Tiga Beradik Terkena Renjatan Elektrik, Ini Tip Keselamatan Musim Banjir

Share

Banjir kali ini, kita dikejutkan dengan pemergian tiga beradik terkena renjatan elektrik diluar rumah mereka di Kampung Bendang Surau, Morak, Kelantan.

Menerusi laporan daripada Sinar Harian, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 27 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 11.45 pagi tadi apabila salah seorang daripada mereka dipercayai pegang tiang rumah sebelum dua lagi terkena renjatan elektrik.

Jirannya, Che Zahiyah sempat bertanya ke mana mereka ingin dan salah seorang daripada mangsa sempat menjawab yang mereka nak tengok air di dalam bilik tali air depan rumah.

Nak dijadikan cerita, Nor Syazwani berpegang pada tiang rumah saya dan tiba-tiba dia terus terjatuh sebelum badannya menjadi kejang dan tersentak sebelum Fatiah yang berada di belakang cuba membantu namun turut mengalami keadaan yang sama.

Sakinah yang berjalan di hadapan mereka berpatah untuk membantu dan turut terjatuh serta kejang seperti dua beradik itu.

“Saya terus menjerit memanggil ahli keluarga lain dan suami segera mengambil kain sebelum cuba menyentuh salah seorang dari mereka dan turut terasa aliran elektrik menyebabkan dia berundur.”

 

Ini salah satu foto yang dikongsikan menunjukkan ayah mangsa kelihatan sedang berdoa berhampiran anak-anaknya yang sudah tidak bernyawa di depan rumah.

Takziah kami ucapkan buat keluarga mangsa dan semoga mereka tabah atas kehilangan tiga insan tersayang dengan sekelip mata.

Untuk anda yang berada di kawasan banjir, sila berhati-hati sebab semasa banjir ada banyak pepasangan elektrik yang rosak atau pun ditenggelami air banjir yang boleh mendatangkan bahaya renjatan elektrik kepada orang awam.

Untuk langkah berja-jaga, ini beberapa tip keselamatan elektrik yang boleh dijadikan panduan berguna semasa banjir:

Sebelum banjir

Pengguna perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan mengubah suis utama kepada kedudukan ‘OFF’ serta memastikan semua suis turut dimatikan dan palam kuasa peralatan elektrik ditanggalkan.

Bila mengharungi air banjir.

Jangan beranggapan semua peralatan elektrik yang ditenggelami air sudah dimatikan atau tidak hidup.

Ambil perhatian tentang beberapa peralatan elektrik yang menyimpan tenaga elektrik di dalam kapasitor. Ini boleh mengakibatkan renjatan elektrik apabila disentuh walaupun palam sudah dicabut dari soket.

Jangan menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam air banjir walaupun ianya bersalut dengan penebat.

Elak dari berenang atau meredah air banjir di kawasan berhampiran dengan talian elektrik (sama ada bersalut atau tidak bersalut). Sekiranya paras air meningkat dan bersentuh dengan talian hidup tanpa pengetahuan anda, renjatan berlaku pada sesiapa yang berada dalam air.

Elak dari memijak kawasan yang berair jika terdapat talian elektrik putus atau jatuh di atas tanah atau dalam air.

Selepas Banjir:

•Sila ambil maklum bahawa, air adalah pengalir elektrik yang baik.
• Jangan memasuki bilik atau kawasan yang terdapat peralatan elektrik yang belum dicabut dari soket atau suisnya masih dalam keadaan “ON”.
• Jangan memasuki bilik yang terdapat soket alir keluar yang masih ditenggelami atau terdengar bunyi “buzz” atau terdapat percikan api keluar dari mana-mana pendawaian/peralatan elektrik.
• Jangan hidupkan peralatan elektrik sekiranya palam atau soket alir keluar berada dalam keadaan basah atau dilitupi air/kekotoran banjir.
• Pastikan peralatan elektrik dikeringkan terlebih dahulu atau diperiksa, dibaiki atau diuji keselamatannya oleh orang yang berkemahiran sebelum digunakan. Sekiranya anda tidak pasti keadaan peralatan elektrik tersebut, hantar ke kedai untuk dibaiki/ diperiksa oleh orang yang berkemahiran.
• Sekiranya dipasang dengan sistem Solar PV, pastikan ianya ditutup dan diasingkan dari sistem pendawaian rumah anda.

Apa pun, diminta anda sentiada berwaspada dengan bahaya elektrik ketika banjir dan mengambil langkah-langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca dari elektrik.

Published by
Nadia