Baru-baru ini pelakon, Rita Rudaini dedah punca anak sulungnya, Airit Rayyan mengalami kecederaan.
Dalam perkongsiannya di laman Instagram, Rita berkata tangan kanan anaknya itu patah semasa bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di sekolah.
“Main bola kena tackle (bentes), patah tangan. InsyaAllah boleh main lagi bukan patah kaki,” ujarnya.
Malah, Rita yang terkenal dalam filem Mami Jarum itu juga sempat berseloroh kepada anaknya dengan mengatakan dia masih lagi boleh bermain bola sepak dengan memetik nama saudara terdekat yang pernah mengalami kecederaan ketika bermain bola sepak.
“Mommy cakap kat dia ‘Ryan…uncle Yus, uncel Gee, Pak Teh Amran, Pak Tam Jad main bola jatuh berguling kena tackel tapi tak ada patah tangan.
“Dia jawab ‘macam mana dorang buat?’ Haa tu nanti Ryan jumpa dan bertanyalah,” katanya.
Dalam pada itu, Rita juga berkongsi bahawa insiden yang melanda anak lelakinya ini membuatkan Rayyan kadang-kadang mengalami tekanan kerana tidak boleh menggunakan sebelah tangannya buat masa ini.
“Ryan kadang-kadang down…emosi tak tentu juga. Kadang-kadang dia ok cakap banyak. Kadang tak nak bercakap langsung. Depress sebab sebelah tangan je boleh guna.. susah untuk dia bergerak. Insyaallah… mommy selalu doa semoga dipermudahkan…”
tulisnya.Dalam hantaran yang sama juga, pemilik nama Rita Rudaini Mokhtar berterima kasih kepada barisan perubatan yang membantu anaknya sepanjang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Terima kasih Dr Fairuz, doktor Pakar Bedah Ortopedik terbaik. Terima kasih kakak-kakak misi yang jaga Ryan, bersabar dengan dia yang payah makan ubat ontime sebab asyik tidur.
“Kakak-kakak dan abang-abang fisioterapi yang setiap minggu bantu Ryan,” luahnya.
Sementara itu, pelakon filem Mami Jarum itu sempat berseloroh lagi kepada Rayyan agar lekas sembuh agar dapat segera kembali ke sekolah dan bermain bola sepak.
“Cepat baik ya, nanti boleh pergi ke sekolah dan main bola lagi,” tulisnya.
Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebanggsaan, Aidil Zafuan pada 2008, namun mereka bercerai pada September 2013.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 14, dan Airit Qaqa Arjuna, 12.