Buat Empat Minit Kesannya Macam Larian 40 Minit. Ini Kehebatan Senaman Tabata Ramai Tak Tahu!

Share

Salah satu dikatakan senaman paling berkesan untuk mendapat tubuh yang sihat adalah dengan melakukan tabata.

Sebelum melakukan latihan tabata dan mendapat manfaat sama kesannya seperti berjoging selama 40 minit, ada beberapa perkara penting untuk anda ketahui.

Apa Itu Latihan Tabata?

Ia merupakan kaedah senaman (High Intensity Interval Training) yang diolah berdasarkan kajian pada tahun 1996 oleh Dr. Izumi Tabata dan rakan-rakan dari National Institute of Fitness and Sports, Tokyo.

Kaedah/Protokol Latihan Tabata Seperti:

1. Warm-up (memanaskan badan)

2. Senaman yang ultra-intensif pada 170% daripada VO2 (20 saat)

3. Diikuti dengan rehat yang minimal (10 saat)

4. Ulangi langkah 2 hingga 3 untuk 8 set (Jumlah masa = 4 minit)

5. Warm-down (sejukkan badan)

Huraian Mengenai Kaedah/Latihan Tabata

Latihan Tabata adalah sejenis HIIT yang menerapkan nisbah 2:1. Latihan yang berlangsung hanya selama 4 minit ini (240 saat) terbahagi kepada 8 bahagian atau set. Setiap set pula terbahagi kepada 2 fasa, iaitu fasa pecut selama 20 saat (sprint phase) dan fasa rehat selama 10 saat (rest phase). Kitaran ini berterusan sebanyak 8 kali (Jumlah masa = 4 minit).

Untuk 20 saat yang pertama, anda haruslah melakukan sesuatu senaman itu pada intensiti yang paling tinggi (do it all out!).

Sekiranya anda ingin menerapkan Latihan Tabata dalam larian, maka dalam tempoh 20 saat itu juga anda perlu berlari pecut sekuat hati seperti Usain Bolt, sebelum diikuti dengan rehat selama 10 saat (boleh berjalan lenggang ‘itik pulang petang‘ sebentar).

Apabila jam randik di tangan sudah cukup tempoh 10 saat, anda harus terus berlari pecut lagi untuk 20 saat berikutnya, dan proses ini berulang sebanyak 8 kali. Boleh anda bayangkan?

Keberkesanan Tabata

Menerusi kajian yang telah dilakukan oleh Dr. Tabata, atlet yang menggunakan kaedah ini selama 4 kali seminggu berserta 1 kali kardio konsisten (jogging) didapati mengalami peningkatan kapasiti aerobik* dan anaerobik sama seperti mereka yang pulun berjogging selama 5 kali seminggu.

Sedangkan latihan kardio seperti jogging yang biasa mungkin makan masa sekurang-kurangnya 40 minit, tetapi kaedah Tabata hanya memakan masa hanya 4 minit sahaja!

Sangat pendek bukan? Sesuai untuk mereka yang berkerjaya dan terlalu sibuk untuk bersenam. Malah iklan di TV3 pun jauh lebih panjang tempohnya daripada itu. Mana nak dapat senaman yang hanya selama 4 minit, kemudian habis sesi senaman untuk hari tersebut. Mungkin anda tidak percaya, tetapi itulah kelebihan Latihan Tabata.

Dipercayai, kesan daripada melakukan latihan Tabata tidak terhad kepada peningkatan stamina sahaja, tetapi pembakaran kalori (menerusi peningkatan kadar metabolisma) juga adalah hampir sama dengan mereka yang pulun berjogging setiap hari. Selepas ni, jangan terkejutlah jika terdengar boleh turun 5kg dalam masa seminggu. Rahsianya? Tabata 4 minit sehari sahaja!

Bersediakah Melakukan Tabata? (AMARAN!)

Mungkin bunyinya seperti mudah, 4 minit itu berapalah sangat, bukan? Maka adalah yang berkira-kira ingin mencuba kaedah Tabata selepas ini.

Untuk melakukan Tabata, jantung anda haruslah benar-benar kuat, dan betul-betul fit. Sekiranya kalau berjogging selama 20 minit tanpa henti pun dah semput, maka anda mungkin boleh mula melupakan kaedah Tabata ini, sehingga stamina/jantung anda benar-benar mantap menghampiri keupayaan seorang atlet.

Anda juga perlu memastikan yang diri anda benar-benar sihat, dan dapatkan pengesahan daripada doktor atau jurulatih peribadi (jika ada) sebelum melakukan Tabata.

Artikel Berkaitan:

Ini Tip Senaman Larian Atas Treadmill, Untuk Dapat Manfaat Sama Seperti Mendaki Bukit

Buat Senaman Pilates Sejam Setiap Hari, Cara Cepat Turunkan Berat Badan

4 Senaman Mudah Lakukan Di Rumah, Boleh Kecilkan Peha Dalam Masa Sebulan

            

         

            

                

Published by
Siti Zurina Mat Saman