Kacang kuda atau nama saintifiknya Cicer Arietinum merupakan sejenis tumbuhan renek berasal dari keluarga Fabaceae.
Ia juga merupakan tanaman kekacang yang ditanam di negara seperti India, Mediterranean dan juga Asia Barat iaitu yang beriklim subtropical yang agak kering.
Kacang kuda ini sememangnya sedap dimakan dengan merebus atau sebagai bahan sampingan untuk masakan merah. Baru-baru ini dalam Grup Makmal Makanan (MaMa) ada yang bertanya kenapa jika makan kacang kuda ini akan menyebabkan kentut banyak.
Penjelasan Ahli Kimia, Puan Fatimah Salim ini memberitahu sebabnya berlaku masalah kentut banyak ini. Beliau juga turut menjelaskan kenapa jika seseorang kentut itu akan berbunyi dan juga mengeluarkan bau busuk.
Merujuk kepada ss ahli MaMa di bawah yang bertanya kenapakah memakan kacang kuda biasanya akan kentut banyak.
Tumbuhan kekacang (legumes) seperti kacang kuda ini mengandungi karbohidrat kompleks jenis oligosakarida yang tidak boleh dicerna oleh tubuh manusia kerana kekurangan atau ketiadaan enzim alfa-galactoside.
Dan keberadaan enzim ini adalah bergantung kepada genetik dan peningkatan usia. Maka, usahlah hairan jika dulu kita makan kacang ini kurang kentut dan kini kerap pula kentutnya.
Ads
Disebabkan ketiadaan enzim khusus ini, maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh bakteria yang ada dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana.
Gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut. Selain daripada terhasilnya gas, fermentasi oligosakarida ini juga menghasilkan asid lemak rantaian pendek (short-chain fatty acids -SCFA) yang baik untuk kesihatan usus.
Menariknya, sesetengah individu tidak akan kentut disebabkan memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.
Kenapakah kentut berbunyi?
Kentut berbunyi disebabkan oleh getaran otot dubur semasa gas-gas ini dikeluarkan. Bunyi kentut yang kuat adalah disebabkan oleh isipadu gas yang besar sekaligus menerjah keluar.
Ads
Kenapa kentut berbau busuk?
Bau dan jumlah kentut adalah berbeza untuk setiap individu bergantung kepada jenis makanan yang diambil dan tahap kesihatan. Contoh makanan yang boleh menyebabkan kentut berbau adalah makanan yang tinggi kandungan sulfur seperti telur, kubis, cheese, bebawang, durian dan lain-lain akan menghasilkan gas hydrogen sulfide (bau tembelang). Bau kentut yang busuk juga disebabkan oleh najis yang terkumpul dalam rektum.
Tips memudahkan penghadaman karbohidrat kompleks:
• Rendam secukupnya makanan jenis kekacang ini terlebih dahulu untuk memudahkan proses memasak dan penguraian karbohidrat. Ini akan mengurangkan aktiviti fermentasi oleh bakteria.
• Kunyah makanan jenis ini lama-lama untuk mengecilkan saiz makanan. Air liur mungkin mengandungi enzim alpha-galactoside yang boleh membantu dalam proses penguraian bahan kimia karbohidrat ini dan mengurangkan fermentasi oleh bakteria dalam usus besar.
Ads
• Kurangkan pegambilan makanan terproses dan gula tersedia (gula putih, sirap tinggi fruktosa). Ini boleh mengurangkan populasi bakteria baik dalam usus.
• Boleh tambahkan makanan difermentasi yang mengandungi mikrob baik (sumber probiotik) seperti yogurt, tempoyak, cencaluk, tapai… untuk mempelbagaikan flora bakteria dalam usus. Perlu diketahui bahawa probiotik ini biasanya akan mati dengan suhu memasak. Maka, eloklah diambil mentah.
• Amalkan senaman yang bersesuaian untuk mengaktifkan sel-sel badan termasuklah dalam sistem penghadaman. Bakteria yang baik sukakan badan yang sihat untuk ditumpang (win win situation).
Nota: Sesungguhnya kentut adalah aktiviti yang sihat, namun kentutlah dengan berhemah.
Seperti yang kita tahu kunyit antara tumbuhan herba yang memang banyak khasiatnya.
