Jaga Makan Saja Tak Cukup, Kenalah Aktif & Ceria. Rahsia Raja Ema Awet Muda Usia Separuh Abad! Setiap kali mendengar siulan lagu Jejaka Idaman yang cukup sinonim dengan penyanyi ini, Raja Ema membuatkan hati terasa lebih ceria dan gembira.
Apa tidaknya, penyanyi lagu ini juga dilihat sebagai seorang yang mudah ceria, gembira dan enjoy menjalani rutin hariannya.
Biarpun hidup sendirian lebih 20 tahun, tiada langsung istilah sunyi buat penyanyi dan pelakon berbakat ini.
Malah dirinya juga sentiasa bersikap positif dan itulah rahsia Raja Ema kekal menawan biarpun usia sudah melewati separuh abad.
Dalam artikel di Harian Metro, pada usia 54 tahun ini dia malas untuk berfikir soal jodoh atau mencari teman hidup sebaliknya lebih seronok menikmati kehidupan solo di samping dua anaknya, Putera Ammar, 28, dan Putera Al Kashah, 26.
“Sebenarnya saya sudah malas nak fikir sebab urusan jodoh ini kita tak tahu bagaimana akhirannya. Kalau berniaga atau terbabit dalam dunia seni saya tahu apa yang bakal saya capai.
“Saya bukan nak menakutkan sesiapa tetapi bila bab perkahwinan ini kita berurusan dengan manusia. Kalau kita berharap perkahwinan yang dibina itu sehingga ke syurga sekali pun, belum tentu kita dapat mencapainya.
“Memanglah kita boleh bebaskan seseorang dengan bercerai bila sudah tiada hati. Tapi kalau ditakdirkan bercerai berapa banyak masa sudah dibuang dan dibazirkan.
“Bukankah lebih baik masa itu kita gunakan dengan perkara berfaedah untuk diri sendiri? Tiada istilah sunyi dalam hidup saya. Kalau ada pasangan belum tentu saya boleh buat macam-macam benda,” katanya.
Menurut Raja Ema atau mesra dipanggil Kekma, walaupun ramai yang menganggap kehidupan berpasangan lebih membawa kebahagiaan kepada kehidupan seseorang tetapi dia pula berfikiran sebaliknya.
Ads
“Bila saya katakan saya gembira dengan kehidupan solo ramai yang tidak percaya. Mungkin mereka fikir bila ada pasangan baru terbit rasa bahagia itu, tapi tidak dinafikan juga ada individu yang solo tapi tak gembira kerana mereka mahukan pasangan hidup.
“Cuma saya sudah tetapkan yang mati nanti pun seorang, jadi saya okey saja begini. Tipulah kalau saya katakan saya tidak takut apabila bersendirian, lebih-lebih lagi baru dijangkiti Covid-19 pada awal tahun ini sehingga tidak dapat teruskan perniagaan.
“Setiap ujian yang dilalui menguatkan saya untuk terus kuat dan berserah kepada takdir Ilahi. Saya tidak meletakkan sebarang harapan tapi biarlah urusan jodoh ini datang pada waktu yang tepat,” kata dalam usia begini mengakui tidak terlalu obses dengan berfesyen.
Dia memberitahu lebih gemar menyarung pants yang dipadankan dengan coats labuh atau bergaya dengan gaun kembang bersesuaian. Terutama apabila digayakan untuk majlis tidak terlalu formal.
Ketika ditanya tip untuk kekal sihat dan cantik, Raja Ema dalam satu perkongsian di Youtube memberitahu perlu sentiasa aktifkan diri.
“Bila kita aktifkan diri, kita akan rasa lebih ceria, lebih cergas dan fikiran juga jadi tidak jadi terlalu kusut.
“Selain itu, saya memang sangat menjaga pemakanan. Dalam masa sama sekali atau dua kali seminggu atau dua minggu sekali Kekma memang akan pergi bersenam dan sebagainya untuk menjaga kesihatan,” katanya yang memang dari dulu sangat minat berniaga terudama dalam bidang kecantikan.
Ramai yang agak keliru dengan penggunaan bedak asas/foundation dengan pelindung cahaya matahari atau sunblock.
