Sebenarnya tidak kira berapa usia kita dalam usaha memastikan bentuk badan sentiasa kekal sihat dan langsing.

Seperti perkongsian wanita ini Puan Dzuriasikim Dzulkefli yang sudah mencecah usia 52 tahun, tetapi masih bertenaga melakukan pelbagai aktiviti dalam memastikan berat kekal ideal.

Ikuti perkongsiannya kepentingan menjaga kesihatan dan antaranya adalah bagi memudahkan ibadah dan kerja-kerja rumah.

FAEDAH MENJAGA KESIHATAN DAN 10 TIPS UNTUK WANITA LEBIH CERGAS, BADAN SIHAT DAN RINGAN, MUDAH SOLAT DAN LAKUKAN KERJA-KERJA RUMAH

Oleh kerana terlalu banyak pertanyaan tentang TIPS kecergasan saya akan cuba jawab dalam tulisan ini.

Pada usia yang hampir mencecah 52 tahun, Alhamdulillah saya masih mampu untuk melakukan banyak aktiviti termasuk sukan lasak.  Malah saya masih boleh melakukan aktiviti pendakian atau “hiking” di sepanjang bulan Ramadhan ini tanpa berasa letih.

Saya yakin semua wanita sangat inginkan untuk menjadi lebih sihat dan cergas.  Apabila kita rajin bersukan dan bersenam, badan juga akan lebih mudah menyahkan toksin (detox) dan ianya sangat membantu untuk menjadikan kita menjadi lebih segar dan bermaya serta awet muda!

Apa yang paling penting adalah kesihatan yang optimum.  Dan jika dapat mengekalkan berat badan yang ideal ianya adalah bonus yang terbaik.

Berat badan yang tidak berlebihan juga akan membantu untuk memudahkan pergerakan termasuk melakukan ibadah.  Jika tidak sihat sudah tentu kita masih boleh meneruskan ibadah dengan cara yang dibenarkan. 

Namun, alangkah besar nikmatnya apabila kita masih mampu bangun pada malam hari dengan mudah, melakukan sujud dan rukuk dengan cara biasa, kerana ianya akan memberikan kepuasan jiwa yang sangat optimum dalam beribadah.

Kesihatan yang baik juga sangat penting dalam membahagiakan pasangan.  Memudahkan wanita untuk menguruskan kerja-kerja rumah dengan lebih mudah dan cergas.

Wanita yang berstatus ibu pula adalah idola bagi anak-anak.  Jadi, adalah sangat bagus jika seorang ibu dapat menunjukkan contoh yang baik dalam penjagaan kesihatan badan dan diri bagi anak-anak mereka.

IKLAN

Memiliki badan yang sihat dan cergas juga dapat membantu untuk meningkatkan keyakinan diri.  Tidak kira samada di tempat kerja atau untuk berada di dalam “circle” apa pun….

Dalam apa sahaja situasi samada kita bekerja makan gaji atau berkerja sendiri jika tidak sihat, banyak urusan akan tergendala dan menjejaskan prestasi kerja.

Kecergasan juga adalah sebahagian dari keterampilan diri.  Cara kita berjalan, melakukan tugasan, semuanya akan berubah apabila badan kita cergas.  Malah “body language”, struktur badan, “body positioning” juga akan menjadi lebih baik.  Dan ya, apabila badan cergas, otak akan lebih sihat juga dan kita akan lebih positif serta ceria.

10 TIPS UNTUK WANITA LEBIH CERGAS DAN SIHAT

1.  DAPATKAN BERAT BADAN YANG IDEAL

Memang mencabar tetapi seboleh mungkin cuba usahakan.  Jika badan kita terlalu berat atau melebihi berat yang ideal, kita mungkin sukar beribadah walaupun belum sakit.  Kaki akan mudah lenguh kerana beban berat badan yang bertambah.  Pergerakan akan terbatas.  Jadi ini adalah tips yang paling utama untuk menjadi cergas.

2.  JAGA PEMAKANAN

Tidak kira sebanyak mana aktiviti sukan yang kita lakukan dan suka jenis apa serta sebanyak mana kalori yang kita mampu bakar setiap hari, jika pengambilan makanan tidak dijaga kita susah untuk kurus.  Jadi, mesti berhati-hati dengan jenis makanan yang diambil. 

Untuk permulaan, anda boleh elakkan pengambilan gula dan karbo.  Ambil makanan seperti sayur, buah-buahan, ikan, tofu.  Anda juga boleh memilih untuk berpuasa secara penuh (seperti orang Islam berpuasa) atau melakukan “intermittent fasting”.

3.  SET KAN TARGET DAN MINDA

Tetapkan dalam hati dan minda yang kita nak jadi lebih sihat, lebih cergas, lebih ringan badan, lebih bersemangat, nak ubah diri, supaya dapat menjalani hidup dengan lebih berkuali.  Anda pasti boleh!

