Kekal Jaga Sop Tapi Tetap Dijangkiti Covid-19, Frontliner Kongsi Pengalaman 8 Hari Kena Kuarantin

Share

Tidak dinafikan penularan kes jangkitan Covid-19 kini sangat membimbangkan. Hampir setiap hari angka kes baru tidak berubah dan tetap empat angka.

Pandemik virus Covid-19 ini bukan sahaja menjangkiti orang awam, tetapi frontliner juga tidak terkecuali menerima nasib sama.

Baru-baru ini kisah bagaimana seorang petugas barisan hadapan Zamri Shahri turut dijangkiti Covid-19.

Walaupun dia tidak menyangka akan terkena virus berkenaan kerana menjaga SOP ditetapkan, tetapi pasrah menerima dugaan ini.

Nurses : Aku positif Covid akhirnya.

Kejadian lewat petang 15 Januari yang lepas benar-benar merubah cara aku memandang takdir, cara aku menilai tutur kata sendiri dan cara aku melontarkan pengharapan kepada Tuhan.

Berubah 360 darjah!

Beberapa minggu yang lalu, wad Covid tempat aku berkhidmat dimasuki seorang lelaki yang agak warak. Kelihatan Al Quran senantiasa ditangan. Rajin beliau membacanya.

Ketika itu keadaan beliau agak teruk juga, batuk yang sangat kuat sehingga pembacaan Al Qurannya tersekat-sekat. Semasa aku ingin mengambil tekanan darahnya, sempat aku bertanya bagaimana beliau boleh terkena jangkitan Covid ini.

” Tidak tahu lah encik. Semua SOP saya ikut. Saya juga imam di sebuah surau dan saya juga telah pastikan jemaah saya mengikut SOP dengan betul. Akhirnya, saya yang terkena Covid. Macam mana lah saya boleh terkena ini pun saya tak tahu, ” jawab pesakit  itu dengan sedikit nada kehampaan.

“Ini semua kehendak Allah. Usaha itu adalah bahagian dan tanggungjawab kita, tetapi apabila Dia mengkhendaki sesuatu itu terjadi. Ia pasti terjadi ! ” jawab aku dengan penuh yakin.

Kini, apa yang aku kata tersebut telah menjadi sebab Allah azwj untuk uji aku semula. Allah azwj ingin melihat keyakinan aku sendiri seperti mana yang dituturkan itu.

Allah telah berfirman:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS Al-Ankabut:2-3).

Dikalangan rakan-rakan sekerja, aku dikenali sebagai seorang yang mementingkan SOP bahkan, aku juga senantiasa membawa hand sanitizer sendiri ke mana aku pergi.

Aku tidak pernah walau sekalipun makan di tempat kerja. Selesai tugas, aku mandi dan terus balik. Tanyalah kepada sesiapa yang mengenali aku baik dikalangan staff wad mahupun ketua dan penyelia jururawat. Sungguh mereka benar-benar mengenali aku dan cara aku bekerja.

Dikalangan rakan-rakan satu jemaah pun sama. Banyak kali aku bertelagah dengan beberapa ahli jemaah dalam mempertahankan kewajaran SOP. Bagi aku, mengikuti SOP itu adalah salah satu anjuran dalam agama jika dilihat dari segi keutamaan umat Islam dalam menta’ati ijtihad pemerintah.

Setelah mengambil kemaslahatan umat, maka SOP pun dikeluarkan oleh pemerintah. Keta’atan ini berpahala seperti yang selalu aku katakan kepada rakan-rakan.

Namun, akhirnya aku sendiri yang dijangkiti Covid 19 ini. Pada petang 15 Januari tersebut, tiba-tiba badanku  terasa menggigil dan kepala mulai pening serta batuk mula kedengaran seolah-olah ada sesuatu kesat yang tersangkut ditekak aku ini.

Apabila pulang ke rumah, aku memeriksa suhu badan, ternyata demam. Suhu 37.9 darjah celcius. Aku terus memberitahu ketua jururawat ketika itu melalui telefon dan keesokan malamnya diarahkan untuk mengambil ujian swab tekak dan rongga hidung.

Segala-galanya berlaku secara tiba-tiba. Sebelum itu aku sihat seperti tiada apa yang berlaku. Aku tidak lepas untuk bersenam dan berjongging setiap petang.

Namun, dalam sekelip mata badan menjadi letih lesu, kepala menjadi pening sehinggakan tahap kesakitan itu tidak dapat aku terjemahkan dalam apa bentuk perkataan, demam , seram sejuk dan batuk yang sangat mengganggu rutin harian aku.

Sehingga tulisan ini ditulis, aku masih lagi batuk walaupun semakin beransur pulih.

Kecewa?

Tentu ada.

Sakit hati?

Itu yang aku rasa sekarang.

Penat? Ya, memang penat mengawal diri mengikuti SOP dengan ketat dan akhirnya positif.

Lalu aku teringat pesanan terakhir Almarhum Shiekh Ali Jaber Rahmatullahi ‘alaih yang meninggal dunia baru-baru ini dan dijangkiti Covid menjelang akhir hayat beliau.

Dalam video terakhir itu, beliau telah menegaskan bahawa beliau adalah antara orang yang mengikut SOP dengan ketat. Namun, Qadarullah (ketentuan Allah) itu mengatasi segala-galanya.

Masha Allahu kana, wama lam yasha’ lam yakun, wa la hawla wa la quwwata illa biLlahi’l-Aliyyi’l -Azim.