Apakah kedua-duanya benda yang sama atau mempunyai peranan tersendiri. Perkongsian dari Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM, Dr Fatimah Salim memberitahu pentingnya penggunaan pelindung cahaya matahari ini dalam menjaga kulit wajah.
Biasa saya tidak manjakan kulit kalau duduk di rumah, cukup setakat pakai pelembab. Pelindung cahaya matahari juga saya tidak pakai kerana yakin dengan cermin rumah yang tinted.
Namun disebabkan cuaca panas yang amat, hari ini saja saya sudah 3 kali pakai pelindung cahaya matahari (pagi, lepas zuhur dan lepas azar).
Tahukah anda pemakaian pelindung cahaya matahari SANGAT penting? YA. Terutamanya bagi mereka yang memiliki kulit yang cerah disebabkan kurangnya pigmen melanin.
Selain memberikan warna kepada kulit, melanin merupakan bahan kimia semula jadi yang dihasilkan oleh kulit yang mana berfungsi untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat cahaya matahari yang berlebihan.
Nak tahu lebih mengenai pelindung kulit daripada cahaya matahari ini, jom baca ulasan yang pernah saya kongsikan dulu
————————————————————————————- PELINDUNG CAHAYA MATAHARI Kita selalu dengar mengenai produk penjagaan kulit yang dikenali sebagai pelindung cahaya matahari (sun protection). Daripada beberapa maklumat yang saya perolehi, ramai yang keliru dengan istilah “Chemical and Physical sun protection”, begitu juga dengan istilah “sunblock” (penghalang matahari) dan “sunscreen” (pengadang matahari).
Maka artikel ini akan cuba untuk menjelaskan perbezaan, dan keperluan mereka ini dari sudut kimia. Sebelum itu mari kita ulangkaji dulu apa itu cahaya matahari (tenaga apa yang terdapat di dalamnya) dan struktur kimia kulit agar kita jelas tentang fungsi perlindungan yang dimaksudkan, juga jenis interaksi kimia yang mampu dihasilkan.
Apakah yang Membentuk Cahaya Matahari?
Cahaya matahari ialah sebahagian daripada gelombang elektromagnet (electromagnetic wave) bersifat gabungan cahaya dan haba yang dipancarkan oleh matahari.
Sinaran yang sampai kepada kita telah ditapis oleh lapisan atmosfera bumi yang mana terdiri daripada tiga kumpulan tenaga iaitu ~5% ultraungu (Ultra Violet: kurang dari 400 nm), ~43% cahaya Nampak (visible: 400 – 700 nm), dan ~55% inframerah (IR: lebih dari 700 nm).
Antara jenis tenaga yang dibawa oleh cahaya matahari ini, tenaga UV merupakan tenaga yang paling kuat yang mana mampu berinteraksi dengan sel kulit, seterusnya menyebabkan perubahan kepada struktur kimia kulit kita.
Tenaga UV yang sampai kepada kulit kita ini diklasifikasikan kepada dua, mengikut jumlah kerosakkan yang mampu dilakukannya iaitu dikenali sebagai ultra violet ageing (UVA: 320 – 400 nm), dan ultra violet burning (UVB: 290 – 320 nm).
Dan cahaya UV inilah yang harus dielakkan dari mencapai ke permukaan kulit kita kerana ianya mampu menggelapkan dan membakar lapisan kulit (sunburn), seterusnya menyumbang kepada masalah kulit yang lebih teruk termasuklah penuaan pramatang dan kanser.
Bagaimanakah Struktur Kimia Kulit?
Kulit kita ialah epitilium berlintap (stratified epithelium), di mana setiap lapisan mengandungi jenis sel yang berlainan dan menjalankan fungsi yang berlainan. Ianya terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu epidermis, dermis dan hypodermis.
Di sini kita akan memberi tumpuan kepada lapisan paling luar iaitu lapisan epidermis yang mana terbentuk daripada dua lapisan utama yang dipanggil lapisan corneum (mengandungi sel-sel mati dan mengelupas), dan Malpighian (mengandungi pigment melanin yang memberi warna kepada kulit).
