Sampai Kena Inject Steroid Pada Lutut, Wanita Kongsi Sakit Sendi Kronik Dialaminya

Share

Rheumatoid arthritis ialah satu penyakit autoimmun yang melibatkan sistem muskuloskeletal di mana terdapat radang kepada sendi-sendi. Ini menyebabkan sendi-sendi menjadi bengkak, sakit dan kaku. Lama-kelamaan jika penyakit ini tidak dirawat, sendi-sendi akan menjadi rosak dan hilang keupayaan.

Ia bukan penyakit keturunan dan selalunya lebih kerap dihidapi oleh kaum wanita dalam nisbah 3:1. Walaupun rheumatoid arthritis boleh bermula pada bila-bila masa, ia lebih kerap bermula dalam lingkungan umur 35 hingga 45 tahun.

Baca perkongsian dari Nasuha Che Wahab tentang Rheumatoid arthritis dialaminya hingga doktor memberi nasihat agar merancang kehamilan. Lebih menarik walau diuji dengan penyakit ini namun dirinya tidak lekang mengingati Allah kerana menurutnya buruk dan baik itu semua datang dari-Nya.

~Aku sakit, Engkau yang Maha Penyembuh Ya Allah~

14/6/2022- Tarikh kali pertama temujanji jumpa doktor Pakar Rhumato. Sekadar perkongsian tentang penyakit RA dan disahkan sebagai pesakit RA.

Macam mana boleh tahu kena panyakit RA? Melalui ujian darah. Sebelum doktor sahkan hari ini, sebanyak 3 kali ambil ujian darah, dan ketiga-tiga ujian darah ni menunjukkan rheumatoid Factor tinggi dan Anti-CCP adalah positif. Boleh google apa istilah Anti-CCP..hihi.

Orang duk tanya-tanya, Nasuha sakit apa sebenarnya. Senang jawab, bengkak sendi-sendi. Nak tambah pengetahuan, boleh google pasal penyakit ni.

Secara ringkas apa yang doktor bagitahu dan terangkan, RA adalah sakit sendi yang kronik. Bila sebut kronik, dia akan boleh jadi lebih teruk dari yang biasa bila tak rawat dari awal dan sendi-sendi akan jadi rosak.

Panjang lebar doktor bagi penerangan selama hampir 3 jam dalam bilik doktor, lamanya. Ya memang lama sebab saya kali pertama untuk nak mengesahkan sebagai pesakit RA ni.

Doktor tanya banyak benda dan cek semua sendi-sendi. Walaupun pada peringkat awal (bulan 1/2022 start sakit hingga tarikh berjumpa doktor 14/6/2022) bagi kes saya, doktor cakap, tindak balas sakit saya ni terlalu cepat (agresif) menyebabkan sendi lutut dan jari tangan saya dah mula nampak kesan, paling ketara pada lutut sehinggakan kena inject steroid pada lutut.

Tak boleh jalan langsung ke sekarang ni? Boleh, tapi time sakit tu slow-slow sikit jalan. Kalau nak cerita part-part  sakit ni, hanya orang-orang terdekat (suami, mak ayah, adik beradik dan keluarga terdekat) jer tahu macam mana keadaan saya time sakit menyerang.  Yang ni kena cerita hari lain, hihi.

Ini rezeki yang Allah bagi pada saya. Saya percaya, pasti dan pasti ada sejuta hikmah yang Allah beri di sebalik panyakit dan ujian ini. Saya tengok orang lain lagi teruk dan ada lagi sakit lebih parah. Sekurang-kurangnya saya diberi peluang masih boleh berjalan. Syukur Ya Allah.

Tak boleh sembuh ke? Doktor cakap, penyakit ni seumur hidup, cumanya aktif dan tak aktif sahaja. Buat masa sekarang sakit saya sedang aktif dan dalam tempoh rawatan. In sha Allah, akan sihat tiba masanya dengan izin Allah.

Boleh mengandung ke? Part ni doktor suruh saya panggil suami untuk masuk, sebab doktor nak terangkan satu-satu. Doktor terangkan, bukan tak boleh mengandung, tapi doktor sarankan dalam tempoh 1-2 tahun ni rancang dulu, dengan kata mudah jangan mengandung lagi dalam tempoh1-2 tahun ni, sebab nak stabilkan keadaan saya dulu.

Bila dah stabil, doktor akan guide dan benarkan mengandung dengan kawalan doktor. Allah sebaik-baik perancang dan Allah jua yang kurniakan sakit, Allah jua yang kurniakan kesembuhan.

Syukur Ya Allah, Engkau kurniakan suami dan mak, ayah yang sentiasa ada time saya sakit atau pun sihat. Tak lupa juga Ku Ma (mertua), adik beradik, adik beradik ipar,mak-mak dan pak-pak sedara, kawan-kawan yang sentiasa bertanya khabar tentang saya dan doakan saya.

Ini, sekadar perkongsian, saya kira sedikit ilmu tentang penyakit RA ni. Sebab bila saya sebut RA (Rheumatoid Arthritis) ramai yang tak tahu, dan saya sendiri pun baru ambil tahu.

Seberat apapun ujian yang kamu hadapi, Allah tahu, kamu mampu menanggungnya. Allah bagi mengikut kadar kemampuan hambanya, kita sebagai hamba sentiasa bersyukur dan menerima apa jua yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas kita – Sumber :- FB Nasuha Che Wahab

 

Published by
Almaswa Che Ros