Berapa kerap anda menukar gincu, bedak padat, pemerah pipi dan krim pelembap? Sesetengah pengguna menunggu hingga produk habis sebelum membuat keputusan membeli yang baru.
Namun, bagi yang jarang bersolek atau tidak mempraktikkan rejim kecantikan rutin, produk dibeli boleh digunakan hingga bertahun.
Jangan terkejut, sekiranya anda dinasihatkan mengganti produk lebih cepat dari tarikh luputnya.
Pakar kecantikan dari Hairtrade.com., Joanne Dodds mendedahkan, tempoh masa yang sesuai dan tepat untuk anda membeli produk baharu kosmetik kegemaran.
Joanne mengesyorkan, span solekan diganti setiap bulan manakala sesetengah minyak wangi boleh bertahan sehingga sepuluh tahun jika dijaga dengan betul.
Katanya, alat solek berkualiti selalunya menawarkan harga yang tinggi, sekali gus membuatkan pembeli menggunakannya hingga ke tarikh luput.
Namun, pakar kecantikan itu memandangnya sebagai tindakan mengundang padah, berikutan membawa pelbagai masalah kesihatan akibat jangkitan bakteria, cela wajah, radang kulit dan sebagainya.
Ia tetap berlaku, meskipun anda tidak pernah culas membersihkan berus mekap dan span.
Maskara pula katanya, perlu diganti genap empat hingga enam bulan selepas menggunakannya.
Tempoh Jangka Hayat
Joanne menegaskan, pengguna perlu peka tempoh hayat sesuatu produk selain jangan sayang membuangnya menjelang tarikh luput produk itu.
Beberapa produk lain turut dikemukakan Joanne untuk dipertimbangkan dibuang meliputi;
#span solek: sebulan
“Span bercampur kegunaan sepatutnya diganti selepas sebulan digunakan dan dibersih dengan pencuci muka selepas setiap penggunaan,” katanya Joanne.
Katanya, sebab lain span perlu ditukar termasuk sudah comot, koyak dan berderai tanpa sebab selain warnanya berubah pudar.
#maskara: empat hingga lima bulan
“Disebabkan berhubung terus dengan mata, had penggunaan maskara sepatutnya tidak melebihi tempoh tiga bulan,” Joanne memberi amaran.
Katanya, larangan berkenaan bertujuan mencegah bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan kerengsaan pada mata.
“Sebab itu, kebanyakan label di maskara menetapkan tempoh penggunaannya hanya sekitar empat hingga enam bulan sahaja,” katanya.
Tabiat membuka tutup berus maskara, mengepam masuk udara ke dalam tiub yang bukan saja menyebabkan maskara kering bahkan pencemaran bakteria.
Justeru, sewaktu memasukkan kembali berus maskara ke tempatnya, pastikan ditutup ketat bagi mengelakkan gelembung udara terperangkap di dalamnya.
“Sebaiknya, buang segera maskara yang kering dan mengalami perubahan warna, tekstur dan bau,” katanya.
#krim pemerah pipi dan pembayang mata: enam bulan
Produk krim boleh bertahan cuma sekitar enam bulan kerana kandungan pelembap di dalamnya mampu membiakkan pertumbuhan bakteria.
“Amati dan kenal pasti sekiranya ada kulat, berbau dan warna kekuningan. Segera buang sekiranya krim itu nampak pelik,” kata Joanne.
#penggaris mata: enam bulan hingga setahun
Tempoh hayat bagi penggaris mata berbentuk cecair adalah enam bulan namun yang lebih membimbangkan, produk ini dikatakan mudah terdedah kepada bakteria.
Pensil celak boleh bertahan sehingga dua tahun dengan syarat, ia ditutup sempurna selepas digunakan. Mereka mengalami jangkitan mata, disyorkan tidak menggunakan pensil mata melebihi tempoh jangka hayatnya kerana dikhuatiri lebih menambah risiko jangkitan tidak diingini.