Lapisan corneum terbentuk dari bahan-bahan kimia semulajadi seperti ceramides, cholesterol dan free fatty acids. Antara bahan-bahan kimia ini, ceramides mendominasi (~50%) dan terbentuk dari molekul berkomponen sphingoid (sphingosine, phytosphingosine, 6-hydroxysphingosine atau dihydrosphingosine) yang memiliki sifat hydrophobic (tidak suka air) dan hydrophilic (suka air) – rujuk gambar di bawah.
Bahagian hydrophilic ini mampu membentuk ikatan hydrogen (Hydrogen bond) dengan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari yang digunakan pada kulit. Lapisan Malpighian mengandungi sel-sel aktif yang berperanan menggantikan sel-sel mati pada lapisan corneum tadi dan berfungsi sebagai pelindung dari pancaran cahaya matahari.
Walaupun kulit secara semulajadi mempunyai pelindung cahaya matahari, namun disebabkan oleh pelbagai faktor (genetik, diet pemakanan, stress, aktiviti harian, perubahan hormone, usia, jantina dan pemakaian produk harian) akan penyumbang kepada kepelbagian komposisi bahan kimia kulit.
Tambahan pula kita berada di negara Malaysia yang beriklim panas (dan lembab), kita memerlukan perlindungan tambahan iaitu dengan memakai pelindung cahaya matahari yang bersesuian.
Apakah itu Pelindung Cahaya Matahari?
Pelindung cahaya matahari ialah formulasi produk berupa losen, gel, lilin (waxes) atau semburan yang mengandungi campuran bahan kimia aktif yang dipakai pada permukaan luar kulit (topikal) bertujuan untuk melindungi kulit dari sinaran UV matahari. Pelindung cahaya matahari ini diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu kimia dan fizikal – lihat contoh gambar di bawah .
Pelindung cahaya matahari kimia mengandungi bahan kimia organik seperti octylcrylen, avobenzone, actinoxate… yang mudah larut dalam air, larutan organik atau minyak. Disebabkan oleh sifat keterlarutan, bahan kimia ini mampu membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kimia kulit dan menghasilkan kemasan kepada si pemakai.
Bahan kimia pelindung ini akan menyerap cahaya UV yang terkena padanya dan menukarkan tenaga UV ini kepada sinaran electromagnet yang lebih rendah tenaga (kurang mudarat) iaitu infrared (IR) untuk dibebaskan.
Pelindung cahaya matahari kimia biasanya menjadi pilihan kerana ianya mudah penyerap dalam kulit dan memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh, namun boleh menyebabkan kerengsaan kulit kerana cahaya yang diserap oleh bahan kimia tadi berbentuk haba yang boleh dipindahkan kepada sel kulit. Namun kesan ini bergantung kepada tahap sensitiviti kulit masing-masing.
Pelindung cahaya matahari fizikal pula mengandungi bahan kimia tidak organik seperti zinc oxide, titanium dioxide…yang tidak larut. Maka ianya tidak akan membentuk ikatan hydrogen dengan struktur kulit, namun bergantung kepada jumlahnya, mungkin mengaruh (induced) daya electrostatik dengan komponen kulit tadi.
Pada awalnya, mekanisma perlindungan oleh bahan kimia ini diterangkan sebagai memantulkan (reflect) atau menyelerakkan (scatters) cahaya UV menjauhi kulit. Namun, kajian mutakhir membuktikan bahawa mekanisma lindungan ini hanyalah benar jika partikel bahan kimia yang digunakan adalah bersaiz besar.
Memandangkan kini banyak penambahbaikan telah dibuat seperti mengecilkan saiz partikel (nanoteknologi) bahan kimia bermetal ini juga sebenarnya menyerap cahaya UV.
Pelindung cahaya matahari jenis fizikal kurang digemari kerana melekit, sifat metalik bahan kimia yang digunakan (berkilat pada kulit) dan kurang kemasan (finishing) pada kulit, namun pelindung cahaya matahari jenis ini lebih selamat dan sesuai untuk jenis kulit sensitif.
