Teknik Regangan Ini Boleh Redakan Sakit Belakang Terutamanya Selepas Bersenam

Share

Kita sering mengalami rasa sakit belakang. Tidak kiralah sama ada disebabkan oleh struktur di sekeliling tulang belakang seperti otot, ligamen atau tulang belakang itu sendiri. Ada kalanya sakit belakang seolah-olah menangkap pada bahagian pinggang secara tiba-tiba, sehingga kita rasa terkedu dan tidak boleh bergerak.

Apa yang boleh kita lakukan ialah berbaring dulu, dan meminta pertolongan dari pasangan kita, sama ada suami atau isteri, atau minta pertolongan dari rakan-rakan jika berlaku di padang atau di tempat kerja.

Pertama sekali dapatkan ais. Letakkan dalam tuala bersih. Tuam ais pada bahagian yang sakit selama 20 min. Ini akan mengurangkan rasa sakit dan bengkak. Lakukan beberapa kali sehingga rasa sakit hilang.

Selepas kira-kira 48 jam, bertukar menggunakan tuam yang hangat untuk merangsang aliran darah dan mengurangkan kekejangan otot. Celup tuala dalam air yang panas, perah keluar, kemudian lipat dan tuamkan ke bahagian pinggang yang sakit. Pastikan tuala itu tidak terlalu panas sebelum diletakkan pada kulit belakang. Biarkan selama sehingga 20 minit. Boleh mengulangi tuaman ini tiga atau empat kali sehari selama beberapa hari.

Selain itu bolehlah buat senaman regangan dengan cara duduk apabila sakit mula berkurangan. Apabila boleh berdiri, cuba luruskan belakang dengan menolak perut atau pinggang ke hadapan, tahan untuk 10-15 saat kemudian boleh rehat kembali.

Apabila bangun dari tidur, haruslah bangkit secara perlahan-lahan. Saya mencadangkan agar buat senaman regangan dulu. Caranya ialah dengan mengangkat tangan ke atas kepala ketika sedang berbaring. Cuba luruskan secara perlahan-lahan. Kemudian cuba tolakkan pinggang ke atas menjauhi tilam. Tahan 10-15 saat. Kemudian rapatkan lutut ke dada dan peluk sekuat yang mungkin.

Bangun perlahan-lahan dari katil dengan gerakkan badan menghampiri tepi katil. Unjurkan kaki ke luar katil dan bangun secara perlahan-lahan dengan menggunakan tangan menolak tilam untuk duduk.

Cara-cara ini mungkin membantu bagi mereka yang mengalami masalah sakit belakang. Jika sakit belakang tidak kurang dengan mengambil ubat penahan sakit atau bertambah kuat atau menyebabkan rasa kebas dan sakit pada kaki, eloklah dapatkan pemeriksaan lanjut dari doktor.

Published by
Farizul Izwany