adakalanya saya tertanya-tanya juga mengenai rupa paras individu di sebalik komen ini,” tulisnya.
Pelantun Getaran Cinta Di Jiwa itu juga mengakui pelbagai perkara sudah dihadapinya sejak bergelar anak seni dan kritikan sebegitu tidak sesekali menjejaskan semangatnya untuk terus berkarya.
“Tahun 2023 merupakan tahun ke-26 saya dalam industri nyanyia, sudah pelbagai perkara saya lalui dan hadapi.
“Jadi, kutukan secara halus awak ini tidak ‘goyangkan’ semangat saya tetapi sedih kerana tidak sensitif mengenai orang lain.
“Perkongsian ini untuk semua yang pernah dikutuk seperti saya supaya bangkit dan menjadi lebih kuat serta sentiasa bersyukur dengan setiap kurniaan Allah,” jelasnya.
Dibandingkan Dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza
Apa yang lebih mengecewakan, individu tersebut turut membanding-bandingkan perjalanan karier Liza dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dianggap lebih berjaya dan cantik.
Namun pemilik akaun berkenaan dikecam teruk oleh peminat dan rakan artis yang rata-ratanya berpendapat kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan paras rupa.
Pernah atau tidak anda lihat rakan sebelah yang kerap bersin hingga menyebabkan bahagian hidung jadi merah.
Jangan tak tahu ini sebenarnya salah satu punca seseorang itu boleh mendapat sinus yang teruk dan perlu diubati segera jika tidak mahu jadi lebih mudharat.
Perkongsian Public Health Malaysia memberitahu secara detail punca sinusitis atau radang sinus yang disebabkan jangkitan bakteria ini.
PUNCA SINUSITIS
Penyakit sinusitis adalah jangkitan atau radang sinus yang boleh disebabkan daripada jangkitan virus, bakteria atau fungus. Terdapat dua faktor yang boleh menjadi punca jangkitan kuman di dalam rongga sinus.
– Rongga sinus tersumbat
– Kuantiti mukus yang meningkat
1. Laluan sinus tersumbat
Sumbatan berlaku disebabkan dinding di dalam sinus membengkak disebabkan jangkitan kuman ataupun trauma. Ia juga boleh disebabkan polip hidung, ketumbuhan balam rongga hidung, struktur/ruang hidung yang sempit dan benda asing yang menutupi lubang ostia.
2. Kuantiti Mukus Meningkat
Mereka yang mempunyai alergi hidung dan asthma, berisiko untuk mendapat sinus. Ini kerana, jika mucus akan terhasil dengan banyak jika terdedah dengan bahan yang alergik. Habuk, hama, asap rokok adalah contoh punca kepada peningkatan kuantiti mukus.
Apabila tersumbat, mukus di dalam rongga tersebut tidak dapat dikeluarkan. Lalu tempat ini menjadi tempat pembiakan bakteria dan menyebabkan keradangan di dalam rongga sinus.
Bagaimana Mengatasinya?
Hidung perlu sentiasa dibersihkan bagi mengelakkan mucus berada di dalam hidung pada masa yang lama dan menyebabkan masalah kepada sinus. Gunakan air garam. (contoh di komen)
Terdapat beberapa komplikasi yang boleh dihadapi oleh pesakit Resdung iaitu:
-Keradangan sinus: Sinus merupakan rongga kosong di tengkorak bahagian muka dan kepala
-Otitis media: Jangkitan kuman di bahagian tengah saluran telinga iaitu di belakang gegendang telinga
-Sleep Apnea: Berhenti bernafas terutamanya ketika waktu tidur