Terdapat juga pelindung cahaya matahari yang mengandungi bahan kimia yang bersifat fizikal dan kimia (hybrid) seperti bisoctrizole atau lebih dikenali dengan nama Tinosorb M. Bahan kimia jenis ini menjadi bahan penstabil bahan kimia organik sedia ada, agar kurang termusnah dek kerana serapan cahaya UV yang berlebihan.
Di masa yang sama ianya juga mempunyai jangkauan lindungan UVA dan UVB yang lebih luas serta lebih stabil daripada pelindung cahaya matahari jenis kimia dan fizikal bersendirian. Namun, pengunaan pelindung cahaya matahari jenis ini tidak diketahui kesan jangka panjangnya pada kulit.
Apa pula perbezaan “Sunblock” dan “Sunscreen”?
Sebenarnya sunblock dan sunscreen adalah bertujuan yang sama iaitu memberikan perlindungan kepada lapisan luar kulit daripada terkena cahaya UV matahari. Asalnya istilah “sunblock” digunakan untuk pelindung cahaya matahari yang bersifat fizikal kerana mekanisma lindungan dengan pemantulan atau penyelerakkan tadi.
Namun setelah dibuktikan melalui kajian mutakhir yang mana mekanisma lindungannya juga adalah melalui serapan (absorption), maka istilah “sunblock” ditarik semula dan diseragamkan kepada istilah “sunscreen” sahaja. Walaubagaimanapun, konsep awal ini masih lagi digunakan secara meluas oleh penerang awam (baca: kebiasaan).
Bagaimana Memilih Pelindung Cahaya Matahari?
Selain daripada mengambil kira kesesuaian kulit, pemilihan dalam pelindung cahaya matahari juga dinilai dengan melihat Sun Protection Factor (SPF) dan Protection against UVA (PA) [atau biasa dinyatakan ‘broad spectrum protection’ sahaja] yang mampu ditawarkan oleh produk tersebut.
SPF merupakan skala yang digunakan untuk menilai daya tahan bahan kimia di dalam formulasi pelindung cahaya matahari melawan cahaya UV selama 10 minit sebelum sampai ke lapisan kulit. Ianya diukur dengan kadar serendah 2 sehingga 100.
SPF dikira dengan mengunakan formula matematik yang komplex namun boleh diringkaskan seperti:
Contoh, produk yang mempunyai SPF 15 mampu bertahan di bawah terik matahari selama 150 minit (15 x 10) sebelum permukaan kulit terbakar (sunburn).
Namun, kesilapan yang biasa berlaku adalah dengan menganggap tempoh keberkesanan pelindungan boleh diambil secara terus dari hasil pendaraban ini.
Faktor lain juga harus diambil perhatian kerana jumlah pendedahan matahari terhadap kulit adalah lebih bergantung kepada tempoh masa yang dihabiskan di bawah matahari, keterikan cahaya matahari (jumlah cahaya UV pada ketika itu), dan ketahanan bahan kimia pelindung sebelum termusnah.
Juga kandungan lain di dalam formulasi pelindung cahaya matahari seperti bahan kimia barium sulfate dan talcum (talc). Dan yang paling penting ialah cara pemakaian yang betul (jumlah yang perlu disapu pada kulit) mengikut kesesuian aktiviti.
Nota Kaki: Jika anda mempunyai kulit yang sangat sensitif, mohon rujuk pakar kulit untuk cadangan pilihan pelindung cahaya matahari yang bersesuaian. Semoga bermanfaat ChM Dr Fatimah Salim Ahli Kimia #skincarelover
Berpeluang menang emas hanya sementara dan pencapaian jaguh lontar peluru Ziyad Zolkefli sangat membanggakan kita.
Biarpun emas dimenangi terpaksa ditarik disebakan masalah teknikal, namun semangat yang diberikan oleh seluruh rakyat malaysia tidak berbelah bagi.
Malah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang juga pemenang pingat Perak di Sukan Olimpik turut memberikan kata-kata semangat pada Ziyad.
Menurutnya beliau juga pernah berada dalam situasi sama apabila kemenangan emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 ditarik semula.
