Melihat pada penampilannya yang sentiasa bergerak aktif dan lincah bagaikan tidak menduga rupanya sedang menghidap kesakitan.
Pelakon Singapura yang popular di Malaysia, Datuk Aaron Aziz mendedahkan dirinya kini sedang berjuang melawan kesakitan tumor yang dikatakan semakin membesar.
Menerusi satu video di laman Instagram, pelakon berusia 45 tahun itu memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan dan berehat selama dua bulan namun terikat dengan jadual kerja yang padat.
Dalam entri tersebut, Aaron turut memuat naik gambarnya dimasukkan ke dalam mesin MRI serta memaklumkan tumornya itu semakin membesar.
“90 minit berada dalam benda ni (MRI), doktor kata saya perlukan pembedahan dan cuti sakit selama dua bulan, tapi tak boleh sebab banyak projek yang sedang berjalan sekarang ni.
“Jadi buat masa ni saya hanya guna ubat untuk hilangkan sakit. Bekerja dalam kesakitan, hanya Allah tahu apa yang saya rasa,”
Perkongsian Aaron itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mendaoakan agar pelakon itu diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan.
elvinamohamad Get well soon abang. Semoga dipermudahkan..
Pada penghujung kapsyen pula, dia turut meletakkan #cervicalspondylosis iaitu penyakit pada bahagian tulang leher dan #schwannoma iaitu sejenis tumor saraf yang terbentuk di dalam sistem saraf.
Terdahulu, media pernah melaporkan Aaron mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian leher sejak sembilan tahun lalu sehingga terpaksa keluar masuk hospital namun tetap bekerja keras demi keluarga.
Kita doakan semoga segala urusan Aaron Aziz dipermudahkan dan kembali sihat seperti sebelumnya.
Baru pulih dari bedah jantung & masih tak fit. Tapi aksi pocket rocketman masih lagi terpantas! Ramai tahu baru-baru ini pelumba basikal negara kita, Azizulhasni Awang atau digelar pocketrocket Man terpaksa berehat seketika dari sukan berbasikal, kerana memberi tumpuan pada kesihatannya apabila disahkan mempunyai masalah jantung.
Walaupun belum muncul dalam mana-mana kejohanan, Azizul kini hanya melakukan aktiviti rutian biasa dan salah satunya mengayuh basikal dengan jurulatihnya, John Beasly.
Biarpun masih baru pulih dari pembedahan jantung dan belum fit sepenuhnya (dalam peringkat pemulihan), Azizul masih diiktiraf sebagai Pocketrocket Man yang masih berbisa auranya. Ini diakui sendiri oleh jurulatihnya itu setelah mereka sama-sama berentap mengayuh bersama-sama selama dua jam.
Assalamualaikum dan selamat pagi semua.
Korang ingat lagi tak cerita kayuhan terserempak dengan Mat Salleh tu? Sebenarnya nama dia bukan Salleh pun, tapi nama dia adalah John Beasley. Dan dia adalah jurulatih saya. Maaf bukan nak troll korang tapi saja nak bagi plot twist skit.
Disebabkan lama tak jumpa kerana John sudah berkampung di Malaysia dari awal tahun lagi, jadi bila sampai di Malaysia je, saya terus pergi berjumpa dengan beliau. Seperti biasalah, kami berdua jenis tak suka membuang masa begitu sahaja jadi kami buat pengisian perjumpaan itu dengan kayuhan selama dua jam sambil-sambil berborak. 2 in 1 kata orang.
Disebabkan lama tak jumpa tu, punyalah excited si John ni dapat berjumpa dengan saya, dia bercakap tak berhenti. Bercakap je sepanjang kayuhan tu, macam-macam cerita dia kongsikan. Kadang-kadang tu saya saja naikkan pace kayuhan, tapi dia naikkan gear untuk catch up dengan pace saya pulak. Macam mana ni?
Jadi saya perlu mengeluarkan senjata rahsia saya. Apa yang saya buat adalah bila melalui kawasan berbukit, apalagi.. ATTACK!!! Hahahaa. Gambar yang saya share sebelum itu adalah ketika berkayuh menaiki bukit dan John tengah mengah abis.
