Endometriosis merupakan salah satu daripada penyakit sakit puan yang biasa dialami golongan wanita.

Hampir satu daripada tujuh wanita pada peringkat umur di antara 30 dan 45 tahun menghidapinya.

Endometriosis tidak bersifat kanser dalam tubuh wanita, di mana sebahagian lapisan tisu dalam rahim dijumpai di bahagian lain dalam badan seperti bahagian pelvis iaitu pundi, usus serta organ reproduktif. Ia kerap ditemui di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus.

PUNCA-PUNCA

Punca sebenar yang menyebabkan keadaan ini masih samar dan tidak jelas. Teori yang biasa dikatakan merujuk kepada ‘retrograde menstruation’ atau pembalikan darah haid di mana sebahagian daripada darah haid mengalir secara terbalik ke arah pembukaan peritoneal melalui saluran fallopio. Sel-sel endometrium akan melekatkan dirinya kepada bahagian berlainan pada pelvis.

TANDA-TANDA ENDOMETRIOSIS

1. Haid yang banyak dan tidak teratur

2. Senggugut (sakit semasa haid)

3. Sakit semasa hubungan seks

4. Sakit di bahagian pelvis dan bawah abdomen (pertengahan haid)

5. Boleh mendatangkan kesan kepada keupayaan wanita untuk hamil

Bagaimanapun ada wanita yang menghidap endometriosis tidak mengalami sebarang simptom. Penting untuk diingatkan bahawa tahap kesakitan yang dialami tidak berkait dengan pertumbuhan endometriosis.

Terdapat wanita yang tidak merasa sakit walaupun ketumbuhan endometriosisnya banyak tetapi ada juga wanita yang mana ketumbuhannya sedikit merasa kesakitan yang teruk.

IKLAN

Sewaktu haid, ketumbuhan endometriosis juga akan gugur seperti mana lapisan uterus gugur sebagai tindakbalas terhadap hormon dalam kitaran haid.

Bagaimanapun, tidak seperti lapisan uterus, ketumbuhan ini tidak akan keluar dari tubuh badan. Jika wanita itu hamil atau mengalami menopause, ketumbuhan ini akan mengecil dan kesakitan akan berkurangan.

UJIAN PEMERIKSAAN

1. Pengimejan

Penggunaan mesin ultrasound, CT-scan dan Magnetic Resonance Imaging(MRI) hanya berguna pada kes yang telah teruk. Ini kerana mereka hanya mampu melihat perlekatan diantara organ bahagian pelvik disebabkan endometriosis tersebut. Ia tidak mampu memeriksa mengesahkan kehadiran endometriosis yang kecil.

2. Pembedahan

Bedah dan lihat merupakan satu cara untuk benar-benar mengesahkan kehadiran penyakit endometriosis. Tetapi pembedahan hanya akan dilakukan jika risau akan kewujudan penyakit lain seperti kandungan di luar rahim, appendicitis dan beberapa penyakit lain.

IKLAN

Sebagai contoh pembedahan dijalankan untuk rawat penyakit appendicitis, tetapi terjumpa endometriosis. Ketika pembedahan, organ ataupun tempat yang terlibat dengan endometriosis akan kelihatan seperti serbuk yang berwarna biru kehitaman.

RAWATAN

Rawatan perubatan atau pembedahan bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi. Tujuan rawatan diberikan adalah untuk :

1. Mengurangkan kesakitan dan simptom lain

2. Menghalang ketumbuhan daripada membesar atau berulang di masa depan

3. Mengekalkan kesuburan bagi wanita yang tidak berupaya untuk hamil

4. Menjamin fungsi reproduktif untuk kehamilan seterusnya

Rawatan bagi endometriosis adalah bertujuan untuk mengurangkan tahap estrogen dan progesterone wanita yang meransang ketumbuhan endometriosis. Ubat yang biasa digunakan adalah pil kontraseptif oral, hormon progesterone dengan dos tinggi dan hormon tiruan lelaki seperti danazol.

IKLAN

Pilihan rawatan perubatan yang terbaru adalah analog GnRH (Hormon pembebasan Gonadotropin). Ia merupakan suntikan yang diambil setiap bulan atau tiga bulan bagi mengawal penghasilan estrogen dengan menggalakkan ‘menopause-induced’. Tempoh masa yang diberikan boleh berlanjutan sehingga 6 bulan.

Rawatan pembedahan boleh dilakukan samada secara laparoskopi atau pembedahan biasa. Pembedahan ini boleh bersifat rekonstruktif (pembuangan endometriosis dan pemulihan organ yang dijangkiti) di mana kesuburan perlu dikekalkan.

Ia juga boleh menjadi ablasi (pembuangan rahim dan kadangkala ovari) untuk mengurangkan kesakitan yang teruk pada wanita selepas kaedah-kaedah rawatan yang dinyatakan sebelum ini teah menemui kegagalan.

Penyakit endometriosis memberikan kesan yang berlainan kepada setiap individu. Sebaik-baiknya pemilihan rawatan bagi endometriosis haruslah mengikut keperluan dan kepentingan wanita berkenaan.

KOMPLIKASI

Kesan sampingan daripada rawatan dengan suntikan GnRH ini termasuklah rasa panas dan tidak selesa (‘hot flushes’), kurang keinginan nafsu syahwat (libido) dan kekeringan vagina. Terapi rawatan mungkin menyebabkan sedikit kerapuhan tulang tetapi keadaan ini akan berkurangan atau sembuh selepas habis rawatan.

Namun harus diingatkan dan dijelaskan bahawa penyakit ini boleh berulang selepas rawatan diberikan. Oleh itu terapi yang berterusan perlu bagi wanita yang mengikuti rawatan ini serta tidak merancang untuk hamil.

#HealthDrZubaidi

Artikel Berkaitan:

5 Senaman Buat Sambil Baring, Pantas Boleh Lenyapkan Lemak Di Bahagian Perut

5 Bulan Diet Eat Clean,Terus Berjaya Lenyapkan 18KG. Wanita Dah Tak Mengah Bila Berjalan!

Rupanya Ubat Simpan Lama Boleh Jadi Racun. Ini Saranan Doktor Elak Mudharat Pada Kesihatan!