Selain dibuat sebagai bahan sampingan dalam menyediakan sajian makanan, kunyit juga turut direbus untuk diambil airnya.
Dan ada caranya untuk memastikan kunyit yang diolah menjadi air rebusan ini kekal sihat. Ikuti perkongsian seorang saintis Dr Suri Roowi teknik sebenar menyediakan jus kunyit ini.
TEKNIK SEBENAR SEDIAKAN JUS KUNYIT (Turmeric)
1. Kunyit sebaiknya di ‘blend’, dimasak atas dapur sebelum diminum.
2. Kajian menunjukkan memasak kunyit yang di’blend’ dalam masa singkat (kurang 10 minit) dapat tingkatkan bahan berkhasiat (kurkumin) di dalam air rebusan dan lebih mudah di serap ke dalam darah.
3. Merebus kunyit lama (lebih 15 minit) akan kurangkan khasiat kunyit sehingga 50%. Memanggang akan turunkan khasiat sehingga 75% manakala menggoreng @ menumis akan kurangkan khasiatnya sehingga 98%
4. Menurut Saintis dari Institut Penyelidikan Teknologi Makanan, Mysore, India, memasak kunyit untuk tempoh lama akan menyebabkan kehilangan bahan berkhasiat sehingga 53%. Walau bagaimanapun, kehilangannya dapat diturunkan kepada 30% jika kunyit dimasak @ rebus BERSAMA sedikit ASAM JAWA.
5. Bahan berkhasiat kurkumin bersifat lipofilik (suka pada minyak) jadi, untuk tingkatkan penyerapan bahan khasiat dalam darah, kunyit sebaiknya diambil bersama susu atau sedikit minyak zaitun. Penggunaan santan pada kadar sederhana juga dibolehkan.
6. Meminum jus kunyit BERSAMA secubit serbuk LADA HITAM juga dapat meningkatkan penyerapan bahan berkhasiat dalam kunyit. Kajian menunjukkan bahan piperine (bahan berkhasiat dalam lada hitam) dapat tingkatkan penyerapan bahan berkhasiat kunyit (kurkumin) sehingga 2000%.
KHASIAT & ‘REMINDER’ TENTANG KUNYIT
Kajian yang dilakukan oleh Saintis China pada tahun 2015 juga mendapati gabungan kunyit dengan lada hitam dapat tingkatkan penyerapan bahan khasiat kunyit dengan ketara
Selain itu, gabungan kunyit dengan lada hitam dapat elakkan pembesaran batu hempedu dan dapat turunkan lemak dan kolesterol darah.
Kajian oleh Saintis Italy pada 2019 pula mendapati kunyit hidup boleh membantu masalah kulit seperti radang, psoriasis, atopik dermatitis, penjagaan luka, kanser kulit dan jangkitan kuman. Caranya adalah dengan mem`blend’ dan disapu atas kulit.
BOLEHKAH KITA MEMINUM JUS KUNYIT BERSAMA UBATAN MODEN @ MEMINUMNYA PADA KADAR TINGGI?
1. Elakkan pengambilan jus kunyit bersama ubat-ubatan moden dan suplemen cair darah, suplemen antiplatelet dan ubat antikencing manis.
2. Penggambilan jus kunyit semata (100% kunyit) yang terlalu banyak boleh meningkatkan risiko batu karang. Ini kerana kunyit tinggi bahan oksalat, bahan ini dapat mengikat kalsium dan membentuk kalsium oksalat (batu karang) dalam ginjal atau pundi kencing.
3. Untuk kurangkan risiko bentuk batu karang, sebaiknya minum susu selepas minum jus kunyit.
Resipi Jamu Kunyit
Bahan-bahan: 1 ketul ibu kunyit 1 ketul halia 3 biji manjakani 1 ketul kecil garam kasar 1/4 gula Melaka 1 sudu asam Jawa 4 cawan air
Cara membuatnya: 1. Kupas kulit kemudian hiris kunyit dan halia 2. Rebus kunyit, halia dan buah manjakani bersama dua cawan air hingga mendidih 3. Biarkan sejuk, kemudian kisar hingga halus dan tapis 4. Bancuh asam jawa dan campur bersama air tapisan bahan rebusan tadi. 5. Tambah gula melaka dan garam. 6. Rebus semula hingga kuantitinya sedikit berkurangan 7. Tunggu suam sebelum diminum.
