Hilang Penglihatan Sebab Kanser Mata. Wanita OKU Tular Di TikTok Kencang Jual Bisnes Kosmetik!

Share

Siapa kata kecacatan jadi penghalang untuk berjaya. Tanpa sebarang usaha dan kerja kuat, pasti yang diimpikan tidak akan tercapai.

Diuji Tuhan apabila dia yang dilahirkan  normal, namun 10 bulan selepas itu diserang kanser mata hingga hilang penglihatan, buat Khairul Anisa Mat Samsuddin, 32 tahun, tidak pernah berputus asa untuk berjaya seperti insan normal lain.

Kekurangan dan kelemahan diri tidak pernah menjadi batu penghalang buat wanita ini untuk melakar kejayaan dan mencari rezeki halal seperti insan sempurna lain.

Mesra disapa Anisa, ibu kepada dua cahaya mata ini terarah ke dunia niaga dan aktif menjadi pengedar pelbagai jenama produk daripada rangkaian makanan kesihatan hinggalah regim kecantikan.

Terbaru, wanita berasal dari Klang, Selangor namun menyewa di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur ini tular dan mencuri perhatian di aplikasi TikTok selepas berjinak jinak sebagai pengedar produk jenama Nurraysa.

Mahu Buktikan Boleh Berjaya

“Saya tak mahu berpeluk tubuh mengharapkan simpati dan belas kasihan. Saya nak buktikan biarpun tak nampak, insya-Allah dengan usaha berterusan pasti ada kejayaan menyusul.

“Namun lumrah di sebalik kekurangan diri itu saya juga terus diadili dengan pandangan skeptikal. Ada yang meragui kebolehan saya untuk menjual itu ini. Pernah satu tahap rasa nak menangis dan tinggalkan terus dunia berniaga.

“Tapi saya tak akan dapat apa pun jika terus menyerah dan mengeluh. Pilihan yang ada ialah untuk jadi kuat dan menepis ego dan rasa tak ‘best’. Saya fikir, jika tak cari rezeki, bagaimana nak meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang tidak minta lahir sebegini.

“Saya sudahlah lahir serba kekurangan, kemudian ditekan pula dengan kata sinis. Tentunya, lagi pedih rasa hati ini. Tapi saya tak minta lahir sebegini.

“Pernah ketika saya menjual produk makanan berasaskan coklat, ada yang komen kasar cakap saya ini sudahlah tak nampak, OKU (orang kurang upaya)… bersihkah dan terjaga ke kualiti makanan itu.

“Yang pernah meragui tahap halal makanan itu pun ada. Sedangkan terang terang makanan itu berstatus halal,” katanya yang berkahwin dengan cinta hatinya, Muhamad Mazwan Shakir dan wanita itu terus diuji.

Pandemik Beri Ujian Getir

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata masing masing berusia 9 dan 14 tahun.

“Keputusan berkahwin saya anggap jodoh yang sudah tertulis. Seperti perkahwinan orang lain, fasa turun naik itu ada. Cabaran utama saya dan suami ketika itu ialah aspek kewangan. Nak besarkan anak lagi.

“Dari Selangor, kami selepas berkahwin berpindah ke Port Dickson. Suami ketika itu bekerja sebagai tukang urut dengan gaji RM350. Kami seterusnya berpindah ke KL.

“Masa itu saya dan suami mencari rezeki dengan cara persembahan jalanan atau ‘busking’. Ditakdirkan pandemik COVID-19 menyerang dunia. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, kerja ‘busking’ tak boleh diteruskan,” katanya.

Ketika hidupnya hampir gelap, timbul cahaya di hujung terowong, penyertaannya sebagai pengedar Nurraysa tanpa diduga membuka pintu rezeki.

“Saya sebenarnya selalu melihat iklan produk Nurraysa mengajak ramai menjadi pengedar. Tetapi ia berlalu begitu saja. Saya pun tak pernah didedahkan dengan jenama itu.

“Dipendekkan cerita, teman saya mengajak menjadi pengedar jenama itu. Produk pertama yang saya cuba ialah Glowing DD Moist Cake. Saya jatuh hati dengan foundation muka itu dan terus jadi pilihan.

“Saya mencuba nasib berjinak jinak dengan aplikasi TikTok untuk menjual barangan jenama itu. Selain foundation, saya juga jual gincu Magic Lipstick. Tak sangka pula, saya jadi perhatian di aplikasi itu hingga ramai yang nak membeli selepas menonton video pendek di Tiktok. Tak menang tangan jadinya mencatit tempahan dan membuat pesanan barang,” katanya.

Tular Di TikToK

Tanpa berselindung, Anisa mengakui rasa malu apabila namanya tular di TikTok.

“Rasa macam artislah ibaratnya. Tapi saya tetap Anisa yang dulu. Yang sentiasa nak buktikan diri ini juga boleh jadi sempurna macam orang normal lain.

“Dalam masa dua minggu, saya berjaya meraih jualan RM1700. Ia satu pengalaman menyeronokkan. Menjadi pengedar Nurraysa juga mendekatkan saya dengan insan baik di sekeliling.

“Saya sendiri mempunyai ketua dan pengasas yang mesra dengan pengedarnya. Terima kasih Nurraysa,” katanya lagi.

Nurraysa Global Sdn Bhd ditubuhkan sejak 2014 diterajui Nur Aini Zolkepeli. Bermula dengan jualan sabun kolagen, kini jenama itu berkembang dengan penghasilan lebih 50 produk kosmetik, minuman, makanan tambahan, makanan dan pakaian.

Memasuki tahun baru 2022, founder Nurraysa komited dan berazam untuk bantu 400,000 orang untuk berjaya bebas dari bebanan kewangan melalui kempen NAK
BERJAYA 2022.

Setakat ini, sudah ada 32 ‘billboard’ jenama itu menemani pengguna jalan raya di sepanjang lebuh raya dari Utara ke Selatan dengan ‘tagline’ Kosmetik Mesra Wuduk.

Artikel Berkaitan:

Tokey Mekap Juara Pencarian Nona Superwoman. Rezeki Berganda Bawa Pulang RM50 Ribu!

Ramai Wanita Alami Obesiti. KKM Jelaskan Makan Lewat Malam Punca Berat Badan Berlebihan!

“Rasa Mimpi Bila Doktor Kata Dah Hilang,” – Elyana Kongsi Rasa Teruja Bebas Kanser Lepas 10 Tahun!

Published by
Siti Zurina Mat Saman