Kisah pelakon, Uqasha Senrose menjadi tular di media sosial apabila ada segelintir individu yang menegur tentang kenaikan berat badannya. Malah ada juga yang membuat pelbagai spekulasi tentang fizikal pelakon wanita ini dan meninggalkan komen-komen negatif di Instagramnya.
Namun baru-baru ini, Uqasha mendedahkan dia sebenarnya pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali sepanjang tiga tahun bergelar isteri kepada Kamal Adli.
Jelasnya, situasi itu berlaku semasa dia mengalami haid yang berpanjangan dan dia pula tidak tahu dirinya sedang berbadan dua.
“Dua kali saya gugur, rasa sebak pula bila cakap pasal ini. Mungkin bukan rezeki lagi. Pertama kali saya tak tahu saya mengandung semasa tunaikan umrah.”
Uqasha memberitahu dia mengalami haid berpanjangan tanpa henti namun menyangka ia adalah perubahan hormon selepas berkahwin. Dia kemudiannya didatangi haid berpanjangan sekali lagi semasa mengerjakan ibadah umrah bersama suami dan juga semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
“Saya cakap dengan suami tentang masalah datang haid tak berhenti itu dan bimbang kalau-kalau ada masalah dalaman, saya hubungi doktor sakit puan dia suruh beli ujian kehamilan (UPT).”
Putuskan Untuk Jumpa Doktor
Pelakon itu kemudian membuat keputusan untuk berjumpa dengan doktor sebelum dimaklumkan bahawa kandungannya yang berusia dua bulan tidak dapat diselamatkan. Dalam masa yang sama, Uqasha juga perlu melalui pembedahan bagi membuang darah yang terkumpul di bahagian ovum.
“Bila buat ujian dapat dua garisan, kami terus pergi hospital kerana bimbang mengandung luar rahim tapi bila periksa anak dalam kandungan dah tak ada. Bila dapat tahu mengandung masa itu, tertanya-tanya kenapa tak jaga tapi Kamal bagi semangat kata tak apa kita cuba lagi.”
Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, Uqasha memberitahu dia redha dengan ketentuan itu dan dia serta suami tidak merancang untuk memiliki anak buat masa ini. Tambahan pula pada ketika ini dia sedang sibuk bekerja dan menjalani penggambaran drama sebanyak 70 episod.
Wanita Yang Gugur, Kuatkan Semangat!
Sementara itu, ini nasihat daripada Dr Imelda Balchin buat anda yang mengalami keguguran.
Bila seorang wanita mengalami keguguran, jangan kata “Rahim awak tak kuat”
Kalau anda tak boleh memberi kata-kata yang menyejukkan hati wanita yang keguguran, baik DIAM. Kalau anda hanya boleh memberi kata-kata yang membimbangkan wanita yang keguguran, DIAM.
Jangan mencari kesalahan wanita yang keguguran. Jangan tuduh rahim wanita itu tidak kuat jika keguguran yang awal berlaku pada tiga bulan pertama kehamilan. Jika anda bukan doktor yang merawat wanita yang keguguran, anda DIAM.
Kalau tak boleh memberi wanita kata-kata yang memberi ‘empowerment’ ‘motivasi’ ‘semangat’, anda DIAM saja.
Untuk wanita yang telah mengalami keguguran awal, sebelum 14 minggu kehamilan. Tak payah beli produk cuci rahim, produk kesuburan, produk kuat rahim. Insyallah kebanyakan wanita yang hamil semula tidak ada masalah.
Dan bagi wanita yang pernah mengalami keguguran selepas 14 minggu kehamilan, anda juga tak perlu beli produk cuci rahim, produk kesuburan, produk kuat rahim. Untuk kehamilan yang berikutnya, sila jumpa pakar gynae pada 12 minggu kehamilan untuk pemeriksaan dan rawatan terbaik untuk mencegah keguguran atau kelahiran pramatang.
Kita mesti berfikiran positif dan berusaha dengan cara yang terbukti berkesan sebelum bertawakal, tetapi apa yang tidak perlu ialah kata-kata kesat yang mengguris hati wanita dan mencari kesalahan wanita yang mengalami keguguran.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI