Hasil Kerja Cemerlang, Kumpulan Media Karangkraf Terima Anugerah Hawana

Share

Jika tahun lalu Sinar Harian melalui hasil laporan cemerlang telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia – MPI Petronas 2020.

Dan tahun ini sekali lagi rezeki berpihak kepada Kumpulan Media Karangkraf apabila dipilih menjadi sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada majlis kemuncak sambutan Hawana di sini semalam.

Berdiri megah sebagai syarikat penerbitan sejak 40 tahun lalu menyaksikan Kumpulan Media Karangkraf dipilih sekaligus membawa pulang trofi, sijil sera wang tunai RM10,000 pada kemuncak sambutan Hawana di Banda Hilir, Melaka.

Penyampaian anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Dalam ucapan selepas menerima pengiktirafan ini, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, anugerah itu merupakan penghargaan bagaimana wartawan, akhbar dan organisasi media tersebut boleh memberi impak kepada masyarakat.

Menurutnya, ini termasuk beberapa siri program dan kempen yang diperkenalkan serta dilaksanakan seperti Rumah Ngaji, kempen World #QuranHour dan #RasuahBusters.

Katanya, pengiktirafan itu juga menunjukkan bahawa apa yang diusahakan selama ini bukan setakat menyampaikan berita, namun dapat menukarkan budaya dan juga mengembalikan integriti yang telah hilang kepada masyarakat.

“Di mana nilai moral dan karakter bangsa yang telah runtuh sebelum ini dapat dipulihkan melalui usaha-usaha yang telah dibuat oleh wartawan.

“Syukur Alhamdulillah, Karangkraf diiktiraf pada hari ini dan di Karangkraf kita berpadu tenaga,” katanya.

Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri.

Tambahnya, kejayaan sedemikian juga tidak akan dicapai tanpa sokongan media-media lain untuk memulakan kempen-kempen tersebut.

Hari Wartawan Nasional merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wartawan yang merupakan “insan di sebalik tabir” melaporkan peristiwa penting berlaku di seluruh dunia.

Selepas dua tahun tidak diadakan kerana Covid-19, Hawana 2022 diadakan sekaligus mengiktiraf Kumpulan Media Karangkraf sebagai media terbaik.

Antara kriteria untuk dipilih sebagai penerima anugerah itu adalah berdaftar dan menunjukkan hasil kerja cemerlang, kupasan isu yang mendalam, berkualiti serta berimpak pada tahun yang dinilai.

Selain berdaftar, ia juga mengamalkan tatakelola serta nilai kewartawanan yang baik, selain menyumbang kepada pembangunan industri kewartawanan dan media di negara ini, manakala hasil karya terlibat harus menyumbang kepada pembangunan insan, keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Mengimbau penubuhan Kumpulan Media Karangkraf, gergasi media ini membuat kemunculan pertama pada 1978 dengan Mingguan Kanak-kanak dan pada 1990, organisasi itu kemudiannya melebarkan skop perniagaan dengan penerbitan beberapa genre buku menerusi Alaf 21 dan Karya Bestari.

Pada 2006, kumpulan itu melahirkan akhbar kompak wilayah, Sinar Harian yang kemudiannya mencatat sejarah sebagai akhbar paling cepat berkembang di Malaysia.
Kini kumpulan media itu berdiri gah dalam industri dengan 13 keluaran majalah, penerbitan novel, percetakan, saluran media Internet dan pemberitaan akhbar.
Hargai peranan wartawan

Pada 2015, kumpulan itu memperkenalkan program Malaysia Ngaji disusuli Kempen World #QuranHour pada 2016 serta beberapa siri rantaian seperti Malaysia #QuranHour, Merdeka #QuranHour dan World #QuranConvention yang secara kumulatifnya merekodkan 2.475 bilion penyertaan.

Pada Februari 2021, inisiatif agresif membanteras rasuah diperkenalkan kumpulan itu menerusi #RasuahBusters membabitkan gabungan media, individu, pertubuhan serta syarikat swasta dengan kolaborasinya kini melibatkan 550 rakan strategik.

Anugerah Hawana 2022 bertujuan mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.

Kali pertama Hawana diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – Sinar Harian / Bernama

Artikel Lain: Rahsia Jadi Cantik Lepas Bangun Tidur, Amalkan Rutin Ini Setiap Hari Sebelum Lelap Mata

Published by
Siti Zurina Mat Saman