Berkongsi kesan selepas terkena jangkitan virus Influenza kira-kira dua bulan lalu, penyanyi Adira Suhaimi mengakui mengalami masalah pada vokal, terutama untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.
Menerusi portal Kosmo!, kesan jangkitan virus Influenza menyebabkan Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi berdepan dengan kesukaran untuk menyanyi, malah kesannya lebih teruk berbanding dijangkiti Covid-19.
“Baru-baru ini saya kena jangkitan Influenza, sekitar dua bulan lalu. Kesannya lebih teruk berbanding dijangkiti Covid-19.
“Kesannya kalau saya menyanyi, memang ‘ke laut’. Rasa tekak seperti diikat,” ujarnya lagi.
Bagi memulihkan semula kualiti vokalnya, Adira memberitahu dia melakukan aktiviti yoga untuk membantu membetulkan semula pernafasannya.
“Untuk dapatkan semula suara, saya lakukan aktiviti yoga untuk membantu pernafasan. Alhamdulillah keadaan saya kini semakin pulih,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 32 tahun itu juga tidak menolak berdepan masalah untuk menyanyi selepas melahirkan empat orang cahaya mata, selain faktor peningkatan usia.
“Selepas bersalin empat kali secara pembedahan caesarean (czer), vokal saya juga mengalami masalah. Selain itu mungkin juga disebabkan oleh faktor usia.
“Untuk membantu mendapatkan semula suara, saya menghadiri kelas vokal,” jelasnya yang telah pun mengikat sistem peranakannya selepas dikurniakan empat orang cahaya mata.
Ketika disoal sama ada dia menyesal atau tidak membuat keputusan untuk ‘tutup kilang’ Adira berkata, dikurniakan empat orang anak sudah cukup membuatkan dirinya bahagia.
Tambahan pula, dia mahu kesemua anak-anaknya membesar bersama-sama, tanpa ada jurang berbezaan usia yang besar.
“Saya memang merancang untuk hamil pada usia sebelum 30 tahun. Alhamdulillah, saya sudah pun dikurniakan cahaya mata, dua perempuan dan dua lelaki. Cukuplah setakat ini.
“Saya tidak mahu, bila anak-anak sudah besar, tiba-tiba mereka ada adik baharu. Biarlah mereka membesar bersama-sama,” jelasnya.
Pada masa sama, Adira juga berkongsi untuk mengambil keputusan tidak lagi hamil dibuat atas nasihat doktor dan juga suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.
Untuk rekod, Adira bernikah dengan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.
Hasil perkongsian hidup, Adira dan suami dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayub yang kini berusia setahun.