Walaupun hanya duduk di rumah, anda sebenarnya masih boleh melakukan señaman kardio yang mudah seperti menaiki tangga.

Oleh itu, jika anda tinggal di rumah atau bekerja di pejabat yang mempunyai lift, elakkan menggunakannya dan gunakan tangga sebagai alternatif.

Amalan menaiki tangga ini sebenarnya mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan anda. Ini antara manfaat yang diperoleh jika anda melakukannya setiap hari dan secara konsisten.

Kebaikan Senaman Menaiki Tangga

1. Mengurangkan Risiko Angin Ahmar

Menerusi kajian bertajuk Promoting Stair Climbing as an Exercise Routine among Healthy Older Adults yang diterbitkan MDPI 2019 menyebut, rutin menaiki tangga secara konsisten (sekitar 20 hingga 34 anak tangga seminggu) dapat menurunkan risiko serangan angin ahmar, selain meningkatkan denyutan jantung dan menurunkan kesan fisiologi kepada warga emas.

2. Bakar Lebih Banyak Kalori

Menurut jurnal diterbitkan BMC Public Health pada 2012, menaiki tangga dapat membantu membakar lebih banyak kalori dalam kiraan seminit daripada berjoging atau melakukan aktiviti mendayung.

IKLAN

3. Boleh Menguatkan Otot

Jurnal bertajuk The effect of step climbing exercise on balance and step length in chronic stroke patients (2015) pula menyatakan, menaiki tangga dapat menguatkan otot kaki kerana ia melibatkan gerakan secara vertikal dan horizontal selain menjaga keseimbangan badan.

4. Meningkatkan Fungsi Paru-Paru

Aktiviti naik tangga juga dapat membantu meningkatkan fungsi paru-paru seseorang, malah ia juga baik buat mereka yang menghidap masalah paru-paru.

IKLAN

5. Menurunkan Kadar Kematian

Kajian berjudul Stair-Climbing Capacity as a Marker of Improvement Following Pulmonary Rehabilitation yang diterbitkan oleh Preventive Medicine Reports (2019) menyatakan memanjat tangga secara konsisten berpotensi membantu mengurangkan risiko pelbagai penyakit yang boleh mendatangkan maut seperti diabetes, jantung dan kanser.

6. Meningkatkan Kesihatan Mental

Tidak hanya bermanfaat untuk kesihatan fizikal, menaiki tangga juga membantu meningkatkan kerja kognitif berbanding sesi senaman berat.

Ia sekaligus dapat menjaga fungsi mental agar sentiasa lebih fokus dan terhindar daripada sebarang penyakit berkaitan mental seperti kemurungan dan kebimbangan melampau.

IKLAN

7. Mencegah Risiko Osteoporosis

Osteoporosis adalah masalah kesihatan global berkaitan dengan tulang. Amalan menaiki tangga dan berjalan kaki mampu membantu mencegah tulang mereput.

8. Meningkatkan Sensitiviti Insulin

Bagi penderita penyakit diabetes, amalan menaiki tangga dalam tempoh pendek dapat menurunkan kadar gula dalam darah sekaligus meningkatkan sensitiviti insulin dalam badan.

Artikel Berkaitan:

Selain Rajin Buat Senaman Kardio, Gadis Ini Kongsi Tip Berjaya Kurus & Langsing Tanpa Tinggalkan Nasi

Kekal Cergas 7 Hari Seminggu, Ini Senaman Boleh Diamalkan Walaupun Hanya Duduk Rumah Musim PKP Ini