(What Allah wishes happens, and what He does not wish does not; there is neither power nor ability save Allah, the High, the Formidable)

Apa yang Allah azwj berkehendak pasti akan terjadi, dan apa yang Dia tidak berkehendak pasti tidak akan terjadi. Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan keupayaan dan kekuatan Allah azwj yang Maha Agung.

Allah Ta’ala berfirman,

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [Quran Al-Baqarah: 216].

Demi sesungguhnya, Tuhan menjadi saksi yang aku telah usaha sedaya upaya menjaga diri dari dijangkiti. Dan akhirnya, Covid itu berjaya juga menewaskan aku.

Aku minta maaf daripada kalian semua dan semoga Allah azwj juga mengampunkan segala kesilapan, kecuaian dan kekhilafan aku dalam segala urusan kehidupan ini.

Ada juga yang cuba menyedapkan hati aku, katanya,

“Berehatlah Zamri. Allah tengok kau dah penat. Itu yang Dia bagi kau dan frontliners yang lain ‘chance’ untuk berehat dengan ujian sebegini. Percayalah, Dia nak kau berehat dan tidur sebelum berjuang semula”

Serius, aku menangis mendengarkan perkataan ini.

Mak dan abah, maafkan along kerana telah membuat kalian susah hati. Buat Isteri dan anak-anak, percayalah kekuatan diri ini sebahagiannya telah musnah mendengarkan tangisan kalian bertiga dibalik pintu pagar rumah kita.

Buat adik beradik dan  rakan-rakan yang terpaksa menjalani pemeriksaan swab tekak dan rongga hidung, aku menyusun sepuluh jari kerana telah melibatkan kalian dalam masalah ini.

Maafkan aku, sungguh dan percayalah aku telah usaha yang terbaik. Namun, yang tidak diingini berlaku juga akhirnya.

Pic : Gambar ini diambil oleh isteri semasa sedang dijemput oleh kenderaan KKM ke Hospital Rembau.

Tiada yang lebih perit mengguris hati ini ketika itu melainkan mendengar tangisan anak-anak di balik pintu pagar.

“Ayah, jangan pergi. Ayah tak sayang kami ker? Ayah jangan pergi? Ayah…. “

Sebak hati aku.

Mereka sedaya upaya cuba menghalang aku keluar menuju ke kenderaan hospital.

Allahuakbar !

Doakan saya cepat sembuh dan semoga Allah azwj menjaga keluarga yang saya tinggalkan buat menghabiskan waktu kuarantin ini.

#CovidituBenar

#DiaBerkehendakpastiBerlaku

Setelah beberapa hari berada di wad kuarantin, Zamri memberitahu dirinya kini sudah sembuh dan bebas dari Covid-19 ini. Dugaan diberikan Allah ini membuat dirinya tersedar ada banyak lagi tugasan belum disempurnakan.

Malah Covid juga membuat dirinya insaf bahawa kehidupan adalah satu percaturan dan kita semua adalah pelakon-Nya di pentas dunia.

Nurses : Tiada perahu, Upih pinang aku layarkan.

Alhamdulillah, setelah 8 hari aku dipenjarakan Covid. Kini, aku discaj. Aku bebas untuk mengatur langkah dengan lebih kuat dan berlari dengan lebih kencang lagi.

Covid ini telah membuatkan aku tersedar bahawa banyak lagi tugasan yang perlu aku sempurnakan dengan lebih cepat. Covid ini membuatkan aku insaf bahawa kehidupan hanyalah suatu percaturan yang berbolak balik diantara dua jari-Nya.

Ada kala kita bergelak tawa dan tidak sampai sekelip mata dia mampu menukarkan sebaliknya.

Namun, apa yang pasti selepas ini aku yang sekarang bukanlah seperti aku yang dahulu. Sumpahan Covid ini benar-benar membuat aku menghargai erti senyuman kepada anak-anak sewaktu badan keletihan penat bekerja, benar-benar membuatkan aku faham nilai kasih sayang diantara insan yang mengelilingi kehidupanku sehari-hari.

Tamparan Covid ini juga telah menyedarkan aku yang kehidupan ini hanyalah satu lakonan. Kita semua adalah pelakon-Nya di pentas dunia yang telah pun diberi peluang untuk memilih skrip dan watak yang kita mahu.

Kini, cita-citaku hanya satu.

Hanya satu iaitu ingin menjadi Pelakon Terbaik di mata Allah azwj.

Terima kasih kepada anda semua yang telah mengirimkan doa dari kejauhan tanpa putus-putus. Hanya Dia lah yang mampu membalas jasa anda semua dan membalas semua doa anda dengan sebaik-baik balasan bagi pihak aku.

Buat meneruskan perjuangan ini, aku akan berusaha bersungguh-sungguh dan semampu yang mungkin. Tiada perahu, Upih pinang aku layarkan. Patah paruh, dengan dagu aku tongkatkan.

Terima kasih, Jazakumullahul khairan katsiran.

#kenangandijangkitiCovid

Artikel Berkaitan:

Lepas 30 Hari Bertarung Nyawa Jalani Rawatan, Akhirnya Lelaki Ini Sembuh Dari Covid-19 Stage 5

Wanita Ini Kongsi 16 Barangan Peribadi Patut Bawa, Jika Positif Covid-19 & Jalani Kuarantin Di MAEPS

 

Published by
Siti Zurina Mat Saman