Keterujaan orang kita‘membalas dendam’ meraikan perayaan Aidilfitri berpotensi mengubah corak pemakanan mereka secara drastik terutamanya ketika aktiviti ziarah lebaran atau menghadiri rumah terbuka.
Apabila berkumpul bersama, tentulah pelbagai cerita ingin dikongsi menjadikan kegembiraan melebihi daripada kebiasaan sehingga tidak sedar suapan terus ke mulut berturut-turut tiada henti.
Sedarkah anda amalan perlu dielakkan kerana mampu mencetuskan penyakit sama ada sedar atau tidak berikutan menu yang terhidang ketika Hari Raya Aidilfitri kebiasaannya tinggi kandungan gula, garam atau lemak berlebihan.
Pegawai Dietetik SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Laila Fadhilah Omar, turut berkongsi pandangan dan kesan-kesan buruk daripada amalan tidak sihat ini. Sila beri perhatian kerana bimbang penyakit lain yang datang nanti.
Menurutnya, disebabkan raya itu disambut setahun sekali jadi ia tidak patut seseorang itu jadikan alasan untuk mengelak dari menjaga pemakanan yang sihat.
Ads
“‘Setahun sekali’ tidak seharusnya dijadikan alasan kerana setiap individu amat disarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat sepanjang masa dan bukan bermusim terutamanya golongan berisiko bagi mengelakkan kesihatan mereka semakin merosot.
“Alasan begini sangat bahaya kerana risikonya lebih tinggi terutamanya kepada penghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, tinggi kolestrol atau hati berlemak.
“Keadaan tersebut akan bertambah buruk lebih-lebih lagi jika pengambilan ubat diabaikan kerana boleh mencetuskan situasi lebih buruk contohnya kemerosotan buah pinggang, kerosakan saraf, serangan jantung atau strok,” ujarnya panjang lebar.
Tambahnya bagi yang sihat pula, jangan terlalu gembira makan tanpa sukat kerana mereka juga berisiko mengalami pertambahan berat badan secara drastik menjurus kepada obesiti sekaligus mengundang pelbagai penyakit.
Ads
“Katakan anda makan lebih daripada yang perlu selama sebulan, ia dah cukup untuk beri perubahan kepada berat badan dan bentuk fizikal menjurus kepada obesiti sekaligus mengundang pelbagai jenis penyakit.
“Selain itu, ia berisiko mencetuskan masalah kesihatan seperti simptom pedih hulu hati atau dikenali sebagai Gastroesophageal Reflux Disease (GERD), berpunca daripada pengambilan makanan berterusan terutamanya yang pedas, berasid dan berlemak.
“Tidak salah kalau nak nikmati pelbagai menu raya cuma berpada-padalah. Ambil kuantiti sedikit lebih-lebih lagi jika banyak jemputan atau rumah terbuka yang perlu dihadiri. Minum air kosong dan bersenam secara rutin.
Ads
“Kepada tuan rumah pula, usah desak tetamu untuk menikmati juadah yang anda sediakan kerana mereka elak mungkin bersebab. Jangan kerana ingin mengambil hati, mereka terpaksa melanggar ‘pantang’,” ujarnya yang berkata semua masyarakat perlu main peranan dalam memberi ingatan.
Tambahnya, peranan segenap lapisan masyarakat sangat penting dalam membentuk kesedaran betapa perlunya amalan diet sihat sepanjang masa terutamanya di musim perayaan.
Selain pemakanan dan senaman, jangan lupa lakukan rutin pemeriksaan kesihatan dua kali setahun selain menyokong usaha-usaha agensi kerajaan dan swasta yang menganjurkan aktiviti sihat atau kempen seperti berjalan 1,000 langkah sehari.
Gembira, kenyang dan sihat atau gembira, kenyang dan merana. Mana satu anda pilih?
“Doktor, tangan saya pijar! Macam mana nak hilangkan? Seksa, doktor!”
Kadang-kadang, ada pesakit datang ke klinik sebab tangan dia pijar selepas dia menyambal. Kesilapan utama yang dilakukan oleh ramai orang adalah, mencuci dengan air sahaja.
Tangan kita pijar selepas pegang cili adalah kerana cili mengandungi capsaicin. Sebatian ini, akan merangsang reseptor deria sakit. Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas.
Capsaicin ni, ia tak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin ni sukar nak tanggal dari kulit kita. Capsaicin ni larut dalam minyak/lemak. Oleh itu, kita gunakan:
1. SUSU: susu berlemak dan mengandungi sejenis protin dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.
2. MINYAK: jika nak cuci tangan guna susu, rasa macam membazir pula. Jadi kita boleh gunakan minyak. Minyak akan mencairkan capsaicin. Selepas itu perlu juga bilas dengan air sabun.
3. CUKA:capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau, atau sos tomato.
4. ALKOHOL: capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol. Jadi boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Kena gunakan banyak.
5. LOSYEN: gunakan losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi.
Selain mencuci gunakan bahan-bahan tertentu, capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran. Maknanya kena gosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, Kesihatan dan Perubatan
Rupanya bukan saja makanan mempunyai tarikh luput, tetapi juga air minuman. Namun begitu, bahaya atau tidak bagi air minuman yang sudah melepasi tarikh luput ini.
Ikuti penjelasan Ahli Kimia Dr Fatimah Salim yang juga merupakan Pengasas dan Pentadbir Grup Makmal Makanan (MaMa) mengenai perkara ini.
Menurutnya walaupun air minuman mempunyai tarikh luput tetapi masih boleh selamat untuk diminum.
