Wanita Hamil Demam Tinggi Boleh Sebabkan Keguguran. Doktor Jelaskan Mudharat Lain Pada Bayi!

Share

Ketika hamil seseorang itu ada kalanya berdepan dengan pelbagai masalah alahan atau sakit lain yang datang menyerang.

Antaranya adalah mengalami demam dan situasi akan jadi lebih teruk jika berlaku di akhir kehamilan.

Apakah risiko bakal ibu dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini jika diuji dengan masalah demikian.

Perkongsian Dr Zubaidi Ahmad memberitahu kesannya jika wanita hamil diserang demam di awal dan di akhir kehamilan.

BAHAYAKAH DEMAM KETIKA HAMIL?

Demam yang dihadapi oleh wanita yang hamil, memang merisaukan. Demam ketika hamil adalah sesuatu yang cuba dielakkan namun apabila diuji dengan gejala demam, mahu atau tidak, wanita yang hamil harus menerima dengan hati yang redha.

Demam sebenarnya tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan kuman dan penyakit-penyakit lain. Ia bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan seseorang mempunyai sesuatu penyakit.

Suhu badan normal bagi seseorang yang sihat ialah 37°C. Jika melebihi tahap ini, anda akan dikira sedang mengalami gejala demam.

Adakah demam memberikan kemudharatan pada wanita yang hamil? Setakat ini belum ada kajian yang sahih mengenai kemudharatan demam dan suhu panas terhadap bayi dalam rahem.

Cuma saya mahu menarik perhatian pada satu penulisan di dalam Journal of Paediatric and Perinatal Epidemiology, yang mengatakan bahawa secara amnya, demam yang dialami oleh wanita hamil tidak memberikan apa-apa risiko kepada anak yang dilahirkan.

Ada kajian yang menunjukkan jika seorang wanita hamil mengalami demam melebihi 39.0 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga kali, yang disebabkan oleh jangkitan kuman pada pundi kencing (urinary tract infection), maka terdapat kemungkinan bahawa risiko bagi bayi yang dilahirkan mudah mengalami sawan adalah tinggi. Namun kajian ini agak lemah.

Walau bagaimanapun, janganlah terlalu risau kerana demam yang rendah (kurang dari 100.4 darjah Fahrenheit) adalah selamat dan tidak perlu dirisaukan walaupun masih lagi di awal kehamilan.

Namun demam yang agak tinggi (melebihi 103 darjah Fahrenheit atau 39.5 darjah Celcius) mungkin boleh memberikan kesan mudaharat pada bayi.

Ini kerana demam yang tinggi pada awal kehamilan, akan menjejaskan proses pembentukan fizikal bayi dan bayi yang dilahirkan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat bayi yang mengalami masalah neural tube defects seperti spina bifida terutama jika demam itu berlaku ketika pembentukan saraf tunjang yang berlaku pada hari ke 20 hingga 28 selepas telur ovum disenyawakan.

Malah ada beberapa kajian yang agak lemah menunjukkan bahawa suhu badan terlalu tinggi akibat demam boleh menyebabkan keguguran. Hal ini juga boleh berlaku pada wanita yang mandi di dalam hot tubs atau sauna ketika hamil.

Di akhir kehamilan, perkembangan fizikal bayi telah terbentuk dengan lebih sempurna, maka gejala demam yang tinggi selalunya tidak membawa mudharat kecuali demam yang disebabkan oleh jangkitan dalam rahem (intrauterine infection).

Saya mencadangkan wanita hamil yang mengalami demam agar mengambil bacaan suhu yang betul. Adalah sukar untuk mengatakan seseorang wanita mengalami demam hanya dengan meletakkan belakang tapak tangan di dahi. Oleh itu gunakanlah thermometer agar dapat mencatat bacaan dengan lebih tepat.

Minumlah air suam kosong yang banyak. Demam akan membuatkan seseorang akan merasa cepat letih dan haus akibat dehidrasi. Oleh itu harus menambah jumlah air yang diambil ketika mengalami demam.

Jika demam bersama-sama dengan loya dan muntah, bolehlah minum air secara sedikit demi sedikit menggunakan sudu.

Selain itu, wanita hamil yang mengalami demam boleh menuam dengan tuala basah. Letakkan tuala basah pada dahi dan dada, membantu haba dari badan dikeluarkan dari tubuh dan mengurangkan demam.

Berjumpa dan berbincang dengan doktor yang merawat. Adakalanya punca demam dapat dikesan dengan pemeriksaan darah dan air kencing. Untuk meredakan demam dengan cepat, doktor mungkin akan memberikan ubat paracetamol yang selamat digunakan oleh wanita hamil dengan dos yang ditetapkan.

Bersabarlah ketika menghadapi ujian demam.
#HealthDrZubaidi

Artikel Berkaitan:

Konsisten Buat Diet Atkins, Seminggu Sekali Cheat Day. Wanita Akhirnya Berjaya Lenyapkan 32KG!

Kulit Putih & Cerah Tak Bermaksud Sihat. Ini Kriteria Wanita Perlu Ambil Tahu Elak Masalah Kulit!

Letak Baby Oil, Cara Selamat Keluarkan Serangga Dalam Telinga. Doktor Ajar Caranya!

Published by
Siti Zurina Mat Saman