Bukan kejam saudara saudari sekalian, tapi masa ni lah nak ajar dia sikit, kalau kat dalam velodrome tu, saya pishang terbongkang termuntah macam mana sekalipun, dia mesti buat muke seposen dan cakap ‘we’re still doing five set’. Maksudnya tak ada potongan dengan set yang kitorang sepatutnya buat walaupun melihat saya didalam keadaan terseksa sebegitu. Susah nak bagi diskaun wehhh. Kupik bangaaa!
Tapi sebenarnya melihat kepada sudut yang positif memang baguslah mentaliti muka seposen dia tu dan disebabkan itulah saya berada di mana saya berada pada hari ini. Tapi misi balas dendam tetap balas dendam lah hahaaha.
Dan saya tak cerita lagi dekat korang pada awalnya sebelum kami nak mulakan kayuhan tu. John dengan konfiden level dewanya bagitahu yang dia akan tinggalkan saya dalam latihan kayuhan harini, maklumlah saya baru pulih dari pembedahan jantung dan baru mula berkayuh, masih belum fit. Jadi selepas berkayuh selama dua jam dan diisi dengan perbualan dan adegan cubaan membelasah sesama sendiri, John pun akur.
‘You still got it mate’ kata John kepada saya.
‘Of course, i’m the pocketrocket!’ balas saya.
John pun membalas ‘Alright it’s my shout for our coffee today’.
Kedua-duanya gembira.
Untuk info, Azizulhasni merupakan pemenang pingat Perak di Olimpik Tokyo 2020, disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.
Jangan ambil remeh apabila anda merasa sakit-sakit pada bahagian ibu jari kaki. Mungkin ini petanda awal anda menghidap penyakit gout.
Malahan, jika ditanya apakah yang dirasa ketika gout menyerang? Jawapannya, bahagian yang terkena gout membengkak, panas, berdenyut-denyut sehingga sesetengah pesakit tidak dapat berjalan.
Di samping itu, gout sering dikaitkan sebagai penyakit lelaki dan ia jarang sekali berlaku kepada wanita.
Perlu ketahui, penyakit ini kerap terjadi kepada seseorang yang banyak memakan daging dan makanan laut, gemar minuman beralkohol dan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Namun, tidak dinafikan, sebahagian daripada masalah gout adalah disebabkan oleh faktor genetik.
Pembawa genetik ini mempunyai masalah dengan metabolisme asid urik dalam badan. Jadi, sesiapa yang mempunyai keturunan gout berkemungkinan lebih tinggi untuk mendapat gout sepanjang hayat mereka.
Gout berlaku dalam 1-2% dari jumlah populasi penduduk. Pada dekad ini, kejadian gout menjadi semakin biasa di kalangan penduduk. Ini dipercayai kerana peningkatan dalam fakta risiko seperti sindrom metabolik, peningkatan jangka hayat dan pertukaran diet yang diambil.
Dikatakan LELAKI dewasa adalah pengidap gout yang kerap berlaku berbanding dengan wanita dan kanak-kanak.
Lelaki – berusia 30 tahun ke atas.kerana gemar mengambil makanan seperti daging, makanan laut berlebihan, minuman beralkohol dan minuman bergula fructose yang meningkatkan paras urik.
Wanita – berlaku pada umur 50 tahun ke atas iaitu selepas menopause.
Sebanyak 12% dari kes gout adalah disebabkan oleh diet. Gout mempunyai kaitan yang kuat dengan pengambilan makanan seperti daging dan makanan laut, minuman yang beralkohol dan bergula fructose. Pengambilan makanan dan minuman ini akan menyebabkan peningkatan mendadak asid urik dalam darah seterusnya menyebabkan gout.
– Sendi Metatarso-Phalangeal – Terletak pada pangkal ibu jari kaki. Ia adalah bahagian yang paling kerap berlaku serangan gout, di mana 50% kes gout berlaku pada sendi ini. Ia juga dikenali sebagai “podagra”.
– Bahagian lain yang seringkali terlibat adalah sendi buku lali, lutut, pergelangan tangan dan sendi-sendi halus pada jari-jari tangan.
