Semakin ramai artis buat pembedahan bariatrik, terbaru personaliti TV3, Anim Ezati mengakui bahawa dirinya juga salah seorang yang mengambil jalan itu untuk kurangkan berat.
Bekas pramugari Air Asia itu berkongsi, dia membuat pembedahan bariatrik untuk tujuan kesihatan sekitar tahun 2022 selepas mendapatkan nasihat dari doktor dan juga pakar.
Namun keputusan itu dibuat kerana dia sukar untuk menurunkan badan selepas melahirkan anak sulungnya pada 2020 walaupun telah mengamalkan diet sihat.
“Lepas bersalin, berat saya hampir mencecah 100kg. Tetapi, selepas mengamalkan diet dan juga bersenam, berat saya hanya turun jadi 89 kg.”
Ujarnya lagi, pembedahan tersebut turut membantu untuk dirinya menjaga penampilan sebagai seorang personaliti TV selain meningkatkan keyakinannya untuk berada di hadapan kaca televisyen.
Makan Sedikit Tapi Berulang
Pun begitu, Anim turut memberitahu bahawa kuantiti makanannya kini perlu diambil dengan sedikit kerana sebahagian perutnya telah dibuang sebagai salah satu prosedur pembedahan bariatrik.
“Bila dah buat pembedahan ni, keluasan perut tinggal dalam 20%. Jadi, saya makan dalam dua ke tiga sudu sahaja pun dah kenyang.”
Walaupun kuantiti makanan diambil dengan sedikit, pengacara Helo Doktor itu turut menegaskan bahawa dia perlu mengisi perut semula setiap dua jam agar tidak terlalu lapar.
Bukan itu sahaja, dia juga mendedahkan yang dirinya masih lagi mengamalkan diet sihat selain masih melakukan ‘follow up’ bersama penasihat pemakanannya untuk mengekalkan berat badan.
Sebenarnya tak salah pun buat pembedahan bariatrik jika anda mampu, sekurang-kurangnya boleh ringankan badan untuk buat aktiviti dan beribadah.