Ramai keliru mengenai status pesakit kanser sama ada mereka perlu dapatkan suntikan vaksin atau tidak.
Ini kerana ada yang menganggap pesakit kanser tidak perlu dapatkan vaksin kerana sedang menjalani rawatan.
Menjelaskan perkara ini, Pakar Perunding Klinikal Onkologi Hospital Gleneagles Medini Johor, Dr Mohd Roslan Haron telah berkata, pesakit kanser sekiranya dijangkiti berisiko untuk mendapat penyakit Covid-19 yang lebih serius tahapnya dan lebih memudaratkan berbanding dengan umum.
Ini kerana pesakit kanser secara amnya mempunyai tahap imuniti atau daya tahan diri yang lebih rendah berbanding individu yang tiada kanser.
Oleh itu, pesakit kanser perlu mendapatkan vaksin bagi mengurangkan kebarangkalian pada tahap yang lebih serius, sekiranya mereka dijangkiti.
Beliau menekankan vaksin adalah sangat penting terutama sekali bagi pesakit kanser yang juga menghidap penyakit-penyakit kronik yang lain seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan juga penyakit buah pinggang.
Vaksin yang diberikan akan meningkatkan imunisasi dan daya ketahanan diri terhadap virus Covid-19, sekali gus mengurangkan risiko mendapat jangkitan pada tahap atau peringkat 3,4 dan 5.
Bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi yang intensif mereka boleh menangguhkan pengambilan vaksin sehingga tamat rawatan kemoterapi untuk penyakit kanser mereka.
Ini kerana jika mengambil vaksin ketika kemoterapi sedang diberikan ia mungkin tidak mendapat tindak balas daripada badan seorang pesakit kerana pada ketika itu daya tahan diri dan imuniti pesakit tersebut berada pada tahap yang rendah.
Jadi, badan tidak dapat memuat antibodi yang banyak untuk melawan Covid-19, sekiranya divaksin ketika kemoterapi sedang diberikan untuk merawat kanser.
Data yang telah dikumpulkan sejak dua tahun kebelakangan kejadian Covid-19 menunjukkan bahawa pesakit kanser yang sedang menerima rawatan kemoterapi pada umumnya sudah boleh menerima vaksin selepas dua minggu pada tarikh akhir kemoterapi diberi.
Bagaimanapun, pesakit perlu bertemu dengan doktor terlebih dahulu untuk membuat ujian darah tertentu bagi memastikan tubuh mereka benar-benar dalam keadaan sihat untuk menerima vaksin,” katanya.
Sementara itu katanya, tanggapan tentang vaksin Covid-19 yang menyebabkan kanser menjadi lebih teruk selepas pengambilannya adalah tidak benar.
“Sesetengah pihak mendakwa apabila pesakit kanser menerima vaksin, kanser mereka akan menjadi teruk dan kesannya akan lebih buruk.
“Sebenarnya kedua-dua perkara ini tidak berlaku. Kanser tidak menjadi teruk dan kesan sampingan tidak berlaku ke atas penerima vaksin dalam kalangan pesakit kanser.
Tegas Dr Mohd Roslan, stigma berkenaan vaksin dan pesakit kanser ini berlaku dalam masyarakat disebabkan kurang kefahaman tentang vaksin Covid-19.
“Masyarakat perlu mengubah tanggapan mereka terhadap vaksin dan pesakit kanser. Mereka perlu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan nasihat pakar,” katanya yang mengingatkan semua pesakit kanser perlu mengambil vaksin kerana apabila semakin ramai yang menerima vaksin, dapatlah mengurangkan penularan Covid-19 menjadi lebih teruk.
Tambahnya risiko mendapat Covid-19 bagi pesakit kanser dengan individu yang tiada kanser adalah sama kerana jangkitan virus Covid-19 tidak bergantung kepada faktor dalam tubuh atau daripada penyakit sedia ada, tetapi bergantung kepada pendedahan seseorang itu kepada virus tersebut.
Pendedahan seseorang itu kepada virus seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau terdedah dengan kawasan yang sesak dan tidak mengikut amalan SOP yang sedia ada, akan meningkatkan risiko jangkitan.
Sumber: Sinar Plus
Artikel Berkaitan:
Elak 5 Makanan Ini, Boleh Jadi Penyebab Kanser. Bahaya Jika Diambil Berlebihan!
Merana Akibat Sakit Tekak. Doktor Kongsi Cara Kumur Air Garam Atau Makan Aiskrim Kurangkan Sakit!
Hilang 14KG Dalam 2 Bulan, Lelaki Kongsi 7 Tip Amalan Diet Berkesan