– Manakala sendi pada kaki kerap mendapat serangan gout kerana suhu pada bahagian ini yang rendah pada waktu malam menyebabkan proses pemendapan kristal asid urik meningkat lebih tinggi atau disebabkan kemungkinan trauma fizikal minor yang lebih mudah berlaku pada bahagian ini.
Seseorang yang mengalami gout apabila sendi menjadi sakit dan ia berlaku dalam tempoh 2-4 jam. Biasanya, ia berlaku pada tengah malam. Sendi-sendi yang terlibat ini menjadi teramat sakit, bengkak, kulit kemerahan dan sukar untuk digerakkan.
Kesakitan akibat serangan gout boleh berlarutan selama 5-7 hari, sekiranya tiada rawatan diberikan. Selepas itu, bengkak dan kulit kemerahan juga berkurangan apabila sakit menghilang.
Info: Sebanyak 60% dari pesakit gout ini akan mendapat serangan gout kali kedua dalam tempoh satu tahun.
Apabila seseorang itu mengalami gout, mereka dinasihatkan menggelak atau mengurangkan pengambilan daging dan makanan laut serta tidak mengambil minuman beralkohol dan bergula fructose yang tinggi.
Dapatkan rawatan dengan berjumpa doktor. Doktor akan membuat diagnosis dengan mendapatkan sejarah penyakit, membuat pemeriksaan fizikal serta membuat ujian darah dan x-ray sekiranya diperlukan.
Selain itu, doktor akan melakukan Definatif diagnosis untuk gout dengan mengenalpasti kehadiran Kristal Monosodium Urate di dalam cecair synovial atau Tophi. Setelah dikenalpasti gout, pesakit akan diberikan ubat untuk mengurangkan simptom sakit pada sendi yang terlibat.
Rawatan yang diberikan oleh doktor dapat memulihkan pesakit seperti biasa. Dengan penggunaan ubat seperti NSAIDs, steroids dan Colchicine, ia dapat mengurangkan simptom sakit dan bengkak.
Apabila serangan akut telah reda, paras asid urik selalunya menurun melalui perubahan cara hidup dan untuk mereka yang selalu dapat serangan gout berulang, allopurinol atau probenecid boleh menghalang serangan gout untuk jangka masa panjang.
Paras asid urik yang sentiasa tinggi untuk tempoh yang lama boleh menimbulkan simptomatologi lain atau komplikasi termasuk pembentukan bengkak pada sendi oleh pemendapan kristal asid urik yang dipanggil Tophi.
Tophi yang terlalu teruk boleh membawa kepada kronik arthritis dan kerosakan sendi disebabkan hakisan pada tulang. Paras asid urik yang tinggi juga boleh menyebabkan pemendapan kristal ke dalam buah pinggang sehingga menyebabkan pembentukan batu karang dan seterusnya masalah urate nephropathy (kerosakan fungsi buah pinggang).
Sendi yang terkena serangan gout akan membengkak, kulit kemerahan dan pergerakan terbatas. Sendi tersebut juga terasa panas dan sakit apabila disentuh. NSAIDs, adalah ubat anti radang serta penahan sakit dan Colchicine, ubat untuk mengurangkan paras asid urik di dalam darah. Ubatan ini diberikan bagi melegakan simptom-simptom tersebut.
Selepas beberapa jam pengambilan ubat-ubat tersebut simptom sakit akan berkurangan, dan selepas beberapa hari bengkak, kemerahan dan rasa panas pada sendi tersebut turut berkurangan.
Setelah sakit dan bengkak hilang, sendi akan kembali normal dan boleh digerakkan seperti biasa. Pada masa tersebut pesakit boleh berjalan seperti biasa tanpa ada rasa sakit lagi pada sendi ibu jari kaki atau lutut.
Memang terdapat banyak rawatan alternatif atau tradisional seperti ubat-ubatan herba yang terdapat di pasaran tetapi keberkesanannya berbanding dengan ubat modern tidak dapat dipastikan kerana tidak ada kajian saintifik mengenai penggunaan ubat-ubat herba kepada pesakit yang dilakukan ke atas pesakit.
