Selain pengambilan roti wholemeal, ramai juga memilih makan yogurt terutama yang rendah lemak dalam pengambilan harian untuk menjaga diet.

Dan selalunya kita akan membeli dalam kuantiti yang banyak sebagai simpanan di rumah. Namun ada kalanya terlupa untuk memakannya menyebabkan yogurt berkenaan sudah melepasi tarikh luput.

Adakah dibolehkan dan selamat untuk kita makan jika sudah melepasi tarikh luput ini. Dengarkan penjelasan Ahli Kimia, Dr Fatimah Salim berkenaan isu ini.

Bolehkah Yogurt yang melepasi Tarikh Luput (expired) dimakan?

Yogurt merupakan makanan separa pejal yang disediakan melalui fermentasi susu oleh bakteria yang baik (aka probiotik) seperti Lactobacillus delbrueckii subspecies bulgaricus dan Streptococcus thermophilus. Dengan kata lain, susu sengaja dibasikan.

Semasa proses fermentasi, bahan kimia lactose (iaitu komponen gula dalam susu) akan ditukarkan oleh bakteria kepada bahan kimia asid laktik. Peningkatan jumlah asid laktik akan membuatkan rasa yogurt menjadi masam dan teksturnya menjadi padat.

Sekiranya anda takut untuk memakan makanan yang telah melepasi tarikh luput, ketahuilah kecuali susu formula bayi, untuk kebanyakkan produk makanan lain, tarikh luput hanya bertujuan menentukan kualiti, bukan isu keselamatan produk berkenaan. Ini bermaksud makanan sebegini adalah SELAMAT untuk dimakan.

Begitulah juga yogurt. Ya, tarikh luput pada yogurt adalah untuk pengeluar menjamin kualitinya sehingga tarikh ini sahaja. Ini benar kerana yogurt yang sudah melepasi tarikh luput, akan berubah menjadi lebih masam dan teksturnya akan menjadi lebih berair disebabkan pertambahan jumlah bakteria yang beraktiviti. Inilah yang dinamakan kualitinya sudah berkurangan.

IKLAN

Apabila dimakan begitu saja, sesetengah sistem penghadaman tidak tahan lalu boleh menyebabkan cirit birit dan sakit perut. Namun jika dicampurkan dalam masakan, tiada masalah kerana bakteria ini akan mati dengan suhu memasak.

Namun, tidaklah bermakna yogurt itu boleh disimpan selama mungkin. Umumnya yogurt kosong (plain yogurt) yang BELUM dibuka boleh dimakan setelah sebulan daripada tarikh luput. Bagi produk yang telah dibuka terutamanya yang telah disenduk ke mulut, biasanya selamat setelah tempoh seminggu. Ini kerana yogurt telah terdedah dengan bakteria luar daripada air liur pada senduk dan udara yang akan mempercepatkan ianya rosak.

Untuk yogurt berbuah atau berperisa pula, biasanya lebih mudah rosak disebabkan pertumbuhan yis dan kulat.

Yogurt yang sudah rosak ini sebenarnya boleh ditentukan melalui deria melalui hidung, mata dan lidah kita. Selain daripada yogurt menjadi lebih masam dan berair, perubahan lain dari segi rupa, warna, bau dan rasa adalah indikasi ianya sudah tidak selamat dimakan.

IKLAN

Makanan yang telah dicemari bakteria luar, berkulat atau beryis boleh menyebabkan keracunan makanan. Antara gejala keracunan makana ini adalah cirit birit, sakit perut dan muntah-muntah. Sekiranya gejala berterusan, dapatkan rawatan dengan segera.

Tips untuk memanjangkan jangka hayat yogurt:

• Setelah dibeli, cepat-cepat simpan dalam peti sejuk. Suhu yang sejuk boleh memperlahankan aktiviti bakteria sedia ada dalam yogurt.

• Tidak perlu membuka bungkusan yogurt selagi belum dimakan atau digunakan.

• Sekiranya anda menyenduk yogurt, pastikan senduk adalah bersih termasuklah tidak terdedah dengan air liur. Ini boleh mengelakkan kontaminasi bakteria luar daripada udara dan air liur.

IKLAN

• Dan pastikan tutup rapat yogurt bagi mengelakkan cemaran silang dari peti sejuk dan udara disebabkan aktiviti kerap membuka peti sejuk.

• Untuk simpanan yang lebih lama, bekukan yogurt dalam peti sejuk beku. Suhu beku akan merencatkan aktiviti bakteria dalam yogurt. Cuma mungkin teksturnya sedikit berubah apabila dinyahbeku kelak.

Kesimpulannya, yogurt yang sudah melepasi tarikh luput masih lagi boleh dan selamat dimakan. Cuma pastikan rupa, warna, bau dan rasa yogurt masih berkeadaan elok.

Artikel Berkaitan:

Ambil 16 Jenis Makanan Ini, Boleh Kurangkan Hormon Estrogen Berlebihan. Punca Penyakit Berkaitan Peranakan Wanita

Nak Beli Barangan Plastik, Ahli Kimia Ini Ingatkan Tengok Dulu Nombor Kod Tiga Segi & Elak Barangan Warna Hitam!