Masih ramai yang kurang peka bab menjaga mesin basuh agar tak mudah rosak dan bersih sebelum digunakan.
Malahan, ada dalam kalangan kita kurang arif tentang cara mengendalikan peralatan ini sehinggakan ia cepat rosak meskipun baru dibeli.
Boleh stres jadinya jika mesin basuh ‘buat hal’ dan lebih ralat lagi jika harganya mahal.
Justeru adalah lebih baik untuk kita mengambil tahu mengenai penjagaan mesin basuh agar jangka hayatnya tahan lebih lama.
Seorang pengguna Facebook, Ridzuan Al-Fattani yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyelenggaraan, mekanikal dan elektrikal berkongsi tip penjagaan mesin basuh untuk panduan bersama.
Berikut adalah tip yang dikongsikan beliau:
1) Jangan bebankan mesin dengan terlalu banyak pakaian setiap kali membasuh. Ikut rekomendasi syarikat pengeluar mesin.
2) Sesekali matikan suis soket selepas menggunakan mesin basuh. Ini kerana sekiranya terlalu lama di dalam keadaan standby, computer board akan menjadi semakin panas. Seeloknya, selepas keluarkan baju yang siap dibasuh, matikan suis pada soket.
3) Dalam sebulan sekali, masukan air panas ke dalam tub mesin. On mesin dalam mode basuhan minima bagi mencuci tub dan saluran buang air. Langkah ini untuk mengelakkan masalah tersumbat yang boleh merosakkan injap buang.
4) Jika putaran mesin semakin lemah daripada sebelumnya, bermakna belting telah longgar. Boleh cuba baiki dengan menggunakan spanar untuk tegangkan belting di bahagian bawah mesin. Namun, jika tidak, boleh upah tukang sahaja dengan kos sekitar RM20.
5) Jika air masuk semakin perlahan ke dalam tub mesin, buka bahagian paip air masuk, berkemungkinan ada penapis (filter) yang tersumbat.
6) Jika air masuk tiada masalah tetapi tidak boleh mengalir keluar, bermakna injap buang air ‘stuck’. Ini berkemungkinan kerana objek tersangkut seperti duit syiling atau sebagainya.
Menurut Ridzuan, sekiranya tanda-tanda tersebut dibiarkan berlarutan tanpa dibaiki, ini boleh merosakkan computer board.
Tak mustahil melayang duit kerana terpaksa dihabiskan untuk kos baik pulih ataupun akhirnya terpaksa beli mesin basuh yang baharu.
Jadi, beringatlah sebelum mesin basuh rosak!