Trend Makanan ‘Colorful’ Nampak Sedap & Menarik. Tapi Kena Tahu Bahaya Pewarna Makanan!

Share

Perasan atau tidak trend orang yang menjual makanan yang berwarna-warni walaupun untuk kuih tradisional seperti roti jala.

Pastinya kita rasa teruja dan seronok untuk menikmati hidangan ini kerana warnanya yang cantik dan menarik.

Namun sebagai pengguna kita sebenarnya perlu ambil tahu beberapa perkara yang perlu difahami mengenai pewarna makanan yang terkandung di dalamnya dan bahaya untuk keluarga terutama anak-anak.

1. Apakah Pewarna Makanan?

Menurut Portal MyHealth, pewarna makanan tergolong dalam salah satu jenis bahan aditif dalam makanan yang selamat dimakan dan ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.

Penggunaan pewarna atau bahan aditif ke dalam makanan sebenarnya telah dilakukan sejak beratus tahun dahulu untuk membantu menyedapkan, mengawet, dan mengekalkan kualiti makanan.

2. Tujuan Menambah Pewarna Tiruan Dalam Makanan

Antara tujuan utama menambah pewarna makanan ini adalah untuk meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi).

Bayangkan kalau tak ada langsung pewarna makanan, pelbagai makanan yang dijual di pasaran akan kelihatan sama dan kurang menarik. Maka, bahan pewarna digunakan untuk menjadikan makanan lebih menarik dan merangsang selera makan.

 

3. Pewarna Tiruan Dalam Makanan Anak-Anak

Sesetengah makanan memang kita nampak pewarnanya dari luaran. Namun, ada keadaan tertentu di mana kita tak perasan kewujudan pewarna ini.

Selain manisan dan gula-gula, kebanyakan kanak-kanak juga terdedah kepada pewarna makanan ini melalui minuman yang kita sangka sihat seperti jus buah-buahan, susu berperisa dan minuman yogurt / probiotik.

Kajian juga mendapati penggunaan bahan pewarna semakin meningkat dalam pembuatan bijirin sarapan yang biasa kita lihat di pasaran.

4. Cara Kesan Pewarna Tiruan Dalam Makanan

Untuk mengesan pewarna dalam makanan, ibu ayah perlu membaca label. Di bawah undang-undang sedia ada, apa-apa makanan yang telah ditambah dengan aditif makanan mesti mempunyai penyataan “mengandungi (jenis aditif makanan yang berkenaan) yang dibenarkan di senarai ramuan. Contohnya “mengandungi pewarna yang dibenarkan“.

Kadang kala label juga memberikan maklumat tambahan berkaitan jenis aditif makanan secara spesifik yang telah ditambah ke dalam makanan. Contohnya “mengandungi pewarna yang dibenarkan (Ponceau 4R)”.

Ada juga label yang mengandungi maklumat tambahan di mana nombor rujukan aditif yang digunakan di peringkat antarabangsa dinyatakan pada label. Contohnya “mengandungi pengemulsi (sodium pyrofosfat(E450) sebagai kondisioner makanan yang dibenarkan”.

5. Bagaimana Pewarna / Aditif Makanan Dikawal Di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab mengawal dan meluluskan penggunaan aditif dalam makanan. Pewarna dan bahan aditif yang dijual di pasaran hanya dibenarkan dalam makanan tertentu sahaja dan kadar maksimum adalah ditetapkan seperti yang disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

KKM akan meluluskan aditif makanan untuk kegunaan dalam makanan apabila terdapat bukti kukuh bahawa aditif makanan tersebut tidak mendatangkan kesan bahaya kepada kesihatan manusia hasil dari penggunaannya.

Jadi sebagai pengguna, kita pula perlu peka dan membaca label dengan teliti sebelum membeli sebarang produk di pasaran.

6. Bahaya Pada Kanak-Kanak

Menurut beberapa kajian, kesan pengambilan pewarna makanan yang berlebihan dikaitkan dengan hiperaktif atau ADHD di kalangan kanak-kanak.

Selain itu, terdapat beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa pewarna tiruan ini boleh menyebabkan alahan serta punca masalah tidur di kalangan kanak-kanak.

Walaupun pewarna makanan adalah selamat dimakan, namun secara umumnya kita harus melihat dari perspektif diet yang seimbang.

Ini kerana kebanyakan pewarna makanan serta bahan aditif terdapat dalam makanan yang diproses dan snek serta manisan yang kurang bernutrisi. Contohnya kek, aising, biskut, gula-gula, minuman berkarbonat, aiskrim dan coklat.

7. Alternatif Pewarna Semulajadi Yang Boleh Digunakan

Bagi ibu bapa yang suka menyediakan makanan sendiri, ada pelbagai bahan alternatif yang semulajadi yang boleh kita gantikan untuk membuat pewarna makanan. Antaranya:

  • Warna merah – ubi bit, jus delima
  • Warna kuning – rempah saffron, kunyit
  • Warna biru / ungu – bunga telang
  • Warna oren – lobak merah

Sumber: Portal MyHealth & Sirap Limau

Artikel Berkaitan:

Dr Izzar Ingatkan Buat Penilaian Kendiri Covid-19, Ingat TRIIS. Sebelum Rentas Negeri Balik Kampung!

Lenyap 30KG Dalam 15 Bulan, Rahsianya Ambik Superfood & Rajin Workout. Wanita Enjoy ‘Journey Diet’!

Digalak Ambil 6 Makanan & Minuman Ini. Mampu Kembalikan Semula Rasa ‘Down’ & Tak Bersemangat!

Published by
Siti Zurina Mat Saman