Pemenang pingat perak di Olimpik Tokyo baru-baru ini itu turut berharap agar jaguh lontar peluru paralimpik negara itu bersabar dengan dugaan dihadapinya.
Menerusi perkongsian di Facebook, Azizulhasni mengucapkan jutaan tahniah di atas prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang ditonjolkan di Sukan Paralimpik Tokyo.
TAHNIAH ZIYAD SABAR ZIYAD
Pertamanya saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada rakan saya Ziyad Zolkefli @ziyadzolkefli di atas prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang di tonjolkan di Sukan Paralimpik Tokyo. Memang sudah di atas kertas yang Ziyad adalah juara malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.
Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa di hadapi sekarang ini, sudah tentu ianya bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima. Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah di tarik kemenangan pingat Emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu.
Ini realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ianya adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.
Dan jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ianya memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan.
Ziyad, memang pahit untuk ditelan. Akan tetapi nasihat saya sebagai rakan atlet, cuba untuk terima qada’ dan qadar, jangan berputus asa dan ‘keep moving forward’. Sudah tentu saya pun berharap agar bantahan dari pihak Malaysia akan diterima dan Ziyad dapat pingat Emas yang memang kepunyaan Ziyad itu.
Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar disebaliknya. Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah di rampas secara terang-terangan.
Kadang cara cuci muka yang salah pun boleh jadi punca wajah bermasalah, terus keluar jerawat dan masalah lain.
Tetapi kalau nak tahu, biasanya ada 6 kesilapan yang kita sering buat ketika mencuci muka yang boleh mengakibatkan timbulnya jerawat, kulit mengelupas kemerahan serta rasa kering. Jom, semak!
Berikut 6 kesilapan menjaga wajah perkongsian daripada Puan Farain Mohammad sebagai panduan;
Awas, Cara Cuci Muka Macam Ini Yang Buat Naik Jerawat!
Tanpa sedar kadang-kadang kita sebenarnya silap menjaga muka. No .6 tu ramai tak yang buat .
Kesilapan 1 : Cuci Muka Terlalu Kerap
Ada 2 sebab kenapa kita tak boleh cuci muka terlalu kerap:
1. Boleh menyebabkan kulit terlalu kering dan hilang kelembapan selepas dicuci.
2. Kulit akan cenderung jadi lebih berminyak dan berjerawat.
Kesilapan 2 : Gosok Muka Terlalu Kuat
Ramai yang ingat bahagian yang ada jerawat atau bermasalah kena gosok dan sental lebih kuat untuk keluarkan sebum dan kotoran dalam liang roma. Sebenarnya kira dilarang mengosok kulit terlalu kuat kerana boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan dan men’cederakan’ kulit dari dalam.
Kesilapan 3 : Skrub Muka Terlalu Kerap
Scrub selalunya mempunyai tekstur berbiji yang agak kasar. Elakkan menggunakan scrub terlalu kerap kerana boleh menyebabkan kulit menipis, lebih sensitif dan boleh menyebabkan gatal.
Kesilapan 4 : Membiarkan Syampu Rambut Terkena Kulit Muka
Syampu rambut mengandungi bahan pelembab atau minyak untuk melembutkan rambut. Kalau terkena pada muka, minyak tersebut boleh meresap ke dalam kulit muka dan boleh menyebabkan jerawat.
Kesilapan 5 : Biar Peluh Kering Sendiri Tanpa Dilap
Jangan dibiarkan peluh kering sendiri di muka tanpa dilap. Sebaiknya lap muka dengan kain yang bersih untuk mengelakkan peluh anda kering dan menyerap kedalam kulit muka anda. Peluh anda mungkin mengandungi kotoran bersamanya.
Kesilapan 6 : Berkongsi Tuala Badan Dan Tuala Muka
Lap muka menggunakan tuala badan, ini ramai yang buat. Sebaiknya asingkan tuala untuk muka dan badan. Jika tuala badan mempunyai kotoran, ini buat merebak ke muka juga. Lagi pun tuala badan kita lebih banyak melekat kotoran atau kuman berbanding tuala muka.