Nak Beli Barangan Plastik, Ahli Kimia Ini Ingatkan Tengok Dulu Nombor Kod Tiga Segi & Elak Barangan Warna Hitam!

Share

Kebanyakan daripada kita gemar membeli barangan yang murah harganya. Dan lambakan kedai menjual barangan seperti ini membuatkan kita terasa untung apabila membeli dan sangat menjimatkan.

Namun begitu, perkongsian dari Ahli Kimia, Dr Fatima Salim ini di laman sosial Facebook, mungkin menjadikan kita berfikir dulu barang apa yang mahu dibeli setiap kali melangkah masuk ke kedai barangan murah ini.

Menurutnya ada baik dan buruknya membeli barangan di kedai jimat ini. Ayuh ikuti perkongsiannya.

Heboh pula kisah kedai RM2. Saya secara peribadi, masuk saja kedai serbaneka RM2. Bukan apa, saya suka kepelbagaian barang yang dijual, ada yang saya beli juga. Barangan yang murah kita maklumlah ada baik dan buruknya.

Namun jika kita pandai membeli dengan membandingkan harga dan jenis barangan, untung sebenarnya. Ada barangan sama yang jauh lebih murah daripada kedai lain.

Cuma nak pesan, barangan yang melibatkan penyimpanan makanan harus lebih berhati-hati. Contoh barangan plastik berwarna hitam yang mungkin diperbuat daripada plastik kitar semula. Barangan murah dikaitkan dengan kitar semula komponen plastik barangan elektronik seperti keyboard, komputer dan sebagainya.

Kajian menunjukkan terdapat potensi bocoran (leaked) bahan-bahan kimia seperti cadmium, chromium, mercury, antimony… ke dalam makanan yang dimasak, disamping bahan penebat api berbromin terutamanya apabila dipanaskan melebihi suhu 70 degree Celcius. Interaksi dengan masakan berminyak, berasid dan bergaram tinggi juga meningkatkan risiko bocoran bahan-bahan kimia tersebut.

Bukannya tidak boleh guna, cuma ELAKKAN penggunaan plastik jenis sebegini pada suhu panas.

Berkongsi mengenai barangan plastik, mari ulangkaji mengenai label Resin Identification Code (RIC) yang digunakan pada barangan plastik supaya kita lebih cakna.

Cuba perhati barangan plastik anda. Perasan tak adanya nombor 1 hingga 7 yang biasanya berada dalam kurungan segitiga (rujuk gambar di bawah). Sebenarnya ianya adalah kod rujukan yang bertujuan untuk mengklasifikasikan jenis bahan kimia polimer binaan aka material untuk bekas plastik berkenaan.

YA. Kod ini bertujuan untuk memudahkan proses pengumpulan semula bekas yang mempunyai bahan binaan yang sama untuk dikitar semula (recycled).

Untuk kod resin No.7 agak unik kerana ianya mengumpulkan pelbagai bahan binaan yang bukan dalam kategori utama No.1-6. Untuk lebih terperinci, boleh rujuk senarai dalam gambar di bawah.

Bekas berkod resin No.3 iaitu yang diperbuat daripada bahan kimia polimer vinyl chloride (PVC) boleh membocorkan (leaked) bahan kimia phthalates yang mana telah dikaitkan dengan masalah sistem peranakan dan tumbesaran.

Bekas berkod No.7 terutamanya yang diperbuat daripada bahan kimia polimer carbonate (PC) boleh membocorkan bisphenol A (BPA) yang mana telah dikaitkan dengan pembesaran prostat dan gangguan sistem peranakan pada bayi dan kanak-kanak, juga kanser payudara, diabetis, kegemukan, penyakit berkaitan jantung…

Bekas berkod resin No.6 pula boleh membocorkan styrene iaitu bahan kimia penyebab kanser (kasinogenik). Ini juga sebab kenapa kini pembungkus polystyrene tidak dibenarkan untuk membungkus makanan, apa lagi untuk makanan panas.

Sebenarnya isu keselamatan barangan plastik ini pada dos yang kita terdedah setiap hari masih lagi menjadi perdebatan. Setakat ini, FDA hanya mengharamkan penggunaan bahan ber BPA dalam produk botol bayi. Yang lain masih lagi dikategorikan sebagai selamat kerana jumlah bahan kimia pemberi risiko yang boleh terbocor dan masuk dalam badan kita (melalui makan, minum, terhidu atau aplikasi pada kulit) adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan pendedahan luar. Dan sistem sistem badan kita mampu mengeluarkannya secara semulajadi.

Usah risau, FDA bukan suka-suka keluarkan keputusan. Ianya dibuat berdasarkan timbang tara beribu kajian klinikal tentang keselamatan barangan plastik ini. Jika pengeluar mengikut garis panduan pembuatan dan kita pula menggunakannya dengan betul, ianya selamat. Maka, gunakanlah bekas-bekas ini sesuai dengan TUJUANNYA agar keselamatannya terjamin.

Nota kaki: Kod pada bekas plastik ini BUKAN petanda berapa kali ianya boleh dikitar semula ya.

Semoga bermanfaat.

ChM Dr Fatimah Salim

Ahli Kimia

Artikel Berkaitan:

 Elak Kerosakan Rahim Di Usia Muda. Datuk Dr Hamid Arshat Pesan Jaga Pemakanan Dari Kecil!

Bahayanya Hipertensi Dianggap ‘Silent Killer’, Kenal Pasti Tanda & Siapa Golongan Berisiko Hidapinya!

Published by
Siti Zurina Mat Saman