– Pesakit yang mendapat serangan gout perlu banyak berehat sambil mengangkat kaki dengan meletakkan kaki di atas bantal. Ini bertujuan untuk mengurangkan bengkak dan sakit pada sendi kaki.
– Pesakit juga boleh menggunakan ais atau tuam sejuk untuk mengurangkan bengkak pada sendi.
– Pesakit juga digalakkan minum lebih banyak air kosong. Semasa serangan, elakkan dari memakan daging dan makanan laut, minum minuman beralkohol dan bergula fructose yang tinggi.
– Meminum kopi dan pengambilan vitamin c dan produk tenusu juga dipercayai dapat mengurangkan risiko serangan gout.
– Amalkan cara hidup dan cara pemakanan yang sihat untuk mengelakkan dari mendapat penyakit gout terutamanya bagi anda yang mempunyai risiko keturunan.
– Anda digalakkan untuk melakukan senaman secara rutin untuk mengekalkan kecergasan badan dan mengekalkan berat badan yang ideal.
– Mengambil makanan yang seimbang dan tidak mengandungi daging, makanan laut dan minuman yang beralkohol.
Sumber: Dr Bazam Abdul Rani, Consultant of Sportsorthopaedic & Arthroscopic Surgery, Knee, Ankle & Shoulder Surgeon, Kelana Jaya Medical Centre
Sebenarnya banyak alasan digunakan seseorang untuk memulakan aktiviti senaman. Antaranya tidak ada masa, letih dan tiada seseorang yang menemani tatkala bersukan.
Namun itu bukan alasan sebagai penghalang untuk memulakan aktiviti senaman yang boleh membantu kesihatan tubuh badan.
Antara pelbagai cara yang boleh anda lakukan untuk memupuk minat dalam bersenam termasuklah;
Mungkin jika anda melakukan senaman berseorangan, anda akan mudah berasa bosan. Oleh itu, cuba mencari teman bersenam sama ada kawan atau ahli keluarga untuk bersama anda.
Jika anda tidak mempunyai seorang pun rakan atau ahli keluarga yang suka bersenam, apa kata anda cari teman di tempat anda pergi seperti taman rekreasi, pusat gim dan sebagainya agar masa akan datang anda boleh lakukan secara bersama-sama.
Ketika anda ingin melakukan senaman tidak kira dimana pun anda berada. Cuba mainkan muzik yang bersesuaian agar anda akan berasa lebih yakin dan semangat untuk melakukannya.
Ada kajian mendapati bahawa pemilihan lagu yang tepat dapat meningkatkan pengaruh positif, menghasilkan mood yang baik dan menguatkan kecekapan pergerakan.
Bila sebut sahaja senaman ramai yang membayangkan anda perlu ke berlari atau memiliki peralatan profesional. Anda perlu tahu bahawa banyak aktiviti yang boleh dilakukan mengikut minat dan kebolehan anda sendiri.
Paling penting adalah anda perlu tahu bagaimana untuk membuatnya menjadi sesuatu yang menarik.
Ternyata, kebanyakkan mereka di luar sana melakukan aktiviti senaman ini adalah kerana mereka ingin mencapai sesuatu yang diingini.
Contohnya seperti meningkatkan kadar pembekalan oksigen ke jantung, menghasilkan emosi stabil, mengharapkan bentuk badan yang diidamkan dan banyak lagi.
Oleh itu, anda disarankan menjadikannya sebagai aktiviti permainan agar seronok melakukannya dengan konsisten.
Dan akhir sekali, setkan minda anda dengan apa-apa ganjaran disukai sekiranya matlamat anda dapat dicapai. Jika tujuan anda bersenam untuk menurunkan berat badan tercapai hadiahkan sesuatu untuk diri anda sebagai tanda penghargaan. Secara tidak langsung ia akan memberikan inspirasi dalam diri anda sendiri.
Nampak remeh tapi kesannya besar! Melangkau sesi memanaskan badan boleh mengundang risiko kecederaan serius seperti otot terkoyak, sakit sendi, hingga tekanan jantung. Ketahui kenapa warm up adalah langkah paling penting sebelum anda mula bersukan.