Cuaca panas kebelakangan ini menyebabkan ada antara kita memilih untuk tidur di atas lantai yang diperbuat daripada jubin atau seramik.
Ini kerana ia boleh menyejukkan badan daripada bahang panas di luar. Namun adakah cara ini baik untuk kesihatan dan apakah impák kepada tubuh badan seseorang jika mengamalkannya setiap hari.
Pakar Paru-Paru dan Perunding Onkologi, Hospital Pirngadi Medan, Dr Mohammad Ramadhani Soeroso berkata, masih belum ada kajian yang mendedahkan bahayanya tidur atas lantai sepanjang malam.
“Namun, tidur di atas lantai boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan sekiranya lantai itu banyak kuman dan bakteria,” katanya kepada Kompas.
Tambah beliau, bakteria jenis Streptococcus pneumoniae yang terdapat di lantai boleh menyebabkan gangguan pada saluran pernafasan atau jangkitan paru-paru.
Sementara itu, Pakar Perubatan Dalaman, Dr Andi Khoemini Takdir Haruni turut senada dengan Dr Mohammad Ramadhani.
Ujarnya, cara berkenaan tidak akan menimbulkan penyakit secara langsung kecuali jika lantai itu kotor dan berdebu menyebabkan seseorang menghirup udara kotor itu.
Antara gejala seseorang mengalami alahan apabila terhidu habuk, menurut Dr Andi Khoemini adalah seperti berikut:
– Bersin berair
– Gatal
– Mata merah
– Batuk
– Bersin
– Kesukaran bernafas
Merujuk portal Healthline, tidak semua individu boleh tidur di atas lantai. Berikut merupakan golongan yang tidak digalakkan melakukan perkara itu:
i. Orang yang lebih tua.
– Apabila usia semakin meningkat, tulang akan menjadi lemah dan individu biasanya kehilangan banyak lemak.
– Oleh itu, tidur di atas lantai boleh meningkatkan risiko patah tulang atau berasa terlalu sejuk.
ii. Orang yang mudah merasa sejuk.
– Keadaan seperti anemia, diabetes jenis 2 dan hipotiroidisme boleh menyebabkan kesejukan yang keterlaluan jika tidur atas lantai.
iii. Kesukaran bergerak yang terhad.
– Sekiranya seseorang menghadapi masalah untuk duduk di atas lantai dan bangun semula. Sebaiknya, tidur di atas katil.
– Elakkan tidur di atas lantai sekiranya mempunyai masalah sendi seperti arthritis.
Kalau anda tergolong dari mereka yang tidak digalakkan tidur di atas lantai, sebaiknya, cuba elakkan. Sebaliknya pilihlah tidur diatas katil mempunyai tilam.
Sumber: SinarPlus
Artikel Lain: Tak Perlu Rawatan Mahal. Ini Rahsia Mudah, Kekal Cantik Kala Musim Panas Melampau!