Sedar atau tidak ada antara kita yang mengalami tulang belakang bengkok. Apa sebenarnya maksud penyakit ini dan apakah bahaya yang akan dialami oleh seseorang.
Adakah jika kita mengalami penyakit yang juga dipanggil skoliosis ini akan menyebabkan pergerakan atau aktiviti terbatas.
Dengarkan penjelasan Dr Zubaidi Hj Ahmad berkenaan skoliosis ini yang boleh terjadi dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa.
Tulang belakang membantu menyokong badan berkedudukan tegak. Setiap orang mempunyai bengkokkan semula jadi di mana sedikit daripada bengkokkan itu diperlukan untuk mengimbangi kedudukan badan, bergerak dan berjalan dengan sempurna.
Ia adalah satu keadaan di mana tulang belakang membengkok secara berlebihan pada arah yang tidak betul.
Istilah skoliosis diambil daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘bengkok’.
Melalui X-ray tulang belakang akan kelihatan seperti huruf S atau C yang sepatutnya kelihatan lurus.
1. Kanak-kanak
‘Infantile scoliosis’ – Berlaku pada kanak-kanak berumur di bawah 3 tahun. Mungkin disebabkan oleh:
• Kecacatan sejak lahir
• Penyakit saraf dan otot (distropi otot atau cerebral palsy)
• Kecederaan
• Jangkitan
• Ketumbuhan
‘Juvenile scoliosis’ – Berlaku pada kanak-kanak berumur 3 – 10 tahun. Ia jarang berlaku.
2. Remaja
‘Adolescent idopathic scoliosis’ – skoliosis yang tidak di ketahui puncanya. Ia terjadi selepas seseorang itu berumur lebih daripada 10 tahun dan kerap di temui.
3. Dewasa
Skoliosis dewasa berpunca daripada penyakit yang dihadapi semasa kanak-kanak tetapi gagal di kesan atau di rawat pada peringkat awal.
Selalunya ia bermula dengan keabnormalan yang sederhana dan akan menjadi lebih teruk kerana tidak dirawat. Boleh juga berlaku akibat dari proses penuaan.
Jika ada ahli keluarga mendapat skoliosis kemungkinan ahli keluarga yang lain menghidapi skoliosis agak tinggi iaitu hampir 20%.
Jika ada ahli keluarga yang mengalami masalah pembengkokan tulang belakang yang tidak normal, sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
Kebanyakannya tidak di ketahui. Kebanyakan kes-kes berlaku sejak lahir akibat kecacatan tulang belakang kongenital. Ia tidak berpunca dari duduk membongkok, duduk dalam keadaan janggal tau tidur di atas tilam lama/nipis.
Skoliosis selalunya lebih menonjol atau menjadi lebih teruk semasa fasa pertumbuhan mendadak di alam remaja.
Selalunya tidak sakit pada usia remaja dan belia. Kesakitan selalunya berlaku ketika alam dewasa jika tidak di rawat. Aduan utama pesakit adalah kecacatan bentuk badan. Tanda-tanda lain termasuk:
1. Penstrukturan otot belakang yang tidak sama rata
2. Penonjolan tulang bahu
3. Aras pinggul dan bahu yang tidak sama antara kanan dan kiri
4. Kedudukan atau saiz payudara yang tidak sama
5. Panjang jarak tangan di sisi badan kiri dan kanan tidak sama
6. Baju yang dipakai kelihatan senget
Jika dibiarkan tanpa rawatan, Skoliosis dewasa yang teruk akan menyebabkan sakit belakang yang berpanjangan, kecacatan bentuk badan dan kesukaran bernafas.
Bagi kes skoliosis ringan, pemerhatian berkala akan dibuat oleh doktor sehingga tahap kematangan tulang hampir sempurna. Doktor akan memeriksa perkembangannya untuk memastikan pembengkokan tulang belakang tidak menjadi teruk. Pesakit juga akan diminta untuk rawatan ulangan setiap 3 ke 6 bulan.
Selain itu, ada juga peralatan khas untuk menyokong tulang belakang (“Bracing”). Matlamat utama adalah untuk menghalang tulang belakang menjadi lebih bengkok. Doktor akan mencadangkan untuk memakai peralatan khas (braces) yang sesuai.
Rawatan pembedahan akan dicadangkan kepada pesakit yang mengalami skoliosis yang teruk. Pembedahan memerlukan penanaman tulang yang diambil daripada tulang pinggul dan rusuk. Skru, wayar dan besi khas akan digunakan untuk meluruskan kembali tulang belakang tersebut. Selepas pembedahan pesakit boleh berjalan tanpa memakai “braces” badan hari ke-2 atau ke-3. Pesakit akan dibenarkan pulang dalam masa seminggu, seterusnya boleh melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa. Untuk bersukan hanya dibenarkan selepas 6 ke 9 bulan selepas pembedahan.
Skoliosis yang tidak di ketahui puncanya (“idiopathic scoliosis”) selalunya gagal dikesan pada kanak-kanak kerana ia tidak sakit pada peringkat awal.
Ibu bapa seharusnya berwaspada dan lebih mengambil berat ketika usia anak menjangkau 8 tahun ke atas. Tanda – tanda yang dapat dilihat pada anak anda:
1. Bahu kelihatan tidak sama tinggi
2. Salah satu bahagian bahu kelihatan lebih menonjol
3. Pinggang kelihatan senget sebelah
4. Pinggul kelihatan tinggi sebelah
5. Struktur badan membengkok ke arah sebelah sahaja
Jika terdapat salah satu tanda di atas, sila berjumpa doktor dengan segera.
#HealthDrZubaidi
Artikel Berkaitan:
Wajah Berparut Sejak Kecil Gara-Gara Tong Gas, Tapi Gadis Ini Tetap Yakin Muncul Di TikTok
Kena Alert, Pelitup Muka Punca Wajah Berjerawat. Guna 3 Cara Berkesan Atasi Masalah Ini!
Tak Perlu Bimbang, Rupanya Pasangan Saintis Muslim Berasal Dari Turki Pencipta Vaksin Covid-19