Info Tambahan: – Amalan minum jamu kunyit ini untuk menjaga kesihatan dlaman dan luaran termasuk merampingkan badan. – Ingat bakinya boleh disimpan dalam peti sejuk atau dipanaskan semula. – Jangan simpan lebih seminggu dalam peti sejuk. – Sebaiknya, minum 1/2 gelas hanya 3 hari pada waktu pagi selepas habis period.
Tidak dinafikan penularan kes jangkitan Covid-19 kini sangat membimbangkan. Hampir setiap hari angka kes baru tidak berubah dan tetap empat angka.
Pandemik virus Covid-19 ini bukan sahaja menjangkiti orang awam, tetapi frontliner juga tidak terkecuali menerima nasib sama.
Baru-baru ini kisah bagaimana seorang petugas barisan hadapan Zamri Shahri turut dijangkiti Covid-19.
Walaupun dia tidak menyangka akan terkena virus berkenaan kerana menjaga SOP ditetapkan, tetapi pasrah menerima dugaan ini.
Nurses : Aku positif Covid akhirnya.
Kejadian lewat petang 15 Januari yang lepas benar-benar merubah cara aku memandang takdir, cara aku menilai tutur kata sendiri dan cara aku melontarkan pengharapan kepada Tuhan.
Berubah 360 darjah!
Beberapa minggu yang lalu, wad Covid tempat aku berkhidmat dimasuki seorang lelaki yang agak warak. Kelihatan Al Quran senantiasa ditangan. Rajin beliau membacanya.
Ketika itu keadaan beliau agak teruk juga, batuk yang sangat kuat sehingga pembacaan Al Qurannya tersekat-sekat. Semasa aku ingin mengambil tekanan darahnya, sempat aku bertanya bagaimana beliau boleh terkena jangkitan Covid ini.
” Tidak tahu lah encik. Semua SOP saya ikut. Saya juga imam di sebuah surau dan saya juga telah pastikan jemaah saya mengikut SOP dengan betul. Akhirnya, saya yang terkena Covid. Macam mana lah saya boleh terkena ini pun saya tak tahu, ” jawab pesakititu dengan sedikit nada kehampaan.
“Ini semua kehendak Allah. Usaha itu adalah bahagian dan tanggungjawab kita, tetapi apabila Dia mengkhendaki sesuatu itu terjadi. Ia pasti terjadi ! ” jawab aku dengan penuh yakin.
Kini, apa yang aku kata tersebut telah menjadi sebab Allah azwj untuk uji aku semula. Allah azwj ingin melihat keyakinan aku sendiri seperti mana yang dituturkan itu.
Allah telah berfirman:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS Al-Ankabut:2-3).
Dikalangan rakan-rakan sekerja, aku dikenali sebagai seorang yang mementingkan SOP bahkan, aku juga senantiasa membawa hand sanitizer sendiri ke mana aku pergi.
Aku tidak pernah walau sekalipun makan di tempat kerja. Selesai tugas, aku mandi dan terus balik. Tanyalah kepada sesiapa yang mengenali aku baik dikalangan staff wad mahupun ketua dan penyelia jururawat. Sungguh mereka benar-benar mengenali aku dan cara aku bekerja.
Dikalangan rakan-rakan satu jemaah pun sama. Banyak kali aku bertelagah dengan beberapa ahli jemaah dalam mempertahankan kewajaran SOP. Bagi aku, mengikuti SOP itu adalah salah satu anjuran dalam agama jika dilihat dari segi keutamaan umat Islam dalam menta’ati ijtihad pemerintah.
Setelah mengambil kemaslahatan umat, maka SOP pun dikeluarkan oleh pemerintah. Keta’atan ini berpahala seperti yang selalu aku katakan kepada rakan-rakan.
Namun, akhirnya aku sendiri yang dijangkiti Covid 19 ini. Pada petang 15 Januari tersebut, tiba-tiba badankuterasa menggigil dan kepala mulai pening serta batuk mula kedengaran seolah-olah ada sesuatu kesat yang tersangkut ditekak aku ini.
Apabila pulang ke rumah, aku memeriksa suhu badan, ternyata demam. Suhu 37.9 darjah celcius. Aku terus memberitahu ketua jururawat ketika itu melalui telefon dan keesokan malamnya diarahkan untuk mengambil ujian swab tekak dan rongga hidung.
