“Yang Senyap-Senyap Sebabkan Angka Naik” – Frontliner Kecewa Sikap Masyarakat & Ini Pesanannya Perlu Hadam

Share

Peningkatan kes penularan Covid-19 yang tinggi kini amat membimbangkan kita. Setiap hari dikatakan ada saja bas yang akan datang membawa pesakit yang sah positif di pusat kuarantin.

Melalui perkongsian di laman sosial Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose memberi peringatan serta nasihat bahawa peranan kita sangat besar bagi memutuskan rantaian jaringan Covid-19 ini.

Hadamkanlah peringatan yang diberikan ini agar kita tidak leka dan sama-sama membantu bagi memerangi wabak yang boleh membawa maut ini.

Statistik semalam melihat 50 kematian.

 

Peranan Anda Terlalu BESAR !

Kini setiap hari ‘sebuah bas’ masuk gaung dan semua penumpangnya  mati. Setiap hari sekitar 50 orang mati akibat Covid-19 di Malaysia. 

Petugas rumah mayat inilah yang menghantar mayat-mayat itu untuk dikebumikan. Ahli keluarga hanya boleh melihat dari jauh. Tiada kucupan terakhir untuk selamat tinggal ke alam barzah. Hanya doa yang dititip dari jauh. Ada antaranya ibu atau bapa yang mendapat Covid dari anak atau menantu yang berziarah. 

Dalam keadaan petugas kesihatan bertungkus -lumus di hospital merawat ledakan kes Covid, anda boleh bercekak pinggang berkata,”Bukalah katil lebih. Tambah jer lah katil ICU !” Malangnya katil ICU bukan katil yang dibeli di kedai perabot. Ada staf ramai, peralatan jutaan ringgit, kemahiran mengendaikan pesakit dan banyak aspek lain yang sukar.

Dalam pada itu, ada ramai yang menipu diri sendiri dengan SOP yang ke laut bila makan, berziarah senyap-senyap, rentas sempadan di jalan tikus, beraya senyap-senyap, makan dekat-dekat di asrama dan tempat kerja. KKM dituduh tipu data dan semuanya salah KKM.

Tambahlah katil hospital banyak manapun, tetapi kalau anda tidak menghentikan malah menambah kes-kes Covid ke hospital dari SOP anda yang ke laut, semuanya tidak pernah akan cukup untuk anda

Semuanya hanya akan berhenti apabila anda melihat diri sendiri, berhenti menyalahkan orang tetapi menyalahkan diri sendiri.

Gambar dari sumber KKM

Peranan anda besar untuk menghentikan sebaran Covid. Caranya sama, tak berubah seperti dipesan sejak setahun lalu – pakai mask dan jauhilah manusia. Amalkan SOP ‘tanpa ruang bolos’ sedikitpun. Anggap semua ada Covid. ‘1 meter’ adalah jarak ‘keramat’. Jika mask dibuka contohnya semasa makan atau riadah…obseslah untuk jarak itu melebihi 1 meter dari mereka.

Jangan percaya dakyah antivaksin yang suka mengeliru dan menyesatkan anda dengan slogan ‘Ikut SOP adalah mengikut telunjuk Yahudi’ kerana merekalah yang mengikut telunjuk syaitan dan mahukan anda atau keluarga anda mati sambil produk jualan mereka anda beli. 

Daftarlah untuk divaksin. Ianya satu-satunya jalan keluar kita dari pandemik ini. Jika 80% kita sudah divaksin, kita ada imuniti masyarakat. Tahun depan boleh raya, malah jika semua bagus boleh buka mask pun seperti di sesetengah negara yang siap divaksin pada kadar ini. 

Kalau anda selebriti atau pemimpin, tunjuklah contoh yang baik dengan mematuhi SOP kerana impaknya besar untuk menyatukan rakyat ikut SOP.

Dan kalaupun selebriti dan pemimpin tidak boleh diharap  untuk berperanan seperti yang diimpikan, janganlah pula anda mengikut mereka, kerana harganya dibayar oleh anda dan keluarga anda.

Cukuplah. 

Kita perlu berubah 180 darjah untuk memenangi perang ini. Kami tahu semua rahsia yang anda simpan kerana terbongkar di hospital – ziarah senyap-senyap, makan dekat-dekat, berhimpun senyap-senyap, berjemaah rapat-rapat secara senyap-senyap. 

Yang senyap-senyap inilah menyebabkan angka senyap-senyap naik. Sebaliknya, yang dalam senyap mematuhi SOP dengan sempurna adalah wira sebenar yang tak didendang. Anda sendiri sahaja yang tahu dalam kumpulan mana anda tergolong.

Gambar dari sumber KKM

Peranan anda dalam menentukan menang atau kalahnya perang ini teramat besar. Untuk menentukan sama ada ‘bas’ terus masuk gaung setiap hari atau tidak.

Bukan kami di hospital.
Bukan mereka yang membantu kebumikan mayat keluarga anda.

Tetapi anda. 
Anda saja boleh menangkan dan anda saja yang boleh kalahkan pertarungan kita dalam perang virus ini. 

Dr Alzamani Mohammad Idrose
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Trauma
Frontliner 
​​​​​​​#alzainsights
#masihkahadakitajagakita?

Artikel Berkaitan:

Wanita Kongsi Pengalaman Hampir Hilang Suami, Lepas 41 Hari Terlantar Di ICU Positif Covid-19 Stage 5

Positif Covid-19, Nabila Huda Kongsi Vitamin & Suplemen Diambil Sepanjang 10 Hari ‘Self Quarantine’

Doktor Ini Dedah Virus Covid-19 Mula Serang Orang Muda & Akui Jangkitan Makin Cepat

Published by
Siti Zurina Mat Saman