Ganggu Rawatan Pesakit Kanser? Pakar Jelaskan Vaksin Covid-19 Boleh Lindungi Kadar Jangkitan!

Share

Antara penyakit paling berisiko dan ditakuti orang ramai selain jantung adalah kanser.

Sepatutnya mereka yang berisiko mempunya penyakit kronik ini perlu mendaftar diri untuk segera menerima suntikan vaksin.

Namun begitu ketidakpastian tentang tahap keselamatan vaksin terhadap pesakit menyebabkan ada antara yang sedang menjalani rawatan kanser tidak mendaftarkan diri.

Ada yang risau jika disuntik akan menganggu rawatan kanser dan pada masa sama tingkatkan risiko meongalami komplikasi kesihatan lain.

Bagaimanapun, Perunding Pakar Radioterapi dan Onkologi, Mahkota Medical Centre, Dr Chong Kwang Jeat menyangkal pandangan berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa vaksin Covid-19 selamat dan tidak ada bukti menunjukkan ia tidak selamat untuk penghidap kanser.

Dr Chong Kwang Jeat.

“Malahan, pesakit lebih selamat sekiranya mengambil vaksin itu bagi melindungi diri daripada jangkitan Covid-19. Ini kerana beberapa kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan di negara-negara seperti China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Itali baru-baru ini merumuskan kesan buruk terhadap pesakit kanser yang dijangkiti Covid-19 berbanding mereka yang tidak menghidapi penyakit.

“Berdasarkan rumusan itu, penghidap kanser lebih berisiko mengalami jangkitan Covid-19 yang teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi,” katanya ketika ditemu bual oleh Bernama baru-baru ini.

Beliau menambah, risiko kematian bagi penghidap kanser yang dijangkiti Covid-19 adalah sekitar 15 hingga 30 peratus.

Keadaan itu dikesan khususnya dalam kalangan penghidap kanser berkaitan darah yang terimunokompromi (keadaan sistem imun defektif yang mengakibatkan timbulnya gejala penyakit) atau barah paru-paru.

Selain itu, penghidap kanser aktif atau tahap akhir yang sedang menjalani rawatan serta mereka yang tergolong sebagai komorbiditi seperti penghidap diabetes, hipertensi, penyakit jantung, masalah buah pinggang dan obesiti.

Ubah suai rawatan

Bagi menangani isu pesakit kanser keberatan divaksinasi, pakar itu berkata, orang ramai perlu dididik tentang faedah besar vaksin.

“Kita juga perlu menekankan bahawa apabila seseorang itu menerima vaksin, dia bukan sahaja melindungi dirinya, tetapi juga orang di sekelilingnya serta masyarakat amnya. Tidak ada siapa yang selamat sehinggalah semua orang selamat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beritahu Dr Kwang Jeat, data yang mengaitkan risiko Covid-19 yang lebih tinggi terhadap pemandiri kanser (mereka yang sembuh daripada kanser) juga bercampur.

“Hal ini disokong oleh kajian di Britain baru-baru ini yang menunjukkan kemoterapi dalam tempoh 12 bulan terkini dikaitkan dengan jangkitan yang teruk serta kematian akibat virus itu, khususnya bagi mereka yang menerima rawatan yang menjejaskan sistem imun mereka.

Mengenai keperluan pesakit kanser meneruskan rawatan semasa penularan pandemik Covid-19 berikutan risiko lebih tinggi untuk mereka dijangkiti penyakit itu, pakar itu menjelaskan, setiap kes adalah berbeza.

Justeru, setiap daripada mereka perlu membincangkan perkara tersebut dengan pakar onkologi untuk meneliti sama ada rawatan berkenaan boleh diubah suai.

“Prinsip panduan adalah meneruskan rawatan kanser sambil mengurangkan risiko penghidap dijangkiti Covid-19 kerana pengabaian mana-mana satu aspek ini boleh menyebabkan kesan yang lebih serius,” katanya.

Terang pakar itu, doktor boleh mengubah suai rawatan kanser seperti menggantikan rawatan imunosupresif seperti kemoterapi dengan rawatan hormon bagi sesetengah kes barah payu dara atau mengurangkan kekerapan dan/atau durasi kemoterapi.

Cari lain adalah menggunakan kemoterapi oral berbanding suntikan intravena atau infusi yang memerlukan lebih banyak kunjungan hospital.

“Bagi sesetengah pesakit, doktor boleh memendekkan durasi radioterapi dan mengurangkan kekerapan rawatan susulan bagi kes yang tidak mendesak,” katanya sambil menambah para pesakit yang tidak dapat hadir di hospital, mereka boleh memilih konsultasi dalam talian dan ubat-ubatan dihantar ke rumah.

Dr Kwang Jeat sendiri melaksanakan konsultasi dalam talian selepas pendemik itu bermula tahun lepas dengan kebanyakan pesakit beliau adalah dari luar negara.

Sumber: Bernama

Artikel Berkaitan:

KKM Brunei Kesan Produk Kosmetik Dari Malaysia, Mengandungi Racun Akibatkan Risiko Kanser Kulit

Hilang 30KG Dalam Masa 24 Bulan. Wanita Amal Diet Eat Clean & Buat Aktiviti Senaman Indoor/Outdoor!

Bantu Cegah Penuaan & Atasi Masalah Jerawat, Manfaat Daun Pandan Yang Ramai Tak Tahu

Published by
Siti Zurina Mat Saman