Anda wajib tahu tip cuci tudung kalau nak pakai lama dan bentuknya terletak elok waktu sarung, barulah tak rasa rugi beli dengan harga yang ‘melambung’.
Dan tak kisahlah tentang harga, asal anda pandai jaga kualiti tudung untuk dipakai banyak kali dan tak perlulah membazir.
Sebenarnya tak susah pun untuk memastikan tudung sentiasa dalam keadaan baik, jom semak caranya.
Apa kata anda ikuti beberapa langkah mudah penjagaan tudung agar kualitinya sentiasa dalam keadaan baik.
Ingat ya, tudung bersifat ringan dan lembut. Justeru ia mudah rosak apabila dibasuh menggunakan mesin basuh. Apatah lagi, korang mencuci bersama pakaian yang berat seperti baju-T, jubah fabrik likra dan seluar jean.
Kualiti benang hijab didapati akan rapuh tatkala ia ‘berbelit’ dengan pakaian lain di dalam mesin basuh. Namun begitu, bagi wanita yang ingin mencuci menggunakan mesin terbabit, cara terbaik adalah meletakkan tudung di dalam beg kain jaring. Beg berkenaan boleh dibeli di kedai perkakasan rumah atau pasar raya besar.
Tudung sebaik-baiknya dibasuh menggunakan tangan, tetapi jangan disental dengan kuat. Memadai ia direndam di dalam baldi yang dicampurkan bahan pencuci dan pelembut fabrik antara 10 hingga 15 minit. Kemudian, bilas tudung dengan lembut menggunakan air bersih. Ketika menyidai pula elak memerah selendang atau tudung bawal terlalu kuat.
Lazimnya, wanita akan mencari port pancaran matahari dengan harapan tudung cepat kering. Pun demikian, tahukah korang cara berkenaan tidak wajar dipraktikkan kerana ia akan menyebabkan warna tudung pudar, sekali gus tampak kusam.
Seterusnya, apabila menggosok hijab pilihan jangan sesekali menetapkan suhu tinggi terutamanya pada tudung berasaskan fabrik lembut seperti sifon dan sutera. Haba panas melampau akan menyebabkan tudung terkoyak dan berlubang kerana terbakar.
Dapat sesuatu dalam perkongsian cuci tudung kali ini? Kalau mampu ubah, pasti warnanya tak cepat pudar dan boleh pakai banyak tahun sampai anak-anak pun masih mampu sarung. Jadi, usahakan yang terbaik ya!