KENAPA AIR MINUMAN MEMPUNYAI TARIKH LUPUT?
Tahukah anda walaupun terdapat tarikh luput pada botol air minuman/ mineral, namun air minuman sebenarnya tiada luput?
Peraturan menyatakan tarikh luput pada semua makan dan minuman, termasuklah air kosong adalah sebenarnya digunapakai di New Jersey (1987), USA. Ianya bertujuan untuk menyeragamkan pembungkusan air.
Sesetengah air minuman hanya diberikan tarikh luput ‘baik sebelum’ (best by) dalam tempoh dua tahun atau kurang dari tarikh pembungkusan. Tarikh ini boleh membantu dalam mengenalpasti berapa lama air minuman itu telah dibungkus dalam bekasnya.
Ini kerana bergantung kepada kaedah penyimpanan, tahap pendedahan kepada cahaya dan suhu (contoh ditinggalkan dalam kereta atau terdedah dengan cahaya matahari secara terus) dan jenis bahan botol bungkusan (terutamanya plastik), boleh mengubah rasa air minuman ini.
Suhu dan cahaya berupaya menggangu integriti bahan binaan bekas bungkusan plastik dan menyebabkan komponen plastik bocor ke dalam air minuman.
Penyimpanan dalam tempoh masa yang lama juga boleh menyebabkan bahan penstabil (antioksida) pada bekas berkurangan berfungsi dan meningkatkan juga potensi kontaminasi bakteria.
Disamping, air juga berpotensi menyerap bahan kimia gas lain daripada persekitaran menyebabkan rasa air berubah.
Namun usah risau kerana kebanyakkan botol untuk membungkus air minuman/ mineral adalah diperbuat dari plastik jenis polyethylene terephthalate (PET- RIC No.1) dan high-density polyethylene (HDPE- RIC No.2).
Walaupun berlakunya bocoran, namun kedua jenis plastik ini adalah antara plastik yang paling selamat dan TIDAK akan membahayakan kesihatan.
Maka, walaupun telah melepasi tarikh luput, air minuman masih lagi selamat diminum.
Popular dengan nama gam gajah dek kerana logo binatang itu tertera pada bahagian luar labelnya.
Namun gam gajah atau super glue mempunyai fungsi yang sama dengan beberapa jenama gam lain yang ada di pasaran.
Kekuatan gam ini melekat pada permukaan menjadikan gam gajah ini memang popular dalam kalangan pembuat DIY atau hiasan kraf.
Apa isi kandungan di sebalik super glue ini dan bagaimana jika terkena pada tangan untuk berberapa hari.
Penjelasan Ahli Kimia yang juga Pensyarah Kanan UiTM, Dr Fatimah Salim memberi penerangan mengenainya.
Superglue adalah pelekat yang sangat kuat. Ianya terdiri dari bahan kimia utama jenis cyanoacrylate iaitu ethyl, methyl atau 2-octyl cyanoacrylate. Kaedah superglue ini mengikat dengan pantas dan kuat adalah disebabkan oleh pengaktifan bahan kimia jenis cyanoacrylate oleh air.
Hanya sedikit air diperlukan untuk mengaktifkan komponen utama superglue ini, contoh tindak balas dengan lembapan air dalam udara. Tindak balas dengan molekul-molekul air (H2O -dihidrogen monoksida) akan menghasilkan carbonucleophile yang mana kemudiannya akan memulakan tindak balas berangkai sesama sendiri menghasilkan rantaian polimer cyanoacrylate berwarna putih. Dengan terbentuknya rantaian polimer ini, tekstur superglue akan mengeras lalu ikatan yang kuat akan terbentuk pada permukaan yang disentuhnya.
Superglue sebenarnya dihasilkan tanpa sengaja. Asalnya ditemui semasa pencarian plastik gun sight pada tahun 1942, namun diabaikan kerana ianya melekat kepada apa saja yang bersentuhan dengannya.
Ianya kemudian ditemui lagi tanpa sengaja pada tahun 1951, semasa kajian mencari polimer untuk jet canopies. Akhirnya pada tahun 1958, potensi bahan kimia ini diperakui sebagai pengikat yang kuat lalu dikomersialkan sehingga kini.
Superglue punya sangat banyak fungsi dalam kehidupan kita. Namun ianya juga dengan mudah boleh terikat pada kulit kerana wujudnya lembapan pada permukaan kulit kita. Jika tidak ditanggalkan, ianya boleh melekat pada kulit sekitar 3-5 hari.
Antara cara mudah dan berkesan untuk menanggalkan superglue daripada kulit adalah dengan menggosok garam pada bahagian yang terkena. Bagi memastikan hasil yang optimum, pastikan bahagian kulit yang terkena superglue itu kering.
Kemudian gosok/ gesel perlahan-lahan dengan garam sehingga garam larut bersama lembapan pada kulit dan basuh dengan air. Garam kasar menyumbang kepada geseran dan garam yang larut akan menghasilkan ion-ion yang boleh memutuskan ikatan superglue daripada kulit lalu memudahkan proses penanggalan.
Sekiranya bahagian yang terkena itu banyak, maka boleh ulangi kaedah sama beberapa kali sehingga superglue betul-betul tertanggal. Cuma hati-hati jika berlebihan kerana kulit boleh menjadi pedih.
Nota: Bagi mereka yang ada bahan yang berasaskan acetone (2-propanone atau dimethyl ketone) seperti ‘nail polish remover’, atau penanggal/ varnish cat, boleh juga membantu dalam menanggalkan superglue.