Popular dengan nama gam gajah dek kerana logo binatang itu tertera pada bahagian luar labelnya.

Namun gam gajah atau super glue mempunyai fungsi yang sama dengan beberapa jenama gam lain yang ada di pasaran.

Kekuatan gam ini melekat pada permukaan menjadikan gam gajah ini memang popular dalam kalangan pembuat DIY atau hiasan kraf.

Apa isi kandungan di sebalik super glue ini dan bagaimana jika terkena pada tangan untuk berberapa hari.

Penjelasan Ahli Kimia yang juga Pensyarah Kanan UiTM, Dr Fatimah Salim memberi penerangan mengenainya.

Superglue adalah pelekat yang sangat kuat. Ianya terdiri dari bahan kimia utama jenis cyanoacrylate iaitu ethyl, methyl atau 2-octyl cyanoacrylate. Kaedah superglue ini mengikat dengan pantas dan kuat adalah disebabkan oleh pengaktifan bahan kimia jenis cyanoacrylate oleh air.

IKLAN

Hanya sedikit air diperlukan untuk mengaktifkan komponen utama superglue ini, contoh tindak balas dengan lembapan air dalam udara. Tindak balas dengan molekul-molekul air (H2O -dihidrogen monoksida) akan menghasilkan carbonucleophile yang mana kemudiannya akan memulakan tindak balas berangkai sesama sendiri menghasilkan rantaian polimer cyanoacrylate berwarna putih. Dengan terbentuknya rantaian polimer ini, tekstur superglue akan mengeras lalu ikatan yang kuat akan terbentuk pada permukaan yang disentuhnya.

Superglue sebenarnya dihasilkan tanpa sengaja. Asalnya ditemui semasa pencarian plastik gun sight pada tahun 1942, namun diabaikan kerana ianya melekat kepada apa saja yang bersentuhan dengannya.

Ianya kemudian ditemui lagi tanpa sengaja pada tahun 1951, semasa kajian mencari polimer untuk jet canopies. Akhirnya pada tahun 1958, potensi bahan kimia ini diperakui sebagai pengikat yang kuat lalu dikomersialkan sehingga kini.

Superglue punya sangat banyak fungsi dalam kehidupan kita. Namun ianya juga dengan mudah boleh terikat pada kulit kerana wujudnya lembapan pada permukaan kulit kita. Jika tidak ditanggalkan, ianya boleh melekat pada kulit sekitar 3-5 hari.

Antara cara mudah dan berkesan untuk menanggalkan superglue daripada kulit adalah dengan menggosok garam pada bahagian yang terkena. Bagi memastikan hasil yang optimum, pastikan bahagian kulit yang terkena superglue itu kering.

IKLAN

Kemudian gosok/ gesel perlahan-lahan dengan garam sehingga garam larut bersama lembapan pada kulit dan basuh dengan air. Garam kasar menyumbang kepada geseran dan garam yang larut akan menghasilkan ion-ion yang boleh memutuskan ikatan superglue daripada kulit lalu memudahkan proses penanggalan.

Sekiranya bahagian yang terkena itu banyak, maka boleh ulangi kaedah sama beberapa kali sehingga superglue betul-betul tertanggal. Cuma hati-hati jika berlebihan kerana kulit boleh menjadi pedih.

Nota: Bagi mereka yang ada bahan yang berasaskan acetone (2-propanone atau dimethyl ketone) seperti ‘nail polish remover’, atau penanggal/ varnish cat, boleh juga membantu dalam menanggalkan superglue.

IKLAN

Semoga bermanfaat!

ChM Dr Fatimah Salim Ahli Kimia

Artikel Berkaitan:

Kelebihan Minum Air Rebusan Kurma Cina, Bagus Untuk Kesihatan Dalaman Wanita

Susah Bernafas, Bersin & Badan Naik Bintik-Bintik Sebab Alergi Debu. Ini Pesan Tya Arifin Pada Kaum Ibu!

Merana Akibat Sakit Tekak. Doktor Kongsi Cara Kumur Air Garam Atau Makan Aiskrim Kurangkan Sakit!