Kulit Sensitif Tak Boleh Main Rembat, Ikut 7 Langkah Ini Untuk Kesan Terbaik

Share

Bagi anda yang kulit sensitif, penjagaan wajah boleh dikatakan agak mencabar. Tak boleh salah produk atau terdedah kepada habuk, mesti kulit akan gatal dan naik kemerahan.

Masa ini lah, jerawat pun berpusu-pusu timbul di setiap sudut wajah. Tetapi jangan susah hati, dalam perkongsian kali ini, ketahui tip merawat kulit sensitif dengan mudah.

Cari produk yang sesuai

Perkara paling penting yang anda kena ambil tahu adalah mengenai kondisi kulit. Jangan main sebat sahaja, pastikan cari produk yang hypoallergenic atau sensitive skin-friendly. Bahan-bahan dalam penjagaan kulit sensitif ini bebas daripada bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit.

Uji dulu produk baru

Bila dah beli, jangan pakai dulu. Anda kena pastikan produk diuji dengan cara sapu sikit di belakang tangan atau bahagian kecil kulit yang tak nampak. Kalau ok, baru lah sapu di muka.

Jangan selalu guna produk berbau kuat

Produk dengan bau wangi memang menggoda hati. Tapi sangat tak digalakkan untuk anda yang berkulit sensitif. Ini kerana produk yang berbau kuat kadang kala mengandungi bahan kimia yang buat kulit terasa pedih atau kemerahan. Pilih lah produk yang lebih neutral atau tanpa wangian.

Gunakan SPF tinggi

Harus diingatkan, sunscreen adalah sangat penting setiap kali keluar rumah. Wajib guna sunscreen dengan SPF tinggi kerana kulit sensitif lagi mudah merah dan terbakar dek pancaran UV.

Pemakaian sunscreen bergantung kepada keadaan cuaca. Sekiranya kita terdedah pada cuaca yang sangat panas, disarankan untuk kerap reapply sunscreen bagi dapatkan perlindungan maksimum. Begitu juga sekiranya kita kuat berpeluh.
Perlindungan sunscreen boleh berkurangan akibat peluh jadi pada masa itu kita perlu reapply sunscreen.

Contoh mudah, kalau anda suri rumah, pakai sunscreen pada jam 8 pagi dan reapply pada jam 12 tengahari sebelum ambil anak-anak balik daripada sekolah.

Jangan gosok kuat-kuat

Elakkan memakai scrub kasar yang boleh merosakkan kulit. Pastikan kulit digosok secara perlahan dan lembut je masa membersihkan wajah. Jangan sental macam lap lantai pula!

Jaga diet

Jangan tak tahu, makanan juga menjadi faktor kepada masalah kulit sensitif. Jadi, anda kenalah elak makanan pedas, berlemak dan bersantan.

Lebihkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan segar termasuklah air kosong untuk kulit yang lebih sihat.

Pakai baju bersih dan kain lembut

Jangan pakai baju yang dah lama tak basuh, nanti kulit jadi meradang. Pastikan guna baju bersih dan kain yang lembut, elakkan daripada bahan yang kasar dan menyebabkan gatal-gatal.

Nampak macam leceh kan? Tapi itulah antara tip yang anda boleh jadikan panduan. Apa yang penting kenalah usaha dan disiplin dalam penjagaan kulit wajah dan badan.

Selamat mencuba!

Published by
Nadia