#bedak asas: setahun
Bedak asas berbentuk krim dan cecair boleh bertahan sekitar enam bulan hingga setahun berdasarkan kandungan air, minyak dan ejen penghidratan yang membentuknya sekali gus memendekkan jangka hayat namun menambah kemunculan bakteria.
Bedak dalam bentuk serbuk kata Joanne, mampu bertahan sehingga dua tahun kerana lebih padu sekali gus menyukarkan bakteria membiak.
“Penting untuk pengguna ketahui bahan-bahan dalam bedak asas menggalakkan pembiakan kuman. Justeru, amalkan membaca label yang ditampal di belakang bedak selain buat catatan tarikh luput produk itu. Sebaiknya, cuci secara kerap perkakasan menyolek selain amalkan membersihkan tangan sebelum menyentuh sebarang kosmetik,” beritahu Joanne.
#pengilat bibir: setahun
Sebagaimana maskara, kerap membuka dan tutup penutupnya membawa udara masuk ke dalam tiub sekali gus menjejaskan kualitinya.
Beli baharu sekiranya pengilat bibir anda menunjukkan perubahan warna, tekstur mahupun ketebalannya.
#pengilat kuku: setahun
Pengilat kuku antara produk tidak tahan lama. Sebaik penutupnya dibuka, ia akan berwap menyebabkan cecair pengilat itu menebal malah merekah.
Bagi mengelakkan cepat rosak, pastikan penutupnya sentiasa ditutup ketat setiap kali selepas digunakan.
#penyamar noda (concealer): 12 hingga 18 bulan
“Buang segera penyamar noda yang dilihat sudah mengering, berubah tekstur, berketul, pecah serta merekah selain mengeluarkan bau tidak enak,” nasihat Joanne.
Penyamar noda yang sudah rosak katanya, bukan saja menyebabkan wajah kelihatan bercapuk bahkan menghalang anda memperoleh solekan sempurna.
#bedak/ pemerah pipi/ brozer/ pembayang mata/ : 18 bulan hingga dua tahun
Berbanding pemerah pipi dan bronzer mempunyai tempoh hayat yang lama, bedak masih kelihatan elok meskipun sudah melampaui tarikh luput.
Bagaimanapun, bedak berkenaan menjadi keras dan tidak membantu mendapatkan solekan cantik selepas tamat tempoh. Begitupun, anda boleh mengurangkan pencemaran bakteria dengan kerap membersihkannya selain tidak membiarkan ia terdedah kepada udara,
Namun, jangan simpan bedak yang penutupnya rosak, berkulat dan mengeluarkan bau pelik.
#gincu: 18 bulan hingga dua tahun
Gincu yang dijaga dengan baik mampu bertahan hingga dua tahun. Bagi memastikannya kekal elok, jangan sesekali meninggalkan gincu tanpa penutup dan sesekali, lap bahagian lapisan permukaan atas gincu yang berpotensi membiakkan bakteria.
#minyak wangi: lapan hingga 10 tahun
Minyak wangi yang disimpan dengan baik kekal elok meskipun sudah melebihi tarikh luput. Syaratnya, elak menyimpannya di bilik yang panas, di bawah pencahayaan terik selain memastikan ia sentiasa ditutup selepas digunakan.
Tempat terbaik menyimpan minyak wangi adalah di dalam almari namun jangan alpa memerhatikan perubahan warnanya.
Info: Jangka hayat kosmetik selepas dibuka:
- Lihat ikon M atau Y yang terdapat di bahagian belakang botol atau bekas.
- M mewakili Bulan dan Y bermaksud tahun.
- Jika pada ikon berkenaan mencatatkan 12M bermakna tempoh hayat produk adalah 12 bulan bermula dari tarikh ia dibuka dan digunakan.
Artikel Berkaitan:
Faktor Keturunan & Kotor Antara Punca Jerawat. Guna 5 Bahan Dapur Atasi Masalah Ini!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI