Tidak dinafikan kesan pandemik Covid-19 memberi kesan yang sangat ketara terutama kepada masalah mental lebih serius seperti bunuh diri.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tiga bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata, pandemik COVID-19 ternyata memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.
“Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada dalam keadaan stress (tekanan) yang melampau serta isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.
“Jika kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
“Disebabkan itu masyarakat diminta untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenalpasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat beberapa perubahan tingkah laku yang akan ditunjukkan oleh individu berkenaan iaitu sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, sukar melakukan tugas harian seperti biasan dan tidak dapat tumpukan perhatian.
“Selain itu, individu ini juga dilihat mengasingkan diri daripada kawan dan keluarga; mengalami gangguan tidur dan selera makan; bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling serta menyalahgunakan alkohol dan dadah.
“Mereka juga akan menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan dengan hidup serta kehadirannya membebankan keluarga. Malah menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.
“Jika terdapat gejala-gejala yang disenaraikan, individu ini dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk,” katanya lagi.
Beliau berkata, orang ramai boleh membantu individu yang mengalami kemurungan ini dengan cara berkomunikasi dengan mereka.
Tambahnya lagi kita boleh luangkan mana mendengar luahan mereka serta tidak ambil mudah atau memperlekeh masalah dihadapi mereka.
“Budaya peka dan peduli kepada keluarga, sahabat dan masyarakat sekeliling perlu diterapkan dan sesiapa yang menghadapi masalah serta erkesan dengan pandemik untuk mendapatkan pertolongan dan tidak menghadapinya seorang diri.
“Setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kesihatan mental diri, keluarga, dan komuniti bagi menghadapi pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian & KKM
Artikel Berkaitan:
Sejak Remaja Dah Hidap Bipolar Disorder, Janna Nick Ambil Ubat Atasi Masalah Kemurungan
Guna 4 Bahan Untuk Kempiskan Perut & Pecahkan Lemak Degil. 2 Minggu Dah Nampak Hasil!
Ingat Tempat Kegemaran, Cara Mudah Elak Rasa Fobia Takut Jarum Suntikan COVID-19