Jarang orang suka pakai rona sama dari tudung sampai kasut tetapi inilah yang menarik untuk dikupas kali ini.
Sungguh, pemilihan gaya pemakaian akan buat seseorang nampak muda dari usia sebenar dan jika tersilap memilih penampilan bersesuaian, anda akan nampak kurang berseri dan boleh menjejaskan mood harian.
Bagi usahawan Muslimah kelahiran satu desa di Riau, Indonesia iaitu Linda Anggreaningsih, penampilan hariannya cukup dititikberatkan.
Tidak hairanlah penampilan wanita yang lebih mesra disapa sebagai Linda itu perlu sentiasa mencuri perhatian, kerana ini melambangkan identiti dan juga karakter peribadinya.
Ramai pengguna media sosial yang mengikuti akaun Instagram Linda sering melihat kelibat wanita berhijab ini yang menggayakan pakaian daripada rona sama dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
Ujar Linda, ini merupakan signature look yang dibawakannya, memandangkan dia secara peribadi amat sukakan gaya satu tona.
Ungkap wanita berusia 33 tahun itu, dia mengakui dirinya berasa lebih yakin tatkala menggayakan fesyen sedemikian.
“Lazimnya, kebanyakan wanita yang berhijab misalnya, akan menggayakan baju, seluar dan tudung dalam warna yang sedikit berbeza, namun masih sepadan.
“Begitu pun, bagi saya, saya lebih memilih memakai rona yang sama dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki,” kongsinya.
Ujar Linda juga, rona sama yang digayakan dari hujung rambut sehingga ke hujung kakinya berfungsi menaikkan ‘mood’ atau perasaannya pada hari itu.
“Bagi saya, mood ini cukup penting sebelum memulakan hari kita.
“Apabila kita nampak cantik, mood kita juga bertambah baik dan secara automatik, ia menzahirkan perasaan dan juga minda yang positif,” kongsinya.
Antara rona-rona pilihan untuk digayakan secara ‘head to toe’ termasuk merah, merah bata, merah jambu, biru dan juga kuning.
Bagi kebanyakan orang juga, warna merah jarang menjadi warna pilihan buat gaya head to toe ini, namun berbeza bagi Linda apabila dia cukup berani menggayakan tudung, baju, skirt dan tas tangan merah buat gaya hariannya.
“Ada yang menganggap warna merah akan nampak agak keterlaluan atau berlebih-lebihan jika digayakan bersama aksesori atau tudung yang juga daripada rona merah.
“Namun, bagi saya, ini menjadikan saya lebih yakin kerana warna-warna seperti merah dan kuning adalah merupakan my happy colours atau warna kegembiraan buat saya.
“Bahkan, apabila saya menggayakan warna merah, ramai akan memuji dan mengatakan bahawa warna tersebut nampak sesuai dengan saya,” kata usahawan jenama Buttonscarves itu.
Jadi selepas ini mungkin anda boleh tukar gaya penampilan dengan memakai satu rona untuk tampak lebih muda dan berseri. Jom, ubah gaya pemakaian!