Berdepan dengan dugaan cukup besar dalam hidupnya menjadikan diri wanita ini cukup tabah.
Biarpun sedang diuji menderita kanser usus tahap akhir, namun jiwa Noor Hafizahani Mohamad Yusof cukup kuat dan kental.
Menerima dugaan demi dugaan yang dilalui dengan tenang sememtelah dia juga kini sedang menjalani rawatan paliatif untuk mengurangkan kesakitan dialami.
Dalam satu temubual oleh Sinar Plus, dia yang juga seorang suri rumah memberitahu kisahnya bermula selepas dijangkiti kuman pada bahagian betis Ogos 2018.
“Disebabkan semakin membengkak, saya terus mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Perlis.
“Pada masa itu, doktor pakar minta saya jalani ujian pap smear memandangkan kitaran haid saya tidak teratur. Saya juga sering sakit kepala, tumit kaki sentiasa berdenyut dan rasa nyeri pada bahagian abdomen,” katanya yang menetap di Felda Chuping, Kangar, Perlis.
Namun begitu, tatkala menerima satu panggilan dari klinik Pakar Obstetrik dan Ginekologi membuatkan kehidupan wanita ini berubah 360 darjah.
Masakan tidak, ketika itu pakar mengesahkan dirinya mengalami kanser pada dinding rahim tahap satu.
“Sebaik mendengar laporan kesihatan, saya terkedu dan tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Ketika doktor menyarankan untuk membuang rahim, saya merasakan dunia menjadi gelap gelita.
“Bagaimana saya tak sedih, bayangkan masa itu saya baru saja mendirikan rumah tangga, usia perkahwinan tak sampai setahun lagi. Memikirkan impian untuk memiliki zuriat punah, membuatkan jiwa saya kacau-bilau,” katanya penuh sebak.
Namun, atas nasihat doktor dan pujukan suami, suri hati kepada Mohd Shahriman Anuar, 41, itu akur dengan prosedur yang disarankan.
“Dalam tempoh dua tahun, saya sudah jalani empat prosedur rawatan kemoterapi dan 25 kali kitaran radioterapi yang memeritkan. Selain itu, saya juga sudah empat kali dibedah. Akhirnya pada awal Januari lalu, saya disahkan bebas kanser,” tambahnya yang mesra dipanggil Hani.
Namun begitu, kegembiraan itu hanya sementara apabila selepas dua minggu, muncul simptom baharu seperti kurang selera makan, sering muntah dan perut membuncit pula.
Keadaan tersebut membuatkan anak kelima daripada 10 beradik itu tidak tenang. Apatah lagi badannya semakin lemah dan mudah pitam. Adakalanya diserang cirit-birit dan sakit perut yang menyakitkan.
“Sekali lagi saya dapatkan rawatan di hospital. Selepas pemeriksaan endoskopi pada saluran usus, doktor mengesyaki saya ada kanser usus pula. Sakit yang datang berulang kali membuatkan saya tidak bermaya sehingga terpaksa bergantung kepada tongkat empat kaki.
“Kemudian ujian imbasan Computed Tomography ketiga pula dilakukan. Kali ini, pakar maklumkan sel kanser datang semula, namun kali ini dikesan pada rongga tisu di antara perut dan usus,” katanya sambil memberitahu, tahap barahnya sudah berada dalam kategori empat.
Perkhabaran itu nyata memberi tamparan pada Hani. Lebih mendukacitakan apabila doktor berterus-terang bahawa peluang untuknya sembuh tipis. Tambahan pula, tiada perubatan khusus yang dapat merawat kanser yang dideritainya.
“Saya berkurung lebih tiga minggu selepas mendengar itu semua. Saya menangis hampir setiap hari dan terbaring sahaja. Namun, secara tiba-tiba pada satu hari, hati saya bagai dijentik.
“Secara automatik, fikiran saya mengenangkan pengorbanan suami yang banyak bersusah payah sehingga sanggup berhutang sepanjang rawatan kanser saya. Hal itu membuatkan saya belajar untuk bersyukur,” katanya yang bangkit dengan membantu suaminya yang juga kurang upaya penglihatan menjalankan bisnes menjual nasi lemak dan kuih-muih.
“Jika ditanya, saya sekarang hanya bergantung dengan ubat tahan sakit, namun saya tidak putus-putus berdoa kepada YANG MAHA ESA supaya diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.
“Kadang-kadang rasa down juga kerana sakit ini bukan biasa-biasa. Namun, saya sentiasa berdoa dan mengharapkan keajaiban untuk kembali sihat seperti dahulu,” jelasnya dengan tenang.
Dia juga menerima ujian menimpanya dengan reda dan selagi berpeluang bernafas di muka bumi, akan dicekalkan hati kerana mungkin terdapat ganjaran bermakna yang menanti di alam abadi.
Artikel Berkaitan:
Gara-Gara PKP, 4 Bulan Berjaya Lenyapkan 25 KG. Rahsianya Skip Gula & Makanan Berminyak!
Ramai Kata Sakit, Tapi Tak. Wanita Kongsi Buat Brachytherapy, Rawatan Terakhir Untuk Kanser Servik!
Malu Buat Pap Smear, Tiba-Tiba Disahkan Kanser Servik. Wanita Ini Positif & Berjuang Buat Rawatan!