Kecantikan

Cara Pilih Bedak Asas Sesuai Dengan Warna Kulit, Barulah Wajah Tak ‘Kelabu’

Share

Sebelum bersolek, ketahui dulu cara pilih bedak asas yang sesuai dengan kulit kerana ini sangat membantu membuatkan wajah anda kelihatan natural dan tak ‘kelabu’.

Jangan pandang remeh sebab sangat penting untuk mengetahui jenis bedak asas yang sesuai bagi membolehkan sapuan tepat dilakukan pada wajah.

Ini juga dapat mengelakkan penampilan kelihatan janggal, kulit wajah nampak kelabu, terlalu gelap atau terlalu cerah.

Cara Pilih Bedak Asas Sesuai Dengan Warna Kulit

Kenali dahulu jenis kulit anda, adakah normal, kering, atau berminyak. Kemudian perhatikan warna dasar kulit wajah anda. Mengetahui jenis kulit dan warna dasar kulit wajah dengan baik akan memudahkan anda untuk memilih bedak asas yang tepat. Barulah segala cela akan tertutup sempurna.

Berikut dikongsikan LIMA tip pemilihan bedak asas mengikut jenis kulit anda.

KENAL JENIS KULIT

Tip pemilihan bedak asas yang pertama adalah anda perlu kenali jenis kulit anda. Setiap orang memiliki masalah kulit tersendiri. Ada yang kulitnya kering, berminyak, normal, dan ada juga yang jenis kombinasi seperti normal cenderung kering atau normal cenderung berminyak.

Kebiasaannya bedak asas sudah tersedia khusus untuk jenis kulit anda. Ada bedak asas yang khas untuk kulit berminyak dan ada bedak asas yang khas untuk kulit berjerawat. Ini akan lebih memudahkan anda dalam memilih bedak asas yang paling tepat dan sesuai.

PILIH TEKSTUR BEDAK ASAS


Perhatikan juga tekstur bedak asas. Tekstur bedak asas ada yang padat, cair, gel, krim dan serbuk (powder). Tekstur berbeza, fungsinya pun berbeza juga. Berikut adalah jenis dari fungsi-fungsi bedak asas tersebut:

Bedak asas padat

Sangat sesuai digunakan untuk kulit berminyak.

Bedak asas jenis cair

Sesuai untuk kulit kering kerana memberi kesan melembabkan. Walau bagaimanapun bedak asas jenis cair juga sesuai untuk kulit normal dan normal cenderung kering ataupun berminyak. Hal ini kerana formulasinya sangat ringan jika dibandingkan bedak asas tekstur lain.

Bedak asas jenis gel

Sesuai untuk kulit kering dan normal cenderung kering, kerana teksturnya agak seakan sama dengan bedak asas cair. Bedak asas jenis ini sesuai digunakan untuk kulit berjerawat.

Bedak asas jenis krim

Bentuknya sama seperti bedak asas jenis padat, hanya testurnya lebih ‘creamy’ dan lembut. Tetapi ada juga yang bentuknya sama seperti krim. Tekstur bedak asas jenis krim ini sesuai untuk segala jenis kulit, hanya kebiasaannya digunakan oleh mereka yang telah mengalami tanda-tanda penuaan. Ini kerana bedak asas jenis krim sangat bagus untuk menutupi parut hitam.

Bedak asas jenis serbuk (foundation powder)

Agak sama seakan dengan bedak serbuk, kemampuannya melitupi lebih baik daripada bedak serbuk biasa. Tekstur bedak asas jenis ini sesuai untuk mereka yang memiliki kulit jenis berminyak.

KENALI WARNA DASAR KULIT

Langkah seterusnya dengan mengetahui warna dasar kulit anda, ini akan mempengaruhi warna foundation yang paling sesuai untuk anda.

Warna dasar tidak ditentukan melalui warna kulit yang terlihat, seperti lebih terang atau lebih gelap, melainkan dikategorikan menjadi tiga dengan warna pembuluh darah sebagai pembandingnya, iaitu: cool, warm, dan neutral.

Warna dasar kulit cool untuk mereka yang pembuluh darah berwarna biru. Warna dasar kulit warm untuk mereka yang pembuluh darah berwarna hijau. Warna dasar kulit neutral untuk mereka yang pembuluh darah yang tidak terlalu berwarna biru mahupun hijau.

Biasanya, jika terdedah sinaran matahari, kulit wajah pemilik warna dasar kulit cool akan terlihat merah muda. Dan untuk pemilik warna dasar kulit warm, warna kulitnya akan terlihat bronze.

PILIH WARNA YANG SEAKAN SAMA

Bila sudah kenali warna dasar kulit, sama ada cool, neutral, atau warm, langkah tip pemilihan bedak asas seterusnya adalah dengan memilih bedak asas dengan warna yang seakan sama atau hampir sama dengan warna dasar kulit anda.

Janganlah memilih bedak asas yang warnanya satu tingkat lebih gelap atau lebih cerah dari warna dasar kulit anda, apalagi jika warnanya jauh lebih gelap atau terang. Sebab kalau anda memilih bedak asas yang warnanya jauh dengan warna dasar kulit, ini akan terlihat berbeza dengan bahagian kulit anda yang lain seperti leher dan tangan.

Kalau warna dasar kulit anda cool atau cenderung pucat, maka pilihan warna foundation yang sesuai adalah yang memiliki shade warna pink hingga merah.

Jika warna dasar kulit anda neutral, maka pilihan warna bedak asas yang sesuai adalah yang memiliki shade warna coklat natural, pilihan ini sesuai juga untuk kulit sawo matang.

Jika warna dasar kulit anda warm, maka pilihan warna bedak asas yang sesuai adalah yang memiliki shade warna kuning hingga coklat muda, pilihan ini sesuai juga untuk kulit gelap.

SAPU PADA KULIT WAJAH

Sering kali jika anda berkunjung ke kaunter mekap di pusat membeli belah ataupun di kedai kosmetik, anda akan diberikan ‘tester foundation’ pada tangan anda. Hal ini kurang berkesan, kerana warna kulit tangan berbeza dengan warna kulit wajah. Cara yang terbaik ialah cubalah bedak asas secara langsung pada kulit wajah anda.

Apa yang perlu dilakukan ialah sebelum mencuba sesuatu bedak asas ialah dengan menanggalkan/mencuci sedikit mekap di sekitar pipi atau dagu. Setelah itu, sapukan bedak asas secukupnya pada pipi atau dagu yang telah bersih daripada mekap.

Anda juga boleh bertanya kepada shop keeper atau lebih baik lagi bertanya pada beauty advisor di sana jika ada. Mereka dapat membantu anda memilih warna bedak asas yang paling tepat dan sesuai dengan warna dasar kulit anda.

Nota: Gunakan penyamar noda (concealer) terlebih dulu terutama untuk kesan parut, kesan jerawat atau bintik hitam, selepas itu barulah sapu bedak asas supaya seimbang. Sapuan bedak asas yang betul ialah dengan cara ke atas atau menarik ke arah luar kiri dan kanan dan bukan menarik ke bawah bagi mengekalkan awet muda.

 

Published by
Nadia