Tip Elak Berdepan Strok Haba Ketika Bersenam & Melakukan Aktiviti Outdoor

Share

Jika suhu persekitaran mencecah 36 darjah ke atas ia merupakan satu kondisi yang sangat bahaya terutamanya kepada kanak-kanak. Jadi kita harus mainkan peranan bagi memastikan bukan sahaja diri sendiri malah ahli keluarga terutamanya anak-anak kecil terlindung dari risiko ini.

Gelombang haba yang tidak diberikan perhatian khusus boleh menyebabkan ramai terdedah dengan strok haba kerana ia boleh memberikan kesan secara langsung terhadap jantung dan masalah pernafasan.

Terdapat beberapa langkah pencegahan yang anda boleh ambil. Antaranya;

MINUM AIR CUKUP

Air adalah elemen sangat penting bagi melawan strok haba. Mnumlah air dengan secukupnya. Air terbaik ialah air telah dimasak, air mineral, atau jus buah untuk membantu menyegarkan badan. Ini juga bagi mengelak badan daripada berdepan dehidrasi. Buat sementara waktu ini elakkan minuman berkafein kerana ia menyumbang kepada dehidrasi.

PAKAIAN SESUAI

Jangan pula dalam cuaca yang panas anda memakai pakaian untuk musim sejuk. Begitu juga dengan kanak-kanak. pastikan pakaian itu daripada bahan yang ringan dan longgar. Selain itu elakkan juga warna gelap kerana ia menyerap haba panas. Jika lakukan aktviti luar, pakailah topi atau apa-apa aksesori melindungi kepada daripada terdedah cahaya matahari secara terus.

Woman nature photo created by gpointstudio – www.freepik.com

MAKAN BUAH & SAYURAN

Buah-buahan dan sayuran mempunyai kandungan air yang tinggi. Contohnya sayur seperti timun dan tembikai. Memakan buahan segar juga boleh membantu mengekalkan suhu badan. Antara makanan yang anda perlu kurangkan atau elak pula ialah makanan pedas, berminyak dan protein tinggi kerana ia boleh meningkatkan haba metabolik memanaskan badan.

SELALU SEJUKKAN BADAN

Jika berada di rumah mandilah sekurang-kurangnya tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan malam. Atau anda boleh sejukkan badan dengan merendamkan kaki ke dalam bekas air sejuk. Penggunaan tuala basah diletakkan di atas kepada atau bahu juga boleh membantu menyejukkan badan.

GUNA KRIM PELINDUNG

Amatlah tidak elok jika kulit terdedah dengan panas cahaya matahari secara terus dalam masa yang lama. Oleh itu anda perlu sapukan krim pelindung matahari pada bacaan SPF 15 atau lebih tinggi. Satu perkara anda perlu ingat krim SPF ini melindungi daripada sinaran UV tapi bukanlah bertindak sebagai pelindung dari panas.

USAH TERLALU LAMA DALAM KERETA

Jika anda menunggu seseorang di dalam kereta jangan biarkan duduk dalam keadaan panas. Jika tidak mahu menggunakan penghawa dingin bukalah tingkap agar udara mengalir dengan baik. Paling penting jangan sesekali tinggalkan kanak-kanak dalam kereta. Sudah banyak kes melibatkan kanak-kanak tertinggal dalam kereta hingga menyebabkan kematian telah dilaporkan.

PENGUDARAAN BAIK

Sama ada di kediaman atau di pejabat anda harus memastikan yang ia mempunyai pengudaraan yang baik. Jika ruangan tersebut tiada penghawa dingin anda boleh menggunakan kipas angin. Walaupun tak berapa membantu menurunkan suhu namun sekurang-kurangnya ia membantu pengudaraan lebuih baik.

Published by
Farizul Izwany