Seperti yang kita tahu buat masa ini Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sedang agresif berjalan sepeti dirancang.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang memiliki sıfat trypanophobia atau fobia dengan jarum suntikan.

Mereka yang fobia jarum suntikan ini boleh mengalami gejala yang sangat tidak selesa seperti trauma, jantung berdegup kencang, pening kepala malah pengsan.

Jadi perlukan kita elak menerima suntikan vaksin disebabkan masalah ini.

Ada beberapa tip dikongsi bagi mengelakkan rasa takut dengan jarum suntikan dapat diatasi.

Abaikan Berita Palsu Mengenai Vaksin

Pakar perubatan percaya, kebimbangan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 juga berkaitan dengan mitos-mitos yang tular dan telah dibaca oleh seseorang seperti teori konspirasi dan sebagainya.

Seseorang perlu mengabaikan mitos-mitos dan teori konspirasi yang merangkumi pelbagai berita palsu di media sosial dan aplikasi WhatsApp dan lebih baik merujuk kepada berita daripada media arus perdana atau berjumpa dengan doktor di hospital.

Carilah lebih banyak maklumat sekiranya belum boleh mengabaikan segala berita palsu tersebut dan pelajari fakta berkaitan vaksin COVID-19.

Fokus Kepada Kebaikan Vaksin COVID-19

Pakar psikiatri menyarankan orang yang takut disuntik vaksin COVID-19 agar fokus kepada perkara-perkara positif berhubung vaksin tersebut.

Ingatlah, vaksin ini bukan untuk melindungi diri kita sahaja, tetapi untuk melindungi orang yang kita cintai dan sayangi terutamanya golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit risiko tinggi.

IKLAN

Fikirkan, sekiranya sasaran imuniti kelompok dapat dicapai dengan pantas, ini membolehkan pembukaan semula negara dan tiada lagi sekatan pergerakan malah kemungkinan besar prosedur operasi standard (SOP) juga akan dilonggarkan seperti yang berlaku di Hungary, Amerika Syarikat, New Zealand dan banyak lagi negara.

Jadi pilih, mahu terus berhubung menggunakan gajet dan peranti atau berjumpa secara fizikal dengan yang tersayang.

Janganlah sampai kita terpaksa menjadi seperti Filipina apabila Presidennya Rodrigo Duterte terpaksa mengugut rakyatnya untuk pilih vaksin COVID-19 atau dikenakan hukuman penjara disebabkan rakyat Filipina masih ramai yang tidak mahu mengambil vaksin.

Fikirkan Sebagai Tanggungjawab Sosial Terhadap Orang Lain

Fikirkan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjadi benteng paling hadapan dalam memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.

Mereka juga ada keluarga, suami, isteri, anak-anak dan ibu bapa untuk dijaga dan pandemik ini telah setahun melanda, fikirkanlah perjuangan mereka yang tiada tolok bandingannya.

Ini akan lebih membuatkan kita bermotivasi untuk divaksin dan selangkah lebih dekat untuk pandemik ini berakhir dengan cepat.

IKLAN

Makan dan Minum Sebelum Terima Vaksin

Kedengaran seperti tidak perlu, tetapi mengisi perut dengan makanan terlebih dahulu sebelum divaksin dan memastikan tubuh terhidrasi dengan baik dapat membantu mengurangkan perasaan pening dan mengelakkan pengsan.

Ini kerana apabila perut lapar dan dehidrasi boleh menambah kesan negative daripada tekanan dan ketakutan untuk mendapatkan suntikan jarum.

Beritahu Petugas Kesihatan

Tidak perlu malu untuk memberitahu kepada petugas kesihatan yang menyuntik anda bahawa anda mempunyai ketakutan dan cemas dengan jarum suntikan.

Kita juga boleh meminta nasihat petugas kesihatan tersebut untuk membimbing melakukan pernafasan yang baik kerana pernafasan yang baik dapat mengurangkan kebimbangan dan memberi perasaan yang stabil dan tenang dalam situasi yang tidak menyenangkan.

Ingat Tempat Kegemaran

Sambil melakukan pernafasan secara mendalam, tutuplah mata dan cuba bayangkan tempat-tempat yang membuatkan anda rasa tenang dan bahagia.

Ini dapat membantu anda menenangkan diri walaupun dalam situasi yang membimbangkan.

IKLAN

Jangan Lihat Jarum Suntikan

Kedengarannya senang untuk dilakukan, tetapi bagi individu yang takut jarum suntikan perkara ini sukar untuk dilakukan dan kerap mengalihkan pandangan terhadap jarum suntikan.

Sekiranya anda dapat alihkan pandangan, ini dapat membantu mengurangkan rasa bimbang dan takut itu.

Membayangkan Situasi Alternatif

Ketika kita mengalihkan pandangan daripada jarum suntikan dengan menutup mata, cuba bayangkan situasi yang mirip tetapi tidak mengerikan seperti itu.

Contohnya, membayangkan rakan anda memukul lengan kita kerana bertanyakan khabar atau berita gembira lain yang boleh mengalihkan fikiran anda tentang jarum.

Ini termasuk membayangkan gigitan semut atau nyamuk dan serangga lain apabila disuntik.

Sumber: Astro Awani

Artikel Berkaitan:

Tanpa Produk, Pilih Gaya Hidup Aktif. Lelaki Kongsi Kisah Turunkan Berat Badan Dari 190KG Ke 90KG!

Jangan Pandang Ringan Gejala Trypanophobia, Yang Panik Serius Boleh Sebabkan Pengsan

Walau Alami Pecah Lidah & Ulser Kesan Rawatan Radioterapi, Tapi Berat Elyana Kini Dah Naik 7kg