Segala-galanya berlaku secara tiba-tiba. Sebelum itu aku sihat seperti tiada apa yang berlaku. Aku tidak lepas untuk bersenam dan berjongging setiap petang.
Namun, dalam sekelip mata badan menjadi letih lesu, kepala menjadi pening sehinggakan tahap kesakitan itu tidak dapat aku terjemahkan dalam apa bentuk perkataan, demam , seram sejuk dan batuk yang sangat mengganggu rutin harian aku.
Sehingga tulisan ini ditulis, aku masih lagi batuk walaupun semakin beransur pulih.
Kecewa?
Tentu ada.
Sakit hati?
Itu yang aku rasa sekarang.
Penat? Ya, memang penat mengawal diri mengikuti SOP dengan ketat dan akhirnya positif.
Lalu aku teringat pesanan terakhir Almarhum Shiekh Ali Jaber Rahmatullahi ‘alaih yang meninggal dunia baru-baru ini dan dijangkiti Covid menjelang akhir hayat beliau.
Dalam video terakhir itu, beliau telah menegaskan bahawa beliau adalah antara orang yang mengikut SOP dengan ketat. Namun, Qadarullah (ketentuan Allah) itu mengatasi segala-galanya.
Masha Allahu kana, wama lam yasha’ lam yakun, wa la hawla wa la quwwata illa biLlahi’l-Aliyyi’l -Azim.
(What Allah wishes happens, and what He does not wish does not; there is neither power nor ability save Allah, the High, the Formidable)
Apa yang Allah azwj berkehendak pasti akan terjadi, dan apa yang Dia tidak berkehendak pasti tidak akan terjadi. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan keupayaan dan kekuatan Allah azwj yang Maha Agung.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [Quran Al-Baqarah: 216].
Demi sesungguhnya, Tuhan menjadi saksi yang aku telah usaha sedaya upaya menjaga diri dari dijangkiti. Dan akhirnya, Covid itu berjaya juga menewaskan aku.
Aku minta maaf daripada kalian semua dan semoga Allah azwj juga mengampunkan segala kesilapan, kecuaian dan kekhilafan aku dalam segala urusan kehidupan ini.
Ada juga yang cuba menyedapkan hati aku, katanya,
“Berehatlah Zamri. Allah tengok kau dah penat. Itu yang Dia bagi kau dan frontliners yang lain ‘chance’ untuk berehat dengan ujian sebegini. Percayalah, Dia nak kau berehat dan tidur sebelum berjuang semula”
Serius, aku menangis mendengarkan perkataan ini.
Mak dan abah, maafkan along kerana telah membuat kalian susah hati. Buat Isteri dan anak-anak, percayalah kekuatan diri ini sebahagiannya telah musnah mendengarkan tangisan kalian bertiga dibalik pintu pagar rumah kita.
Buat adik beradik danrakan-rakan yang terpaksa menjalani pemeriksaan swab tekak dan rongga hidung, aku menyusun sepuluh jari kerana telah melibatkan kalian dalam masalah ini.
Maafkan aku, sungguh dan percayalah aku telah usaha yang terbaik. Namun, yang tidak diingini berlaku juga akhirnya.
Pic : Gambar ini diambil oleh isteri semasa sedang dijemput oleh kenderaan KKM ke Hospital Rembau.
Tiada yang lebih perit mengguris hati ini ketika itu melainkan mendengar tangisan anak-anak di balik pintu pagar.
Setelah beberapa hari berada di wad kuarantin, Zamri memberitahu dirinya kini sudah sembuh dan bebas dari Covid-19 ini. Dugaan diberikan Allah ini membuat dirinya tersedar ada banyak lagi tugasan belum disempurnakan.
Malah Covid juga membuat dirinya insaf bahawa kehidupan adalah satu percaturan dan kita semua adalah pelakon-Nya di pentas dunia.
Nurses : Tiada perahu, Upih pinang aku layarkan.
Alhamdulillah, setelah 8 hari aku dipenjarakan Covid. Kini, aku discaj. Aku bebas untuk mengatur langkah dengan lebih kuat dan berlari dengan lebih kencang lagi.
