Seorang pempengaruh media sosial pengamal diet sayur dan buah segar, Zhanna Samsonova,39 atau lebih dikenali Zhanna D’Art maut selepas dikatakan kebuluran.
Wanita tersebut tidak minum air kosong selama enam tahun dan hampir tidak boleh berjalan sebelum mati kerana kebuluran dan keletihan gara-gara diet pemakanan yang diamalkan.
Wanita kelahiran Rusia ini dilaporkan meninggal pada 21 Julai. Ibunya melaporkan kematian anak perempuannya disebabkan jangkitan bakteria kolera yang menyebabkan cirit birit.
Namun laporan perubatan mendakwa Zhanna mengalami kekurangan zat makanan yang menyebabkan dirinya kebuluran dan keletihan melampau.
Kawannya berkata, Zhanna menderita anoreksia dan menjadi sangat lemah pada minggu-minggu terakhir sebelum kematiannya akibat diet ekstrem yang diamalkan. Dia hanya mampu terbaring dan memerlukan beberapa minit untuk dirinya berdiri dan berjalan di tangga.
Malah keadaan Zhanna juga sangat ‘lemah’ dan tetap enggan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Tetap percaya dengan amalan diet sayur dan buah segar yang diamalkan selama ini.
Zhanna dilaporkan mengamalkan diet buah-buahan, pucuk biji bunga matahari, ‘smoothie’buah-buahan dan jus ini selama 10 tahun.
“Saya melihat badan dan minda saya berubah setiap hari. Saya suka melihat perubahan diri saya yang baru dan takkan kembali semula kepada tabiat pemakanan dahulu,”
kata Zhanna.Zhanna turut mempromosikan pendirian dalam amalan dietnya, termasuk resipi untuk orang ramai mencuba. Bagaimanapun, menurut New York Post, rakan-rakannya didakwa percaya dietnya harus dipersalahkan atas kematiannya.
Sumber: Hype, Daily Mail