Kesihatan

Zara Zya Hidap 2 Sindrom, Patutlah Sakit Pada Bahagian Ini Pun

Share

Doakan yang baik-baik buat pelakon wanita, Zara Zya, sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan sejak Isnin lalu setelah didiagnosis menghidap dua sindrom serius, iaitu Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome.

Zara Zya Hidap 2 Sindrom

Zara memaklumkan pada mulanya dia hanya bercadang menjalani pemeriksaan untuk masalah artritis. Namun, setelah konsultasi dengan doktor, dia dinasihatkan untuk ditahan di hospital bagi pemeriksaan lanjut.

“Saya sekadar nak buat pemeriksaan untuk masalah artritis, tapi doktor sarankan saya ditahan dan dirawat untuk pemeriksaan lanjut. Selepas dilakukan ujian pengimejan resonans magnet (MRI), barulah saya dapat tahu ada masalah lain pada bahagian leher,”

kata Zara.

Doktor kemudiannya mengesan bahawa Zara menghidap Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome. Poliartritis yang dihidapi Zara telah mengakibatkan kedua-dua sindrom ini berlaku.

“Dari situ, saya turut dimaklumkan poliartritis yang dihidapi boleh mengakibatkan dua sindrom ini berlaku,” tambahnya.

Pelakon drama “Risik Pada Hati” itu menyatakan bahawa keadaannya stabil walaupun dia mengalami sedikit kesakitan pada bahagian leher.

“Setakat ini, saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Cuma, ada rasa sakit pada bahagian tertentu yang berkaitan dengan sendi terutamanya leher,” ujarnya.

Sehingga kini, Zara masih belum dimaklumkan mengenai tempoh masa yang perlu dihabiskan di hospital. Dia perlu menjalani beberapa sesi fisioterapi sebagai sebahagian daripada rawatannya.

“Setakat ini, doktor belum maklumkan sampai bila saya perlu dirawat di hospital memandangkan saya perlu melalui beberapa sesi fisioterapi. Cuma doktor berikan pelepasan untuk saya keluar sekejap memandangkan ada urusan kerja membabitkan pelanggan, semalam. Tapi, bukanlah kerja berat. Selepas selesai, saya kembali semula ke hospital,” jelas Zara.

Cervical Facet Syndrome & Lumbar Facet Syndrome

Cervical Facet Syndrome adalah salah satu punca paling biasa bagi kesakitan leher. Sendi faset, yang merupakan sendi kecil pada bahagian belakang tulang belakang, mudah terdedah kepada kecederaan, keradangan, dan degenerasi.

Lumbar Facet Syndrome pula merujuk kepada keadaan klinikal yang terdiri daripada pelbagai gejala, termasuk kesakitan belakang unilateral atau bilateral yang boleh memberi kesan sakit ke salah satu atau kedua-dua punggung, sisi pangkal paha, hingga bahagian atas lutut.

Berita mengenai keadaan kesihatan Zara telah mencetuskan banyak reaksi dan sokongan dari peminat serta rakan-rakan artis. Ramai mendoakan agar Zara cepat sembuh dan dapat kembali aktif dalam dunia lakonan.

Buat masa ini Zara terus mendapat rawatan dan perhatian terbaik dari pihak perubatan.

 

IKLAN