Makan Kacang Kuda Punca Kentut Berkali-Kali & Berbau Busuk. Ahli Kimia Ini Jelaskan Sebabnya!

Share

Kacang kuda atau nama saintifiknya Cicer Arietinum merupakan sejenis tumbuhan renek berasal dari keluarga Fabaceae.

Ia juga merupakan tanaman kekacang yang ditanam di negara seperti India, Mediterranean dan juga Asia Barat iaitu yang beriklim subtropical yang agak kering.

Kacang kuda ini sememangnya sedap dimakan dengan merebus atau sebagai bahan sampingan untuk masakan merah. Baru-baru ini dalam Grup Makmal Makanan (MaMa) ada yang bertanya kenapa jika makan kacang kuda ini akan menyebabkan kentut banyak.

Penjelasan Ahli Kimia, Puan Fatimah Salim ini memberitahu sebabnya berlaku masalah kentut banyak ini. Beliau juga turut menjelaskan kenapa jika seseorang kentut itu akan berbunyi dan juga mengeluarkan bau busuk.

 

Merujuk kepada ss ahli MaMa di bawah yang bertanya kenapakah memakan kacang kuda biasanya akan kentut banyak.

Tumbuhan kekacang (legumes) seperti kacang kuda ini mengandungi karbohidrat kompleks jenis oligosakarida yang tidak boleh dicerna oleh tubuh manusia kerana kekurangan atau ketiadaan enzim alfa-galactoside.

Dan keberadaan enzim ini adalah bergantung kepada genetik dan peningkatan usia. Maka, usahlah hairan jika dulu kita makan kacang ini kurang kentut dan kini kerap pula kentutnya.

Disebabkan ketiadaan enzim khusus ini, maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh bakteria yang ada dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana.

Gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut. Selain daripada terhasilnya gas, fermentasi oligosakarida ini juga menghasilkan asid lemak rantaian pendek (short-chain fatty acids -SCFA) yang baik untuk kesihatan usus.

Menariknya, sesetengah individu tidak akan kentut disebabkan memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.

Kenapakah kentut berbunyi?

Kentut berbunyi disebabkan oleh getaran otot dubur semasa gas-gas ini dikeluarkan. Bunyi kentut yang kuat adalah disebabkan oleh isipadu gas yang besar sekaligus menerjah keluar.

Kenapa kentut berbau busuk?

Bau dan jumlah kentut adalah berbeza untuk setiap individu bergantung kepada jenis makanan yang diambil dan tahap kesihatan. Contoh makanan yang boleh menyebabkan kentut berbau adalah makanan yang tinggi kandungan sulfur seperti telur, kubis, cheese, bebawang, durian dan lain-lain akan menghasilkan gas hydrogen sulfide (bau tembelang). Bau kentut yang busuk juga disebabkan oleh najis yang terkumpul dalam rektum.

Tips memudahkan penghadaman karbohidrat kompleks:

• Rendam secukupnya makanan jenis kekacang ini terlebih dahulu untuk memudahkan proses memasak dan penguraian karbohidrat. Ini akan mengurangkan aktiviti fermentasi oleh bakteria.

• Kunyah makanan jenis ini lama-lama untuk mengecilkan saiz makanan. Air liur mungkin mengandungi enzim alpha-galactoside yang boleh membantu dalam proses penguraian bahan kimia karbohidrat ini dan mengurangkan fermentasi oleh bakteria dalam usus besar.

• Kurangkan pegambilan makanan terproses dan gula tersedia (gula putih, sirap tinggi fruktosa). Ini boleh mengurangkan populasi bakteria baik dalam usus.

• Boleh tambahkan makanan difermentasi yang mengandungi mikrob baik (sumber probiotik) seperti yogurt, tempoyak, cencaluk, tapai… untuk mempelbagaikan flora bakteria dalam usus. Perlu diketahui bahawa probiotik ini biasanya akan mati dengan suhu memasak. Maka, eloklah diambil mentah.

• Amalkan senaman yang bersesuaian untuk mengaktifkan sel-sel badan termasuklah dalam sistem penghadaman. Bakteria yang baik sukakan badan yang sihat untuk ditumpang (win win situation).

Nota: Sesungguhnya kentut adalah aktiviti yang sihat, namun kentutlah dengan berhemah.

Artikel Berkaitan:

Buat Hanya Suka-Suka Tapi Hasilnya Memang Wow. Gadis Ini Kongsi 5 Tip Diet Mudah Berjaya Lenyapkan 44 Kg!

Rupanya Ini Senarai 29 Stok Makanan Diet ‘Eat Clean’ Wajib Ada, Kalau Nak Cepat Turun Berat Badan Cara Sihat

Published by
Siti Zurina Mat Saman