Setiap rumah pastinya mempunyai kotak penyimpanan ubåt sebagai persediaan bila ada salah seorang anggota keluarga ditimpa sakit.
Kebiasaannya ubat berbentuk tablet akan disimpan dalam kotak dan ditempatkan pada ruang lebih selamat.
Manakala ubat berbentuk cecair pula disimpan dalam peti sejuk. Adakah cara menyimpan ubat ini betul mengikut kaedah perubatan.
Perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad memberitahu tip menyimpan ubat yang betul di rumah. Menurutnya penyimpanan ubat yang betul dan selamat penting bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan ubat terjamin.
Pengambilan ubat dengan kaedah yang betul amat penting bagi memastikan kesan perawatan mencapai kesan terapeutik yang diingini.
Namun begitu, cara penyimpanan ubat yang selamat dan betul juga penting kerana ia dapat memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan ubat terjamin.
Berikut adalah tips cara penyimpanan ubat yang selamat dan betul:
1. SIMPAN ubat di tempat yang selamat dan dikhaskan supaya mudah dicari.
Menyimpan ubat di tempat yang dikhaskan akan memudahkan anda mencari ubat tersebut jika berlaku sebarang kecemasan. Selain itu, ia juga memudahkan anda untuk mengingati tempat ubat tersebut disimpan. Cara ini dapat meningkatkan kepatuhan anda untuk mengambil ubat pada waktu yang telah ditetapkan.
2. SIMPAN ubat secara berasingan mengikut jenis ubat seperti ubat makan (tablet, sirap dan sebagainya) dan ubat kegunaan luar (krim, salap, ubat titis mata dan sebagainya).
Mengasingkan ubat-ubatan mengikut jenis ubat dapat membantu mengurangkan kekeliruan. Mencampur aduk ubat-ubatan yang berlainan jenis boleh menyebabkan kesilapan pengambilan ubat dan juga tindak balas fizikal di antara ubat-ubatan tersebut. Jika ini berlaku, dikhuatiri kualiti ubat akan terjejas, keberkesanan ubat akan berkurang dan keselamatan pengambilan tidak terjamin sepenuhnya.
3. SIMPAN ubat mengikut suhu yang disarankan (sila rujuk kepada sisip bungkusan ubat). Contohnya:
• Dalam ruang tengah peti sejuk : 2-8°C. (Contoh: insulin, ubat titis mata, suspensi antibiotik yang telah dibancuh)
• Tempat dingin bilik berhawa dingin : 8-15°C (Contoh: kapsul gel lembut)
• Suhu bilik : 15-30°C (Contoh: ubat tablet dan kapsul)
Penyimpanan ubat di tempat yang betul juga boleh mengelakkan daripada ubat tersebut daripada mengalami kerosakan. Terdapat beberapa jenis ubat yang memerlukan tempat penyimpanan dengan suhu yang tertentu.
Jika ubat tersebut rosak disebabkan cara penyimpanan yang tidak betul, kualiti ubat akan terganggu, keberkesanan rawatan tidak terjamin dan berkemungkinan anda juga akan mendapat kesan sampingan yang tidak diingini.
4. SIMPAN ubat dalam bekas yang asal, jangan tanggalkan label ubat asal yang mengandungi maklumat seperti nama ubat, kekuatan ubat, cara pengambilan, kaedah penyimpanan dan tarikh luput.
5. SIMPAN ubat di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak.
Menyimpan dan meletakkan ubat jauh daripada kanak-kanak adalah cara penyimpanan yang selamat. Meletakkan ubat di tempat yang tinggi dan bekas yang penutupnya tidak dapat dibuka (child resistant cap) dapat mengelakkan kanak-kanak daripada termakan ubat yang boleh membahayakan mereka.
1. JANGAN simpan ubat anda di dalam kereta dalam jangkamasa yang lama.
2. JANGAN simpan ubat yang berlainan dalam bekas yang sama dan bercampur aduk.
3. JANGAN simpan ubat anda di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari, suhu tinggi dan kawasan yang lembap seperti di tepi tingkap, di atas peti sejuk dan di dalam bilik mandi.
4. JANGAN simpan ubat di dalam peti sejuk kecuali diarahkan berbuat demikian.
5. JANGAN simpan ubat yang telah tamat tarikh luput, rosak atau hilang labelnya.
Artikel Berkaitan:
Gosok Gigi Pun Mulut Masih Berbau, Ini 6 Makanan Boleh Ambil Untuk Hilangkan Mulut Berbau
Doktor Ini Kongsi Cara Betul Defrost Bahan Mentah Elak Bakteria Membiak, Punca Keracunan Makanan