Covid ini telah membuatkan aku tersedar bahawa banyak lagi tugasan yang perlu aku sempurnakan dengan lebih cepat. Covid ini membuatkan aku insaf bahawa kehidupan hanyalah suatu percaturan yang berbolak balik diantara dua jari-Nya.
Ada kala kita bergelak tawa dan tidak sampai sekelip mata dia mampu menukarkan sebaliknya.
Namun, apa yang pasti selepas ini aku yang sekarang bukanlah seperti aku yang dahulu. Sumpahan Covid ini benar-benar membuat aku menghargai erti senyuman kepada anak-anak sewaktu badan keletihan penat bekerja, benar-benar membuatkan aku faham nilai kasih sayang diantara insan yang mengelilingi kehidupanku sehari-hari.
Tamparan Covid ini juga telah menyedarkan aku yang kehidupan ini hanyalah satu lakonan. Kita semua adalah pelakon-Nya di pentas dunia yang telah pun diberi peluang untuk memilih skrip dan watak yang kita mahu.
Kini, cita-citaku hanya satu.
Hanya satu iaitu ingin menjadi Pelakon Terbaik di mata Allah azwj.
Terima kasih kepada anda semua yang telah mengirimkan doa dari kejauhan tanpa putus-putus. Hanya Dia lah yang mampu membalas jasa anda semua dan membalas semua doa anda dengan sebaik-baik balasan bagi pihak aku.
Buat meneruskan perjuangan ini, aku akan berusaha bersungguh-sungguh dan semampu yang mungkin. Tiada perahu, Upih pinang aku layarkan. Patah paruh, dengan dagu aku tongkatkan.
Jerawat antara musuh wanita yang sangat tidak menyenangkan pandangan. Pelbagai cara digunakan bagi mengecut atau terus lenyapkan saja jerawat ini.
Perkongsian dari Mala Mansor yang hanya gunakan bahan dapur untuk kecutkan jerawat tanpa gunakan modal besar.
Campuran beberapa bahan dibuat masker dan skrub yang hanya dipakai tiga kali seminggu. Dikatakan ramai wanita Thai menggunakan amalan ini untuk cantikkan wajah dan badan.
Bukan saja boleh dipakai di muka, tetapi juga untuk sapuan di badan. Hasilnya kulit jadi halus, bersih dan hilangkan daki di badan.
Apa yang penting boleh buat sendiri dan lebih selamat serta jimat.
PETUA KECUTKAN JERAWAT DAN PUDARKAN JERAGAT TANPA BOCORKAN POKET
Kalau jenis kuliit muka selalu tumbuk cik jerawaat bagus guna petua ni. Awek Thai ramai yang guna petua ni. Yang penting bahan ni semulajadi dan kita tahu cara buat memang selamat. Yelah sebab kita buat sendiri kan.
Petua ni, boleh putihkan dan haluskan kulit sekali. Boleh juga untuk scrub badan sekali. Bahan Diperlukan : ================= Beras pulut 5 sudu makan Tepung beras 2 sudu makan Perahan lemon 1/2 biji Sedikit air
Cara membuat Masker : ===================== 1. Basuh beras dan rendam sekejap. Toskan. Dan goreng tanpa minyak untuk keringkan beras. 2. Blend beras pulut hingga halus. 3. Masukkan tepung pulut dan air gaul hingga sebati. 4. Masukkan perahan lemon kedalam bancuhan tadi.
Cara menggunakan Masker : ========================= 1. Sapu paste masker ke atas muka dan ratakan. Tunggu hingga kering. Kemudian bilas dengan air bersih. Semasa membilas tu boleh gosokkan dengan lembut muka untuk tanggalkan sel kulit mati. 2. Kalau guna di badan, sapu di seluruh bahagian badan. Tunggu hingga kering. Bilas dan gosok kuat sikit. Masker ni boleh dijadikan scrub untuk tanggalkan daki di kulit badan.
Amalkan petua ni 3 kali seminggu. Memang muka dan badan akan bersih dan putih. Tak perlu dah beli masker dan scrub dari luar
Jom putih mulus bebas jerawat dan jeragat. Selamat mencuba! Tips kekal chantek, Mala Mansor
Lubuk konten Kesihatan dan penjagaan diri segalanya di seeNI. Rapi kini di seeNI.
Download
sekarang!