IKLAN

4. LAWAN RASA MALAS

Mesti rajin dan mesti lawan segala perasaan malas dan suka bertangguh.  Usah tangguhkan esok atau minggu depan untuk berdiet dan bersukan.  Kerja bertangguh tidak akan menjadi.

5. PILIH CIRCLE YANG BETUL

Pilih rakan-rakan atau circle yang mementingkan penjagaan kesihatan, yang juga ingin turunkan berat badan, yang suka memilih makanan sihat, yang gemarkan bersukan.  Jika tidak, diet anda akan “ke laut” nanti. 

Bayangkan jika kawan-kawan sering mengajak anda untuk mencuba menu baru di restoran atau minum teh tarik sambil lepak setiap malam atau memilih aiskrim bersalut cokelat yang manis setiap kali anda memesan makanan!

 

6.  PASANGKAN NIAT YANG BETUL

Niatkan untuk menjaga kesihatan diri kerana untuk memelihara anugerah kesihatan yang Allah pinjamkan.  Untuk memudahkan kita beramal.  Untuk suami supaya lebih disayangi dan dihargai. 

Untuk anak-anak.  Untuk berikan yang terbaik kepada diri.  Untuk kecapi hidup dengan lebih bermakna.  Setiap kali rasa tidak bersemangat, ingatkan diri kita semula segala niat asal kita.

7.  MULAKAN AKTIVITI SECARA BERPERINGKAT

Mulakan aktiviti anda dengan sesuatu yang lebih ringan.Jika perlu dan mampu anda boleh ambil khidmat tenaga pengajar.Jika tidak, memadai dengan membuat pendakian ringan, berjalan kaki atau menaiki tangga.Jangan mudah putus asa.Jangan cepat mengalah.Jangan buat separuh jalan.Lakukan dengan bersungguh dan berterusan.

IKLAN

8.  BANGUN SEAWAL PAGI DAN TERUS MANDI

Usah sambung tidur walaupun pada hari minggu.  Bangun awal pagi, mandi dan terus sarungkan pakaian sukan anda.  Jujurnya, itulah yang saya lakukan hampir setiap hari kecuali jika ada mesyuarat formal.   Apabila kita berada dalam keadaan siap (ready) kita akan lebih bersemangat.  Cubalah…

9.  DAPATKAN TIDUR YANG BERKUALITI DAN CUKUP

Ini sangat penting untuk persiapan minda, tenaga dan emosi bagi anda bersukan pada keesokan hari dan hari seterusnya.  Jaga tidur anda dengan baik.  Tidur yang baik tidak semestinya tidur pada waktu yang panjang.  Tetapi cubalah dapatkan tidur yang berkualiti.  Matikan telefon bimbit anda.  Elakkan dari tidur di hadapan televisyen.  Tutup mata.  Dan tidurlah…

Kekurangan tidur akan mengganggu mood anda, mengganggu kadar metabolism badan, kesihatan jantung, sistem imunisasi badan dan boleh menghasilkan hormon stress!

10.  MINUM AIR DENGAN SECUKUPNYA

Minum air dengan cukup ini sangat penting kerana ia akan membantu badan kita agar kekal sihat.  Air adalah “pencuci” semulajadi bagi organ badan dan sistem penghadaman.  Air juga akan membantu untuk mengeluarkan toksin dari badan melalui peluh dan urine.   Jika nak kan badan yang lebih cergas, minum air dengan cukup ya.

TIPS TAMBAHAN:  KAWAL EMOSI DAN STRESS ANDA

Jika masalah tekanan emosi dan stress ianya akan sangat mengganggu minda.  Cuba kawal emosi dan tangani stress dengan sebaik mungkin.  Bila kita stress badan dan minda akan menjadi lesu dah tidak bermaya.

Ikutilah semua tips mudah ini dengan berdisiplin.  Jika dilakukan dengan berterusan, anda boleh lihat hasilnya dalam masa dua minggu pertama.  Ingat, umur bukanlah penghalang untuk kita kekal cergas dan sihat.

Saya kongsikan sebahagian dari gambar aktiviti hiking saya sepanjang Ramadhan.

Dzuriasikim Dzulkefli

Artikel Berkaitan:

Elak Stress Berat Naik Syawal Nanti, KKM Kongsi Panduan Kalori Setiap Kuih Raya Diambil

Gemar Lakukan Aktiviti Lasak & Sering Terdedah Sinaran UV, Ini Cara Wany Hasrita Jaga Kecantikan

Giliran Tiz Zaqyah & Nora Danish Pula Disahkan Positif Covid-19. Alami Gejala Batuk Ringan & Mengigil!